HARRITH HISHAM
KUALA LUMPUR – Seramai 71 individu ditahan Jabatan Imigresen (JIM) bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemalsuan dokumen dan dokumen perjalanan berkaitan urusan pemeriksaan kesihatan pekerja asing sejak 2024 hingga kini.
JIM dalam kenyataan berkata, sebanyak 17 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pemalsuan pasport serta pengubahsuaian maklumat biodata pekerja.
“Kegiatan berkenaan dikesan berkaitan urusan pemeriksaan kesihatan dan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Namun ia tidak semestinya bermaksud dokumen berkenaan digunakan untuk memasuki Malaysia,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, JIM berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai hantaran di media sosial berhubung dakwaan penggunaan pasport palsu bagi tujuan pemeriksaan kesihatan pekerja asing, yang pernah tular pada April lalu.
Sehubungan itu, JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan.
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran yang mendakwa terdapat warga asing menggunakan pasport palsu ketika menjalani pemeriksaan kesihatan.
Hantaran tersebut turut membangkitkan persoalan bagaimana individu berkenaan boleh melepasi pemeriksaan sempadan menggunakan dokumen berkenaan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan