"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Latif YDP PAS paling muda di Kelantan

KUALA KRAI, 3 Mei (Hrkh) - Mungkin satu tranformasi baru berlaku di Kelantan apabila golongan muda diberi peluang menerajui pentadbiran PAS kawas

Sedangkan kebiasaannya Yang Dipertua (YDP) PAS terdiri daripada mereka yang agak berusia.

Namun di Kuala Krai perwakilan memilih Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, 38 sebagai YDP baru PAS apabila menewas penyandangnya pada mesyuarat agung yang diadakan semalam.

Pada pemilihan itu Abdul Latif mengatasi bekas anggota parlimen Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmood. Manakala Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaacob mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan pencabarnya, Ustaz Zulkefli Yaacob.

Ismail Jalil pula menang sebagai Naib YDP apabila berjaya mengatasi Mohd Razali Abdullah.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Ismail Sulaiman, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Mahadi Mat Zain dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Norizan Mohd Zain.

Manakala di PASIR PUTEH, tiada perubahan dalam kepimpinan PAS kawasan itu biar pun berlaku pertandingan agak sengit bagi kesemua jawatan utama.

Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad kekal sebagai YDP apabila mengatasi dua pencabarnya iaitu anggota parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan Adun Selising, Drs Saiful Baharin Mohamad.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat juga mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan tiga pencabarnya iaitu Yuganu Yunus, Zarir Yaakub, Sidi Ahmad Taib.

Manakala Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim menang di kerusi Naib YDP apabila berjaya mengenepikan Ibrahim Ismail dan Adnan Othman.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Wan Leh Wan Dollah. Ketua Dewan Pemuda, Mohd Nazlan Abdullah dan Ketua Dewan Muslimat, Hajah Kalthom Othman.

Sementara itu, di PENGKALAN CHEPA, Dato' Mohd Amar Abdullah mengekalkan jawatan YDP kawasan tersebut, timbalannya Haji Yusof Ludin, manakala naib YDP, Haji Osman Awang yang berjaya mengatasi Dr Izani Hussin.

Wan Ubaidah Omar kekal sebagai Ketua Dewan Muslimat dan Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz - ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa.

Seramai 230 perwakilan dari tiga Dun iaitu Cempaka, Kijang dan Panchor hadir pada mesyuarat tersebut yang diadakan di Kompleks Purnama, semalam.

Sementara itu Mohd Amar berkata, PAS Pengkalan Chepa mencatat sejarah apabila pertama kali berlaku pertandingan merebut jawatan utama iaitu Naib Yang Dipertua.

Nizar : Ikatan kukuh Pakatan Rakyat bermula di Perak

M Faqih, Mohd Nor Yahya 

KUALA KRAI, 3 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat biar pun baru diwujudkan namun kini sudah menjadi satu ikatan yang kukuh.

Ini dapat dibuktikan apabila Pakatan berjaya mentadbir kerajaan di Perak. Sedangkan sebelum ini PAS sukar menjalinkan kerjasama dengan DAP memandangkan perbezaan ideologi.

Namun segala halangan tersebut berjaya diketepikan selepas pilihan raya umum tahun lepas.

"Inilah kelebihan tahaluf siasi yang diamalkan PAS bagi menjalinkan hubungan dengan pemimpin bukan Islam," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, Perak menjadi perintis untuk membuktikan kemampuan Pakatan Rakyat mengurus sebuah kerajaan yang mana komposisi antara kaum hampir setara.

Ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Kuala Krai di Markaz Sungai Durian, semalam katanya tanpa pendekatan tersebut PAS tentunya tidak mampu berada dalam kerajaan di Perak.

Sebelum itu ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Pengkalan Chepa katanya, PAS di Perak melalui perubahan yang ketara walau pun lebih 10 bulan menerajui kerajaan negeri.

Menurutnya dalam tempoh tersebut rakyat sudah dapat menerima kehadiran PAS termasuk masyarakat Cina dan India.Image

"Ini terbukti kemenangan PAS di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini. Sokongan padu masyarakat bukan Islam telah menambah majoriti diperolehi PAS pada pilihan raya tersebut.

"Kalau ke Perak tuan-tuan akan dapat melihat rakan-rakan kita dari dari kaum Tionghua dan India memakai baju bergambar Tok Guru. Mereka kini tidak segan lagi menyokong Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas itu.

Ditanya ada kawasan yang mencalonnya bertanding jawatan Naib Presiden PAS katanya beliau belum dapat memberi jawapan lagi.

Kata beliau tumpuannya sekarang menyelesai beberapa kes yang dibawa ke mahkamah mengenai krisis yang berlaku di Perak.

Beliau juga berharap pertandingan yang akan berlaku pada muktamar Jun depan tidak menjadi halangan dalam usaha memperkasakan hubungan persaudaraan Islam.

Nizar yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berharap peristiwa rampasan kuasa yang pernah berlaku di Kelantan dan terbaru di Perak perlu dijadikan sebagai pengajaran kerana musuh tidak akan berdiam diri bagi menawan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, cawangan-cawangan PAS hendaklah bekerja keras dan kerap mengadakan aktiviti bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

"PAS kawasan tidak akan berjaya sekiranya cawangan berdiam diri dan kita tidak boleh beranggapan PAS kawasan maju selagi cawangan berada di tahap lama serta kurang kegiatan," katanya.

Pada mesyuarat itu, dua usul tanpa bahas diluluskan iaitu Cawangan Kedai Lalat yang mendesak kerajaan Malaysia mengadakan peraturan mana-mana wakil rakyat yang bertukar parti mestilah meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Usul PAS Cawangan Pulau Belachan pula mendesak kerajaan negeri melantik ahli lembaga pengarah dan pegawai-pegawai syarikat milik kerajaan negeri mempunyai latar belakang pendidikan, kemahiran dan berpengalaman dalam bidang berkaitan. 


Ikhwan dan Jamaat bukan parti Islam


Mustafa Mashhour menjadi Murshidul Am Ikhwan Muslimin pada tahun 1996 sehinggalah beliau kembali ke pangkuan Kekasihnya Yang Maha Berbelas Kasihan pada bulan November 2002. Beliau berumur 81 tahun ketika itu.
Pada tahun 1943, beliau mendapat ijazah sarjana muda sains dan pernah berkerja di Jabatan Meteorologi Mesir.
Perjuangannya menegakkan Islam menyebabkan beliau masuk keluar penjara. Pada tahun 1948, beliau dipenjarakan hingga tahun 1952. Pada tahun 1954 beliau dijatuhkan penjara 10 tahun. Pada tahun 1965, sekali lagi beliau dipenjarakan hingga tahun 1971.

Di Pakistan, Qazi Hussain Ahmad (gambar di sebelah ketika beliau ditangkap polis Pakistan) menjadi Ameer Jamaat-e-Islami dari tahun 1987 sehinggalah 31 Mac lalu apabila beliau enggan dipilih lagi sebagai ketua atas sebab-sebab kesihatan. Ketika beliau menjadi Ameer Jamaat-e-Islami, kempen keanggotaanya berjaya menambah sehingga 4.5 juta ahli baru dan Jamaat-e-Islami semakin merakyat.

Sama seperti pejuang Islam lain, beliau juga berkali-kali ditahan oleh kerajaan Pakistan kerana perjuangannya. Beliau diharamkan masuk ke Mesir pada tahun 2007. Sebelum itu, pada tahun 2004, beliau diharamkan masuk ke 25 negara Eropah.
Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang geografi dari Universiti Peshawar.

Pengganti Qazi Hussain sebagai Ameer Jamaat-e-Islami ialah Syed Munawar Hasan. Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang sosiologi dan pengajian Islam dari Universiti Karachi. Beliau juga bukan seorang ulama.

Pada tahun 1959, beliau pernah menjadi presiden National Students Federation (NSF), sebuah badan pelajar berhaluan kiri.

Pagi ini saya memutuskan bahawa Ikhwan dan Jamaat bukan parti Islam kerana pernah berketuakan bukan ulama. Jika kedua-duanya parti atau gerakan Islam, Presiden dan timbalannya mestilah seorang ulama.