"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘RUU Mufti tak seharusnya bawa perpecahan pada umat Islam’

Malaysiakini 

RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 tidak seharusnya membawa kepada perpecahan umat Islam, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mujahid Yusof.

Mengulas RUU yang sedang hangat diperkatakan itu, Mujahid berkata pandangan pelbagai pihak tentangnya menandakan mereka prihatin dalam usaha memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan

Namun, katanya, pihak yang berbeza pandangan perlulah berpegang kepada adab-adab Islam dalam memberikan pendapat.

"Dalam semua pandangan tentang isu RUU ini, perlulah diambil beberapa panduan bahawa di penghujung keputusan RUU Mufti 2024 nanti hendaklah berpegang kepada prinsip sederhana (wasatiyah).

"(Pandangan berbeza juga) Tidak (seharusnya) memecahbelahkan umat Islam dan (semua pihak perlu) berazam untuk memerangi budaya melampau dalam beragama (al Ghuluw) serta fahaman Khawarij yang merosakkan kesatuan ummah dan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara pihak yang lantang mengkritik RUU tersebut adalah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang semalam mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar untuk berdialog secara terbuka berkenaannya.

Semalam, Setiausaha Politik Na'im, Muhamad Razak Idris, memberi isyarat pihaknya sedia menyambut pelawaan Asri.

Hari ini, Mohd Asri sekali lagi mengkritik Na’im apabila mendakwa Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) menerusi RUU itu.

Sementara itu, Mujahid berkata pihak yang berbeza pandangan perlulah berpegang kepada adab-adab Islam dalam memberi pandangan dan jauhkan sikap sombong dan cabar-mencabar.

"Mereka yang berbeza pandangan tidak boleh dilabel sebagai anti-Islam mahupun anti-aliran tertentu. Semua pandangan tersebut tidaklah lari dari kerangka besar yang diletakkan atas premis ASWJ," katanya lagi.

Malah, dia berkata ikap melampau dan melabel pihak yang berbeza pada hakikatnya bertentangan dengan manhaj Asyairah mahupun Maturidiyah yang sentiasa menambil sikap bersederhana dalam perbezaan pandangan.

Tiada ulasan: