"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno PAS : Ulama PAS tidak seperti ulama Umno - Harun Taib

Zain Hashim

SHAH ALAM, 5 Jun (Hrkh) - "Ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT...tidak seperti ulama Umno yang mengikut telunjuk pemimpin mereka.

Demikian antara ungkapan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang baru, Dato' Harun Taib di akhir Muktamar DUPP semalam.

Sebelum itu, beliau tidak menyangka bahawa akan dipilih sekali lagi bagi menerajui dewan berkenaan setelah membuat keputusan pada 2007 untuk tidak mempertahan jawatan bagi memberi laluan kepada orang lain.

Beliau berkata demikian sebagai ucapan sulung setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut di Muktamar Tahunan dewan berkenaan kali ke-48 yang berlangsung di Auditorium Muzium Shah Alam semalam.

Kenyataan beliau telah menggamit para perwakilan apabila menyatakan bahawa dewan berkenaan bermuktamar kali ini di muzium, seolah-olah ulama mahu dimuziumkan, walau bagaimanapun tegasnya, muzium adalah tempat menyimpan bahan-bahan bersejarah dan bernilai tinggi yang sering dikunjungi oleh orang ramai, maka ulama pun sering dikunjungi bagi mendapatkan buah fikiran dan pandangan berharga mereka.

Beliau membuka cerita mengenai penglibatan pertamanya selaku Ketua DUPP, ia bermula pada 1997, apabila AJK dewan berkenaan menerima hasrat ketuanya pada ketika itu, iaitu Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berundur bagi menumpukan tugas sepenuh masa sebagai Menteri Besar Kelantan, hasratnya diterima dan ketika beliau (Harun) kebetulan lalu di hadapan pejabat DUPP, beliau dicekup oleh seorang AJK dewan itu untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat dan terus dicadangkan untuk menerima jawatan tersebut.

"Selepas 1982, ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT, sehingga pengaruh PAS masuk ke dalam Institut Pengajian Tinggi dalam dan luar negara hingga melahirkan golongan ulama yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat, perkara ini tidak berlaku dalam Umno di mana ulama-ulamanya hanya mengikut telunjuk pemimpin mereka,"ujar beliau dengan penuh bersemangat.

Dalam ucapannya juga beliau berterima kasih kepada semua perwakilan termasuk ulama daripada kalangan muslimat yang telah memainkan peranan penting bagi memajukan PAS di persada politik tanah air, di mana ulama dari kalangan muslimat yang terpilih juga merupakan individu yang berkebolehan dari sudut ilmu pengetahuan yang tidak ada tempat bagi menyalurkan pandangan mereka, justeru mereka diambil untuk menganggotai DUPP agar dapat menyampaikan pandangan ulama kepada muslimat.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan berjanji untuk melihat secara mendalam segala pandangan yang diutarakan oleh para perwakilan dalam muktamar kali ini.

Muktamar PAS 55 : Dewan ulama berjaya mantapkan ahli

Zain Hashim

SHAH ALAM, 5 Jun (Hrkh) - Penggulungan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Ulama, Ustaz Hashim Jasin berkenaan isu wala, ukhuwah dan tarbiyah mendapat perhatian penuh daripada perwakilan yang menghadiri Muktamar dewan berkenaan kali ke-48 di Auditorium Muzium Shah Alam dekat sini semalam.

Beliau berkata, sesungguhnya Dewan Ulama PAS berjaya memantapkan ahli-ahli PAS seluruh negara dalam program usrah hingga menjadikan mereka sangat berlainan dengan ahli-ahli Umno dari sudut penampilan, cara berfikir dan penggarapan maklumat mengenai Islam.

Beliau membuat contoh di Perlis, walaupun negeri itu kecil, namun PAS yang terdiri daripada dewan hariannya serta sayap-sayap parti berhimpun sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk berunsrah bagi memantapkan jati diri serta kefahaman terhadap perjuangan Islam.

Muktamar kali ini merupakan yang terakhir baginya kerana beliau tidak mempertahankan jawatan selaku Timbalan Ketua Dewan Ulama bagi memberi laluan kepada mereka yang lebih berhak, berketerampilan dari sudut fizikal dan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi.

Dari sudut wala pula tegas beliau, secara peribadi beliau berpuas hati kerana ia masih berjalan pada landasan yang betul, walaupun tidak akan mempertahan sebarang jawatan dalam parti, namun beliau akan memberikan sepenuh wala kepada pimpinan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Allah SWT.


PKFZ dan kisah-kisah pelik tapi benar

Shirzad Lifeboat

SUKAR untuk difikirkan bagaimana perbelanjaan modal (capital expenditure) yang asalnya dibajetkan untuk RM2 bilion akhirnya berpotensi melonjak ke paras melepasi paras RM12 bilion.

Memang pelik.Tapi itulah yang bakal berlaku ke atas Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), sebuah agensi kerajaan Persekutuan di kuasai Umno-BN akibat penglibatannya secara langsung dalam pembangunan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dan oleh kerana LPK adalah sebuah agensi kerajaan Persekutuan, maka segala lialibitinya sudah tentu akan ditanggung oleh kerajaan lalu justeru tidak mustahil wang sebanyak RM12 bilion ini juga akan dibayar oleh Kumpulan Wang Yang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Bail-out PKFZ?

Setakat ini nampaknya belum terdengar lagi ura-ura penebusan (bail-out) PKFZ akan dilakukan oleh sebuah GLC yang kaya dengan dana tunai, sebagaimana yang dilakukan oleh Petronas terhadap beberapa syarikat penuh milik kerajaan, seperti Bank Bumiputera (M) Bhd misalnya, sekadar menamakan satu contoh klasik.

Tidak juga kedengaran sebarang cadangan agar penebusan mungkin dilakukan dengan menggunakan dana agensi lain kerajaan yang juga kaya dengan dana tunai seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Mungkin kedua-dua cara penyelamatan dan penebusan ini tidak dapat dilakukan melainkan undang-undang agensi berkenaan dipinda bagi turut membolehkannya menebus kembali sebuah badan berkanun kerajaan.Ini kerana sejauh ini penebusan yang dilakukan terdahulu adalah antara badan berkanun atau syarikat milik kerajaan terhadap syarikat milik kerajaan yang lain dan bukannya antara syarikat milik kerajaan atau badan berkanun kerajaan ke atas badan berkanun kerajaan yang lain.

Namun tidak mustahil kerajaan Umno-BN akan meminda undang-undang bagi membolehkan penebusan serupa itu dilakukan memandangkan rekod parti berkenaan yang meminda atau menggubal undang-undang berdasarkan kepentingan parti dan tidak semestinya bertolak kepada kepentingan awam dan negara.

Sukar difahami

Sisihan atau 'deviation' RM10 bilion (RM12 bilion - RM2 bilion) dalam penyediaan bajet projek PKFZ sudah tentulah sukar difahami, malah oleh akauntan terhandal di atas planet Bumi sekalipun. Ia mewakili ralat 600 peratus. Dalam penyediaan bajet sesuatu projek sisihan melebihi 10 peratus sudah dikira amat buruk.

Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021055&Itemid=60