"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

25 wanita asing terbabit pelacuran ditahan

Austin Camoens
austin@nst.com.my
ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam operasi cegah pelacuran di Bukit Bintang. FOTO Ihsan JIM Kuala Lumpur.
ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam operasi cegah pelacuran di Bukit Bintang. FOTO Ihsan JIM Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur: Seramai 25 wanita warga asing, termasuk 14 dari Afrika ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi membanteras kegiatan pelacuran yang dipercayai menyasarkan pelancong dan pekerja asing di Changkat, Bukit Bintang, hari ini.

Wanita terbabit dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di sekitar kawasan hiburan popular itu dengan bayaran kira-kira RM200.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, Ops Gegar itu adalah ketiga dijalankan di lokasi sama tahun ini bagi membanteras kegiatan pelacuran dan aktiviti haram lain membabitkan warga asing.

"Siasatan awal mendapati wanita terbabit beroperasi secara sendiri. Mereka masuk ke dalam negara secara individu menggunakan pas lawatan sosial dan sebaik tiba di Kuala Lumpur, mereka mula mencari pelanggan di sekitar Bukit Bintang.

"Selepas memperoleh pelanggan, mereka akan menyewa bilik di hotel berhampiran untuk menjalankan kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamsha berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan yang menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk dan pengunjung kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

"Aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan, sama ada melalui operasi berskala kecil yang menyasarkan premis perniagaan mahupun operasi bersepadu berskala besar," katanya.

Terdahulu, operasi yang bermula pada 1.20 pagi itu membabitkan 35 pegawai imigresen pelbagai pangkat dengan bantuan 16 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

Menurutnya, semua 25 wanita warga asing yang diperiksa dalam operasi itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa.

"Daripada jumlah itu, 14 adalah wanita dari Afrika, enam warga Myanmar dan lima warga Kemboja," katanya memaklumkan semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tiada ulasan: