"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya 19 peratus Melayu mahu Umno perintah

Abdul Aziz Mustafa 
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh)
 - Hanya 19 peratus dari responden Melayu yang mahu Umno terus memimpin negara, lapor Malaysian Insider dalam berita bertajuk " Umno corrupt, says survey".

Menurut laporan itu, dalam tinjauan Merdeka Centre yang dibuat ke atas 1,031 responden itu, prospek Umno di kalangan masyarakat Cina dan India jelas lebih buruk lagi.

Hanya satu peratus responden berbangsa Cina dan tiga peratus responden berbangsa India yang mahu Umno terus memimpin negara.

Lebih buruk lagi, tidak ada seorang pun responden Cina yang percaya Umno akan melaksana dan menunaikan janjinya walaupun satu peratus di kalangan mereka yang menaruh harapan kepada Umno untuk membangunkan negara ini.

Tinjauan pendapat itu juga jelas memperlihatkan imej Umno semakin buruk.

61 peratus berpendapat rasuah adalah masalah Umno yang paling serius manakala 13 peratus peratus berpendapat masalah kedua Umno yang paling serius ialah kegagalan parti itu memahami masalah rakyat.

Selaras dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cekap, lemah dan pengecut, para pengundi juga bimbang dengan "pemimpin yang lemah" dan "pentadbir ekonomi yang lemah" dalam Umno.

Dari 1,031 responden itu, 57 peratus adalah orang-orang Melayu, 31 peratus China and 12 peratus India berdasarkan tinjauan rawak.

Kajian Merdeka Center itu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, mengulas isu rasuah Umno di dalam blognya, Dr Mahathir tidak percaya ada ahli-ahli parti itu yang akan didapati bersalah kerana terlibat dengan rasuah politik menjelang pemilihan parti itu bulan ini.

"Saya sinis dan tidak percaya barang seorang pun akan didapati bersalah," katanya.

Mengulas pendedahan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen yang mendedahkan bahawa pihaknya menerima 900 aduan yang sebahagiannya berkaitan dengan politik wang, Dr Mahathir berkata: "Orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut.

"Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?"

Sekarang, kata bekas Presiden Umno itu, "kita dengar pula tentang sogokan kepada perwakilan yang akan hadir di mesyuarat Agong yang akan undi dan tentukan siapa yang akan pegang jawatan apa di dalam parti.

"Katanya ratusan ribu diberi kepada perwakilan. Benarkah? Takkanlah semua cerita yang didengar tidak berasas?"

Menurut Dr Mahathir, wakil-wakil ke perhimpunan agong Umno bulan ini "boleh disogok dan mereka boleh beri kemenangan kepada orang yang sogok mereka.

"Tetapi ingat. Rakyat sedang memerhati tingkahlaku Umno dan pemilihan yang akan dilakukan," katanya.

Dr Mahathir mengingatkan, jika pada bulan Mac tahun lalu ramai rakyat termasuk juga ahli-ahli Umno yang kecewa telah mengundi parti lawan, dalam Pilihanraya Umum ke-13 mereka ini akan mengundi parti lawan sekali lagi jika mereka lihat Umno sudah diambilalih oleh perasuah.

GMP timbang lantik peguam untuk bela mereka yang didakwa

Salmiyah Harun 
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Hrkh)
 - Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) sedang menimbang untuk melantik peguam dari firma guaman tetuan Radhi dan Zulkarnain untuk mewakili mereka yang berkemungkinan akan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Selain itu, GMP juga dijangka akan merujuk kepada Suhakam berhubung insiden yang berlaku pada 7 Mac lalu.

Setiausaha Agung GMP Hasni Abas ketika dihubungi berkata, pertemuan dengan pihak peguam selama sejam di Rumah Pena adalah untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mereka.

Seramai 22 orang dipanggil polis termasuklah Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said untuk siasatan berhubung perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa serta beberapa pemimpin kanan parti termasuk Naib Presiden Mohamad Sabu, Ketua Pemuda Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Dato' Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.

Turut disenaraikan polis ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, naib ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, exco penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, dan ahli jawatankuasa GMP Ainon Mohd.

Bekas pemimpin kanan Pemuda PAS Idris Ahmad dan ketua Angkatan Muda PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip juga dipanggil polis.

Polis juga meminta pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Dato' Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu menghubungi polis bagi membantu siasatan dalam demonstrasi dekat Istana Negara.

Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, Profesor Bahasa Dr Abdullah Hasan, Setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad turut diminta membantu siasatan, lapor agensi berita itu lagi. 

PKR Kedah mula goyah, hilang penyokong

oleh Sinar harian.

SUNGAI PETANI -Pelantikan Saiful Izham Ramli sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau untuk pilihan raya kecil akan datang, didakwa menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati dan tidak senang dalam kalangan ramai pemimpin dan penyokong PKR Merbok di sini.

Dakwaan tersebut dibuat bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kedah, Zamil Ibrahim yang menjelaskan bahawa beliau menerima sepucuk surat yang dihantar kepadanya, dipercayai daripada penyokong PKR sendiri. Zamil berkata, surat yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR itu jelas menunjukkan PKR bukan sebuah parti yang bermaruah, malah memalukan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan tindakan tersebut juga menyebabkan rakyat di Parlimen Merbok bertambah marah selain hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR itu sendiri. “Apa yang lebih menyebabkan PKR mula goyah di sini ialah apabila Saiful Izham masih disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin PKR kerana gagal membentangkan penyata belanjawan Pilihanraya Umum ke 11 (PRU 11). “Ini membuatkan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan beliau semasa PRU 12 lalu ketika beliau telah dipilih oleh PKR bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 8 Mac 2008,” tegasnya semasa mengadakan sidang media di Cinta Sayang Resort di sini, semalam. Zamil berkata, apa yang lebih memeranjatkan pemimpin dan penyokong PKR di sini ialah apabila Saiful Izham terus dilantik oleh PKR menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil PKR DUN Bukit Selambau untuk pilihan raya kecil akan datang selepas penolakan SPR itu pada PRU 12 lalu.

Katanya, ramai pemimpin dan penyokong PKR Merbok tidak senang di atas pelantikan tersebut malah pelantikan tersebut juga menimbulkan perasaan tidak puas hati daripada pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR) sendiri. “Malah mereka mahu saya melakukan sesuatu agar pemimpin, penyokong dan rakyat di sini tidak terus dibohongi kerana mereka tidak mahu tertipu lagi seperti yang berlaku pada PRU 12 pada tahun lepas. “Kesilapan yang berlaku pada PRU 12 lepas telah menyebabkan saya yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Pengarah Strategik PKR Merbok terpaksa meletakkan V. Arumugam (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau) sebagai calon bebas ketika itu supaya Barisan Nasional (BN) tidak mudah menang dan diisytiharkan menang tanpa bertanding,” katanya. Beliau berkata, PKR juga hanya pandai berkata-kata dalam ceramah politik.


Komen : Zamil ini adalah broker politik yg. tidak semena-mena menjadi kayaraya..tentu sekali banyak berita mengenai PKR Kedah yang diputar belitkan menjelang PRK Bukit Selambau ini..
masih ingat dalam PRK Permatang Pauh, Zamil telah membawa 200 ahli PKR Kedah keluar parti masuk BN.. Tunggu tentu lepas ini drama ini akan berulang... 2000 ahli PKR Merbok akan keluar parti masuk BN!!!!