"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerja - kerja Bodoh Dalam Pas

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam. 

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata. 

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya.  Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?   

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

http://nikabduh.wordpress.com/

Berkasih sayanglah kita sesama jemaah

Saya mengutus SMS kepada adinda Nik Abduh apabila dimaklumkan tentang posting terbaru dalam blognya “Masanya memilih jalan yang lurus” dihttp://nikabduh.wordpress.com/
di bawah tajuk “Kerja-kerja bodoh dalam PAS”
dengan menyebut:

“Terkedu, terharu, Alhmadulilah”

Sekali lagi saya terpaksa mencatatkan dan mengakui tulus ikhlas betapa saya melihat adinda saya ini yang diasuh di bawah tangan ulamak besar kita sejak dari bayi, memang mempunyai masa depan yang cerah dalam barisan kepimpinan tertinggi PAS di masa mendatang sebagaimana ayahandanya. Dakwahnya dalam bentuk tulisan cukup kemas, tersusun dan penuh hikmah, sesiapa pun pasti terpesona membacanya. Dakwah seumpama ini sangat berkurangna di dunia blog yang penuh dengan fitnah, kata nista dan celaan.


Malah saya mahu berkongsi di sini bahawa Tuan Guru Presiden sendiri begitu minat dan senang hati membaca tulisan-tulisan ulamak muda ini sehinggakan saya pernah diminta memuat turun posting-posting beliau untuk dibaca Tuan Guru.

Posting terbaru beliau itu “berat” dan saya pasti begitulah hatinya apabila mahu menyusun kata dan ayat bagi menghidupkan mesejnya, apa pun yang penting beliau telah terjun untuk membetulkan keadaan dan persepsi, meredakan yang gundah-gulana dan merawat yang pilu dan sedih. Saya tidak nampak beliau mahu menaik atau menjatuhkan sesiapa tetapi yang saya kesan adalah kesungguhan beliau untuk memikul tanggungjawab agar parti dan jemaah ini jangan berpecah dan dipecahkan.

PAS adalah gerakan Islam, maka dalam keadaan apa sekalipun ia perlu kembali kepada Islam, jangan ia jadi macam parti sekular, liberal, pragmatis, sosialis atau kominis. Kerana itu jika semua kita berpegang kepada prinsip Islam, maka tidak mudahlah kita terpengaruh atau terpesona dengan mana-mana pihak lain sehingga kita meminggirkan jemaah.

PAS mendakap konsep “Kepimpinan Ulamak” lebih 20 tahun lalu bagi memastikan ia tidak tersasar dari orbit Islam yang ia tawaf. Seriusnya PAS dalam hal ini sehingga suatu transformasi besar telah dilakukan pada parti, lantas melahirkan Majlis Syura Ulamak dan terbaru pimpinan urusan ulamak di peringkat kawasan-kawasan. Mengapa, kerana kita mahukan parti ini terus berada atas saf yang betul (kebutulan blog adinda Nik Abduh bertemakan: Masanya memilih jalan yang lurus).

Kerana tranformasi inilah PAS melonjak kembali ke atas setelah jatuh merudum ke bawah dari sudut prestasi di zaman akhir Asri. Para ulamak dan sukarelawan parti telah berkerja bertungkus-lumus menjayakan konsep ini, agar PAS terus relevan dengan Islamnya, dan kini ternyata ia dihormati dan disegani, tidak syak lagi kerana kuatnya pegangannya pada Islam itu. Siapa lagi jika tidak Almarhum Ustaz Fadzil dan kedua-dua Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Abd Hadi, serta barisan ulamak dan para professional yang ikhlas serta mahasiswa dan anak-anak muda yang bersemangat yang telah bekerja siang malam membina kembali PAS, dan hari ini PAS berada pada tahap pencapaiannya yang sangat cemerlang.

Adinda Nik Abduh dan saya percaya semua kita mahukan PAS terus kekal begini. Gandingan Mursyidul Am (dengan Majlis Syura) dan Tuan Guru Presiden begitu mantap dan jelas hala tujunya. Memang ini musim pemilihan bagi PAS, lakukanlah yang terbaik buat Islam, tetapi awas semua perhitungan dan pertimbangan perlulah berlandaskan Islam, jangan ada fitnah dan adu-domba, jangan jual-jual nama, peliharalah adab dan tertib sebagaimana yang diajar oleh agama.

Kisah “unity government” dimainkan kembali oleh adinda Nik Abduh disaat kononnya tiada orang mahu menyebutnya lagi. Seakan kotor dan jijik lontaran idea Tuan Guru kita. Apa yang kita tahu mengenainya? Apa yang diberitahu pada kita? Tok Guru dan Tok Guru bertelagah? Adinda Nik Abduh telah menjelaskan, lantas bagaimana anda sekarang? 
Dan peringkat yang paling panas dalam posting beliau adalah apabila beliau menyebut:

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!
Saya begitu tersentuh apabila pembantu-pembantu ayahandanya turut digodamnya. Tersentuh kerana saya juga pembantu, sebagaimana sahabat saya Dr Ahmad Samsuri, pembantu, masing-masing SU Akhbar dan Politik kepada Tuan Guru Presiden, mungkinkah kami juga jika tidak berhati-hati akan jadi jahat juga?

Insyallah setakat yang saya tahu dan begitu juga pembantu-pembantu Presiden yang lain, kami sekadar petugas, bukan penasihat. Saya pernah ditanya oleh seorang pemimpin parti, mengapa saya tidak nasihatkan Presiden (dalam satu isu yang pemimpin tadi tidak puas hati), saya sebutkan, saya ini bukan penasihatnya, tetapi pekerjanya!

Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am kedua-duanya memiliki khazanah dan penguasaan ilmu yang besar, ditambah dengan amalan dan disiplin hidup mereka sebagaimana disebut adinda Nik Abduh:

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adal
ah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.
Siapalah kami yang kecil-kecil ini untuk menjadi penasihatnya apalagi menggunakan jawatan kami untuk mempengaruhinya. Demi Allah saya sendiri sepanjang memegang jawatan ini tidak pernah sekalipun berbuat demikian, segala yang saya terima adalah pengarahan dari Tuan Guru, jika diminta pandangan kami berbincang, jika diminta maklumat saya bekalkan, begitulah kami yang bertugas di bawah Presiden PAS yang kami kasihi, hormati dan kagumi dan rela berkorban untuknya selagi mana beliau berada di jalan yang benar, insyallah.
Lalu kalau benarlah sebagaimana yang didakwa adinda Nik Abduh itu, maka kita anggota jemaah perlu melakukan sesuatu, jangan biarkan gerakan Islam kita ini kacau angkara sesiapa pun yang tidak selari dengan apa yang telah kita bina selama ini.
Bagi saya biarlah kita berpolitik secara Islam almaklum kita pun anggota jemaah Islam. Semua kita mahu menyumbang untuk kemenangan Islam, dan kemenangan ini tidak dapat diperolehi selain campurtangan dan izin Allah swt jua. Kerana itu berkasih sayanglah kita sesama kita. Berkasih sayang semasa kita susah dan kalah dahulu dan terus berkasih sayang semasa kita senang dan menang ini.
Elakkan dari syak wasangka dan tuduh-menuduh. Si anu dan si anu ada agenda dibelakang tabir, si anu dan si anu mahu meroskakkan Islam dan PAS, si anu itu subversif dalam parti, subhanallah, hentikanlah ini semua. Biar para perwakilan memilih kita berdasarkan “merit” kita. Iaitu keupayaan kita, sumbangan kita pada jemaah,komitmen kita. Zahirkan yang ini, tak perlulah menyerang dan memburukkan apa lagi memfitnah orang lain.
Semoga yang terbaik antara kita dipilih dan kita memilih bukan angkara hawa nafsu tetapi berdasarkan fakta tanpa melucutkan pakaian taqwa kita.

Terima kasih SSZ

Saya menerima komen berikut dar pengunjung blog ini yang mengenalkan dirinya sebagai “SSZ”. Terlalu cantik susunan bahasanya, terlalu benar mesejnya, maka saya berasa terpanggil untuk mengangkat komennya itu dan diletakkan di posting ini. 


 



TGHH pernah menjadi MB, tapi tidak sedikit pun terlebihnya beliau dari segi material dan tidak terkurang sedikit pun dari segi kewibawaan. rutin harian bertambah tanpa kurangnya rutin kuliah. kerendahan hati Tok Guru tiada juga berubah, malah semakin mesra dan ramah. dah byk pemimpin yg saya bersemuka, tetapi Tok guru lah seorang pemimpin yg pada saya paling rendah hati tetapi berjiwa besar.seorang pemimpin yg tinggi ilmu tapi bangun dari bersila, dgn pantas menyambut tetamu walau belum sempat lagi untuk melangkah masuk ke rumahnya yg persis rumah2 nelayan. dgn pemberian tak seberapa, ucapan terima kasih beliau dari awal bicara sehingga akhir tak habis2... ikhlas mengatakan cinta saya pada tok guru. jika tok guru diturunkan dari pimpinan sekalipun, pada saya beliau masih seorang pemimpin yg bertaqwa dan hebat sampai bila2... 

PAS ini terbuka byk pelapis yg ada, tetapi rasanya kepimpinan dari tok guru masih diperlukan, kerana pelapis2 yg ada belum cukup mantap dan tok guru masih gagah. seorang ulama yg tidak terbatas hanya setakat ilmu agama dan politik, tetapi IT pun Tok Guru pandai...pandangan2 Tok Guru yg luas dan dari pelbagai sudut, lantang dlm menyuarakan apa yg difikirnya, tanpa mempedulikan kesan dari sudut politik, tapi tetap dinyatakan demi menegakkan kebenaran dan suasana aman serta membawa faedah kpd rakyat. pada saya belum nampak ada yg dpt mengatasi tok guru setakat ini. bkn lah kita taksub pada tok guru, tapi jika dinilai dari pelbagai sudut, dari pandangan kita ahli biasa dan rakyat biasa ini... 

mmg ada yg berpotensi besar dan kecil, tapi belum mencapai sehingga rasanya perlu sehingga tok guru diganti.kita dlm PAS bukan pejuang politik, kita adalah pejuang islam. bermakna tidak kira walau ketika air tenang mahupun badai bergelora, itu yg kita pegang dan kita naikkan serta julang setinggi2 nya... siapa yg setakat ini mampu berdiri teguh dihadapan bahtera memandu arah. ianya mesti org yg amat jelas pandangannya dan amat jauh serta tajam... tidak takut terlanggar batu karang atau sesat. 

biarlah bagaimana islam itu ditentang, kita teguh meredahnya... ada ketika ramai yg terjatuh kelaut tapi ada juga yg dpt naik semula... tapi nakhoda yg sedang memandu arah dgn hebat itu tidak perlu rasanya disuruh berehat sebagainya, beliau baru memegang teropong dan peta... jgn hanya kerna beliau tidak mahu mengambil jln pintas yg berbahaya, yg mendatangkan risiko apa yg dibawa dan dijaga itu bersepah hilang entah kemana... dek kerana jln pintas yg lebih merupakan perangkap yg hanya menyebabkan ramai yg akan kecundang sementara perlayaran juga kemungkinan besar tidak sampai pun... kita suruh nakhoda kita turun dan duduk istirehat di dalam kamar... tak patut...berbagai rintangan yg dtg, ribut taufan berselang pula dgn kedinginan yg menusuk tulang ketika laut juga sunyi sepi... bila siang panas pula tanpa sebarang lindung, sesekali burung liar juga sempat merampas beberapa makanan yg menjadi bekal... beliau tetap teguh memandu arah... 



sudah bersediakah bg yg bakal menggantikan beliau utk memikul tugas2 berat dan paling penting utk pelayaran ini?apa yg dilalui para jurumudi dan anak2 kapal, kedudukan yg beliau duduki itu lebih teruk dugaannya yg akan dilalui. bersediakah?masih byk lagi bahagian2 lain dlm kapal yg perlu diamati, dipelajari dan dikuasai demi memimpin pelayaran seluruh keadaan kapal wajiblah berada dalam fikiran sentiasa... utk itu pengalaman yg mendalam bagi setiap bahagian itu amat penting. hargailah dan gunalah sebaik2 peluang yg ada sementara kita dipimpin oleh manusia hebat tetapi rendah diri ini utk melakukan persediaan secukupnya. demi masa depan yg insyaAllah akan menjadi semakin utuh. 



wassalam... 

Sehubungan dengan itu saya masih teringat satu ceramah yang disampaikan oleh Tuan Guru Hj abd Hadi Awang. Dalam ceramah itu beliau mengatakan (lebih kurang yang saya ingat) bahawa kiranya Raja mangkat, penggantinya adalah waris keturunannya, begitu juga pemimpin biasa, meninggal orang yang di bawahnya akan menggantikannya, tetapi kalau yang meninggal itu “Tok Guru” belum tentu kita mudah mendapatkan penggantinya. 

Untuk makluman beliau berceramah ketika itu di Kelantan, semasa Kelantan menghadapi krisis perlembagaan yang melibatkan kerajaan negeri dan istana. Beliau bukan menyebut tentang dirinya tetap tentang seorang lagi Tok Guru iaitu Tok Guru Nik Abd Aziz. 

Demikianlah taraf seorang Tok Guru dalam masyarakat yang celik, fakir-fikirkanlah.