"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontraktor, anak saudara didakwa bunuh pesara Felcra

Bernama

Mazuan Hanafi dan anak saudaranya Muhd Asyraf Idris dituduh membunuh Sabari Baharom di Kubang Pasu, 4 Sept lalu.

JITRA: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, bulan lepas.

Tertuduh Mazuan Hanafi, 38, dan anak saudaranya Muhd Asyraf Idris, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kontraktor dan pekerja kilang itu, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Sabari, 62, di titi Kampung Empa Sungai Padang Terap, Kubang Pasu pada 4 Sept, lebih kurang 5.30 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun penjara dan sebatan minimum 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil dan Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nurul Huda Idris menetapkan 5 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 Sept sebelum kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 Sept.

Polis kemudiannya mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat, susulan penahanan dua lelaki itu.

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Okt.

Tiada ulasan: