"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umat Islam dilarang masuki premis judi di Pahang

Basiron Abdul Wahab 
KUANTAN 14 Mac (Hrkh)
 - Umat Islam dilarang memasuki premis perjudian atas alasan apa pun sebagaimana tertakluk di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang yang telah ditandatangani oleh Sultan Pahang pada 3 Desember lalu.

Perkata itu dinyatakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat resam Melayu Pahang (MUIP) Dato' Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Di bawah larangan itu, premis perjudian adalah perbagaimana ditakrif di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (disemak 1983). Ia termasuklah kedai empat nombor, Sport Toto dan sebagainya yang berselerak di seluruh negeri.

Dipercayai setiap daerah di Pahang mempunyai sekurang-kurang empat premis perjudian ekor, Sport Toto dan ramalan nombor. Semua premis terbabit penuh sesak dengan pelanggan terutama pada hari Sabtu. Ia turut membabitkan warga asing dari Indonesia, Pakistan, Myanmar, Bangladesh, India dan sebagainya.

Sesiapa yang melanggar perintah itu boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 169, Enekmen Pentadbiran MUIP No .8 /1982 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali. Penguatkuasaan larangan itu berkuat kuasa 13 Mac lalu.

Eratkan kerjasama ekonomi serantau untuk atasi krisis dunia - Husam

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my 
SURAKARTA (SOLO), 13 Mac (Hrkh) -
 Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa mencadangkan Malaysia dan Indonesia mempelopori kerjasama serantau, khususnya dalam bidang ekonomi bagi mengurangkan impak krisis ekonomi yang melanda dunia.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia harus mengajak negara-negara di Asia Tenggara mempertingkatkan kerjasama serantau meningkatkan hubungan dagang sesama sendiri bagi mengelakkan penggantungan kepada kuasa ekonomi luar.

Dengan cara ini katanya, Malaysia dan Indonesia dapat mengurangkan tekanan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini.

Katanya, Asia Tenggara harus mencontohi rantau Eropah yang membentuk blok sendiri, khusus dalam kerjasama politik dan ekonomi.

Husam juga mencadangkan, kemungkinan suatu hari nanti perdagangan dua hala antara Malaysia-Indonesia boleh dibuat dengan menggunakan nilai dinar emas supaya tidak terkesan dengan turun naik nilai matawang.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan bercakap demikian dalam pertemuan dan dialogdengan Perkumpulan Masyarakat Surakarta (PMS) hari ini.

ImagePMS adalah perkumpulan komuniti Cina di Solo yang diasaskan sejak 1932, yang bergiat dalam cergas dalam bidang ekonomi, agama, pendidikan, sukan dan kesenian.

PMS adalah gabungan enam kumpulan etnik Cina Surakarta, juga adalah sebuah badan kerjasama perniagaan yang diterajui masyarakat Cina yang menguasai perdagangan dan perniagaan di Solo dan Yogyajakarta.

Kedatangan Husam dan rombongan di ibu pejabat PMS disambut Wakil Ketua Umumnya, Wymbo Widjaksono (gambar)beserta 12 orang anggota badan pengurus PMS.

Dalam ucapannya kepada komuniti Cina di Surakarta, Husam memberitahu, di antara kejayaan utama Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah pemerintahan yang adil kepada semua kaum.

"Katanya, Kelantan adalah bukti yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang adil kepada semua rakyat, tanpa mengira agama dan kaum," ujarnya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, meningkatkan kerjasama dagang antara Malaysia dan Indonesia mesti menjadi agenda utama pemimpin kedua-dua negara.

Image"Meningkatkan kerjasama serantau, khususnya di antara Malaysia-Indonesia amat penting kerana kedua-dua negara berkongsi banyak elemen yang sama.

"Potensi untuk kita bekerjasama amat besar. Malaysia tidak harus melihat Indonesia hanya untuk pasaran tenaga kerja sahaja," ujarnya.

Husam berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Indonesia sudah membuat perubahan besar dan maju dalam bidang politik, ekonomi, penerbitan serta lain-lain.

Katanya, Malaysia harus mengetepikan persepsi bahawa Indonesia masih lagi mundur dan kekurangan dari banyak bidang berbanding Malaysia.

Husam menegaskan, Indonesia mengamalkan konsep demokrasi yang jauh lebih baik daripada Malaysia, mempunyai teknologi yang canggih dalam bidang pertanian, penghasilan produk IKS yang besar dan perkembangan ilmu yang rancak.

"Rakyat Malaysia harus memecahkan minda dan banyak belajar daripada Indonesia dalam aspek-aspek yang saya nyatakan tadi," katanya.

Sebelum itu dalam ucapan aluannya, Wymbo Widjaksono, selain berterima kasih dengan kedatangan Husam, turut berharap agar kerjasama dipereratkan dalam bidang ekonomi, kesenian, sukan dan pelancongan.

PPSMI: Perdana Menteri pun kena buli - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa 
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh)
 - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak terperanjat beliau dicari oleh pihak polis kerana dipercayai terbabit dalam perarakan tanpa permit membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Istana Negara, Sabtu lalu kerana "Perdana Menteri pun kena buli".

"Apa yang nak dihairankan, Perdana Menteri pun kena buli," kata beliau sambil merujuk laporan bertajuk "Bahasa Inggeris: Kajian dasar tidak akan dipercepat, tegas Hishammuddin" setelah disiarkan berita bertajuk "Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar".

"Bukan setakat (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) Karpal (Singh) yang dibuli oleh Pemuda Umno apabila mereka menyerang beliau di bangunan Parlimen, Perdana Menteri pun dibuli oleh Ketua Pemuda Umno kalau kita baca laporan mengenai kenyataan (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) mengenai PPSMI.

"Kalau Perdana Menteri pun kena buli, apa nak dihairankan rakyat bawahan seperti saya dicari polis," kata Mahfuz.

Mahfuz seterusnya berkata, kalau Ketua Pemuda Umno sendiri begitu ketara tidak menghormati Perdana Menteri yang juga Presiden partinya sendiri, tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno.

"Kita bercakap mengenai Perdana Menteri dari Umno, bukan (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Perdana Menteri, beliau juga Perdana Menteri dari Umno dan tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno kerana Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menghormati Perdana Menteri dari partinya malah Presiden partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Pihak polis Khamis lalu mengedarkan nama kesemua individu tersebut supaya mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samad Mah berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana perhimpunan dan perarakan PPSMI itu tidak mendapat permit dan dianggap melanggar undang-undang mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.

"Kami harap individu terbabit boleh membantu kami dengan memberikan keterangan kepada pegawai kita seberapa segera," katanya.

Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad; Timbalan Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain; Setiausaha GMP, Hasni Abas; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Mahfuz; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Akademik, Prof Abdullah Hasan; Ainon Mohd; penggiat teater, Shamsudin Othman (Dinsman); Suhaizan Kaiat; Mohamad Faizal Abd Aziz; Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua AMK Bahagian Batu, Rozan Azen Mat Rasip.