Ho Kit Yen
SHAH ALAM: Sebuah syarikat pembekal ayam, pengarahnya serta dua individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat perakuan palsu berhubung status halal produk kepada orang ramai.
Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd, pengarahnya Zarifah Karim dan Tanjena Akter Mollah, serta pengurus Hossain Saddam masing-masing dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Seorang lagi individu, Abdul Rahim Ariff Ali, dituduh bersubahat dengan syarikat itu, Zarifah, Tanjena dan Hossain dalam melakukan kesalahan tersebut.
Mereka dituduh membekalkan 6,555kg ayam yang disembelih dan diproses dengan membuat perakuan palsu bahawa ia adalah halal serta selamat untuk dimakan orang Islam.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 30 Okt di sebuah unit kilang di Puchong.
Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit berdepan hukuman denda kurang RM5 juta, manakala Zafirah, Tanjena, Hossain, dan Rahim berdepan denda bawah RM1 juta atau hukuman penjara kurang tiga tahun.
Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenarkan jaminan RM35,000 masing-masing bagi Zafira dan Rahim dengan dua penjamin.
Beliau mengarahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah, sementara menunggu pelupusan kes.
Namun, Ainul tidak membenarkan jaminan terhadap Tanjena dan Hossain yang merupakan warga Bangladesh.
Mahkamah menetapkan 26 Jan bagi pengurusan kes.
Terdahulu, peguam Bernard Francis yang mewakili Zarifah, Tanjena, dan Hossein memaklumkan kepada mahkamah mereka akan memfailkan permohonan membatalkan pertuduhan itu atas alasan kandungannya yang kabur.
Timbalan Pendakwa Raya Sophian Zakaria, berkata pihak pembelaan boleh memfailkan bantahan awal mereka kemudian.
Norhashimah Hashim turut hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Rahim tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan