Malaysiakini
Mohd Fudzail Mohd Nor
Dalam sejarah budaya derma di negara kita, rakyat Malaysia sudah lama dikenali sebagai bangsa yang pemurah. Kita pernah menderma untuk tabung masjid, mangsa banjir, pesakit buah pinggang dan rakyat Palestin.
Namun tahun ini kita diperkenalkan dengan satu kategori baru derma yang belum pernah tercatat dalam buku teks Pendidikan Islam, iaitu derma untuk melunaskan denda seseorang yang sudah jelas disabitkan bersalah melakukan jenayan oleh mahkamah.
Malah derma kategori baru itu didatangkan siap dengan pakej tawaran pahala sebagai ganjaran tambahan.
Kisahnya bermula pada 18 Sept lalu apabila Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memperkenankan permohonan pengampunan sehingga Najib Razak boleh menjalani baki hukuman di rumahnya sehingga Ogos 2028.
Namun ia tertakluk kepada melunaskan denda RM50 juta.
Masalahnya, menurut peguam Najib sendiri, akaun dan aset bekas perdana menteri itu masih dibekukan. Maka, seperti dalam drama Melayu petang Ahad, Umno tampil sebagai penyelamat dengan melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak.
Sambutannya luar biasa.
Dalam jam pertama sahaja, RM165,645 dapat dikumpulkan. Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan ramai yang menyumbang malah ada serendah RM1.
Saya benar-benar kagum.
Barangkali inilah kali pertama dalam sejarah wang seringgit yang biasanya tersorok di bawah tempat duduk kereta dipanggil untuk menyelamatkan seorang ahli politik yang dipenjara.
Perlu lebih 4,000 hari untuk lengkap
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pula membuat unjuran yang optimis: jika 3.8 juta ahli parti itu masing-masing menyumbang RM10, tabung itu boleh mencecah RM30 juta.
Saya cuba mengira dengan kalkulator telefon. Hasilnya RM38 juta. Saya mengulanginya sekali lagi kerana bimbang jari saya tersilap tekan. Masih RM38 juta!
Ada kemungkinan RM8 juta lebihan itu milik ahli yang terlupa kata laluan perbankan dalam talian, atau mungkin matematik politik memang mempunyai sistem perpuluhan tersendiri yang belum diajar di sekolah.
Kemudian muncul angka yang lebih merisaukan. Kutipan dilaporkan mencecah RM9.25 juta dan "masih belum mencukupi".
Pada awal bulan ini, kutipan harian dilaporkan sekitar RM10,000. Jika baki RM40.75 juta dikutip pada kadar RM10,000 sehari, ia memerlukan kira-kira 4,075 hari – iaitu lebih 11 tahun – untuk mencapai sasaran.
Ini bermakna isi tabung itu hanya akan mencapai objektifnya lama selepas hukuman Najib sendiri tamat iaitu pada 2028. Dalam bahasa mudah, dia mungkin sempat bebas sepenuhnya sebelum sempat menjalani tahanan rumah.
Namun, Setiausaha Agung Umno memang telah berjanji bahawa akan ada "elemen kejutan" dalam misi mereka membawa Najib kembali ke Jalan Langgak Duta.
Ternyata janji untuk membuat kejutan itu ditunaikan.
Pada 6 Nov, Umno mengumumkan bahawa sasaran telah tercapai, denda telah dibayar dan akaun tabung ditutup. Jumlah akhir tidak didedahkan, begitu juga identiti penderma besarnya.
Sebelum itu, Rosmah Mansor ada menyebut bahawa rakan-rakan dari Brunei, Itali, Singapura dan Kanada turut menghulurkan bantuan.
Kejutan itu memang berjaya mengejutkan, cuma ramai yang masih terpinga-pinga dan bertanya, dari mana datangnya kira-kira RM40 juta itu.
Di sinilah agama masuk ke gelanggang. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menulis di Facebook bahawa Muslim yang membantu membayar RM50 juta itu berpahala, dan perbuatan itu "bukan sokong sakau".
Menurut senator itu, tindakan tersebut menyokong sistem pengampunan Agong yang diiktiraf syarak. Dia kemudian menambah lagi bahawa apa sahaja usaha untuk memudahkan Najib memperoleh haknya juga berpahala.
Jauhi yang syubhah, kotor
Para penyokong pun bersorak. Kini derma serendah RM10 pun bukan lagi sekadar tanda setia kawan, malah pelaburan akhirat. Jika demikian, mungkin selepas ini juruwang bank perlu bertanya: "Tuan mahu resit biasa atau resit pahala?"
Namun, ilmu fikah jarang semudah hantaran Facebook.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menyatakan bahawa membantu membayar denda orang lain hukumnya harus, dengan syarat pesalah telah insaf atas kesalahannya.
Masalahnya, Najib masih berpegang kepada keyakinannya yang menyangka wang itu derma dari Arab Saudi. Dia masih tidak mengaku membuat salah.
Maka timbullah situasi yang unik: pahala si penderma nampaknya memang bergantung pada keinsafan, tetapi oleh orang lain, bukan si pelakunya.
Ia seumpama cek yang memerlukan dua tandatangan; penderma sudah menurunkan tandatangannya, tetapi tandatangan kedua masih belum diberikan. Pengampunan bersyarat dibalas dengan pahala bersyarat.
Baiklah, sekurang-kurangnya ia simetri.
Pihak penentang pula tidak mahu ketinggalan.
Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, menggesa Bank Negara Malaysia dan SPRM mengaudit dana tersebut bagi memastikan wang yang dikutip adalah sah dan bukan hasil pengubahan wang haram. Hujah Pua memang ada asas.
Dalam Islam juga menyatakan bahawa harta yang syubhah wajib dijauhi, dan wang yang kotor tidak menjadi bersih hanya kerana ia dimasukkan ke tabung yang diberi nama "solidariti".
Namun, terselit sedikit ironi apabila ramai pengkritik yang selama ini jarang berbicara soal agama tiba-tiba menjadi mufti segera di Threads dan X, lengkap dengan fatwa dalam beberapa ratus aksara.
Ada pula yang bertanya, mengapa wang RM50 juta itu tidak disalurkan sahaja kepada fakir miskin atau mangsa banjir?
Penyokong Najib menjawab dengan mudah: harta sendiri, maka hak sendiri.
Derma sukarela bukan zakat, maka tiada siapa yang berhak menentukan ke mana orang lain mahu menghulurkan wangnya. Kedua-dua hujah ada benarnya, dan di sinilah perdebatan berpusing seperti kipas siling di kedai kopi: bunyinya kuat, tetapi tidak membawa banyak makna.
Kemuncak kisah itu berlaku pada hari yang sama denda dibayar. Mahkamah mengeluarkan perintah tahanan rumah. Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta diwartakan sebagai penjara.
Barangkali ia adalah penjara paling selesa dalam sejarah negara.
Siapa yang paling beruntung
Najib keluar dari Penjara Kajang, menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur, dan semua orang menyangka babak terakhir sudah tiba dan tirai dilabuhkan.
Namun, Jabatan Peguam Negara kemudian menangguhkan pelaksanaannya kerana wujud dua tafsiran tentang kesan undang-undang bayaran itu. Pada malam yang sama, Najib kembali ke Penjara Kajang.
Maka kita menyaksikan sesuatu yang luar biasa. RM50 juta sudah bertukar tangan, rumah sudah menjadi penjara, tetapi tuan rumah masih berada di sebalik jeriji besi yang lama.
Ia mengingatkan saya kepada proses pembelian barangan secara dalam talian yang wangnya sudah ditolak dari akaun, tetapi status bungkusannya masih "dalam proses".
Akhirnya, soal pahala tetap menjadi urusan Allah. Hanya Dia yang mengetahui niat seorang penderma RM1 yang ikhlas, niat penderma berjuta-juta yang tidak dikenali, dan sama ada sumber setiap ringgit itu bersih atau sebaliknya.
Kita sebagai manusia hanya mampu menilai yang zahir. Yang zahir ketika ini ialah sebuah tabung yang ditutup tanpa senarai penderma, satu denda yang telah dibayar, dan seorang bekas perdana menteri yang masih menunggu di sebalik tembok yang sama.
Jika pahala benar-benar boleh dikira dengan kalkulator, siapakah yang paling beruntung? Penderma seringgit yang ikhlas, penderma berjuta yang tidak bernama, atau rakyat yang masih menunggu jawapan tentang dari mana sebenarnya datangnya wang itu?
MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan