"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pimpinan baru perlu fokus agenda sebenar PAS

Saidah Hairan

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS menyeru pimpinan PAS yang baru dipilih perlu memfokuskan gambaran sebenar agenda PAS samada hanya mahu menjadi bahan sejarah atau mencipta sejarah.

Menurut wakil DMPP, Dr Halimah Ali semua pimpinan PAS yang mahu mengarusperdanakan PAS kepada politik perlu mencorak dan memikirkan apa yang harus dibawa dengan suasana yang sesuai.

Beliau berkata demikian ekoran terdapat perwakilan yang berucap seolah-olah terdapat pemisahan diantara golongan Ulama dan profesional.

"Dakwaan itu seolah-olah masih menghantui pimpinan dan ahli PAS, ini adalah hasil penjajah yang begitu berjaya sehingga pendukung PAS berjaya dipisahkan sebagai aktiviti yang mendukung cita-cita perjuangan," katanya.

Dalam membahaskan ucapan dasar beliau memohon AJK PAS yang baru dipilih perlu melihat apakah kemahiran yang sudah dimiliki dalam PAS dari peringkat cawangan hingga Pusat sebelum menjangkau lebih jauh.

Katanya, PAS perlu memperkasakan lajnah pendidikan hingga ke akar umbi kerana setiap cawangan PAS boleh merancang dan mendekati insitut pendidikan dari tadika hingga IPT dalam bentuk dunia dan ukhrawi.

Beliau menegaskan, ini cara paling untuk mendekati sasaran dakwah dalam program pembangunan model insan yang telah dilaksanakan di negeri Selangor.

DMPP harus bergabung tenaga dan perlu mempunyai Lajnah Pendidikan kerana majoriti guru-guru Pasti terdiri daripada wanita begitu juga pelajar di IPT.

"Saya menyeru kepada AJK PAS Pusat supaya mengambil tindakan untuk melebar dan memperkasakan Lajnah pendidikan ini untuk dibawa ke peringkat cawangan," tegasnya.

Dalam masa yang sama juga beliau menyeru semua perwakilan dan ahli PAS memasarkan ikon perpaduan Malaysia sebenarnya bukan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak tetapi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Skandal PKFZ : Dalang Perlu Diadili Segera!

Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Hrkh) -Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar pihak berkuasa bukan sekadar menyiasat tetapi segera membawa ke muka pengadilan dalang di sebalik skandal projek Port Klang Free Zone (PKFZ).

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut, ini berikutan penggunaan wang rakyat yang amat besar digunakan dalam projek ini.

"AMK Selangor juga bertegas agar satu Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ditubuhkan yang mempunyai kuasa untuk menyiasat skandal PKFZ ini secara menyeluruh dan bebas.

"Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ini boleh memanggil semua pihak yang terlibat dengan bebas dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, AMK Selangor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertindak pantas sepertimana ketegasannya menyiasat kes Lembu dan Lexus sebelum ini.

"Kita mahu SPRM menunjukkan profesionalisme dan kredibilitinya yang sebelum ini teruk dikecam daripada pelbagai pihak.

"AMK Selangor mempersoalkan pihak SPRM apakah tidak berminat untuk membuat siasatan skandal PKFZ ini yang jumlah mencecah Bilion Ringgit Malaysia?"soalnya.

Mohd Ezli juga menggesa agar isu 'conflicts of interest' pihak-pihak tertentu juga disiasat segera.

"Kita mahu pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan tegas dan bertindak mendakwa pihak-pihak berkenaan jika bukti yang diperolehi mencukupi untuk membawa kes ini ke pihak mahkamah,"katanya.

Beliau melahirkan harapan agar Skandal PKFZ ini dibongkar dan disiasat dengan menyeluruh.

"Kita mahu wang rakyat dan negara diselamatkan daripada terus menjadi mangsa kerakusan beberapa pihak tertentu,"tegasnya.


Jangan ghairah untuk ke Putrajaya hingga lupa bela Islam

Roy Rasul | Foto Wan Zahari Wan Salleh

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - PAS diingatkan jangan terlalu ghairah bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara tetapi mula lupa untuk menjadi pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama.

ImageDemikian luahan perwakilan Johor, Ahmad Zulkornian apabila dalam ucapan perbahasannya atas ucapan terima kasih Presiden PAS itu beliau turut mencipta kelainan semasa berucap mengungkapkan ungkapan berirama ala-ala sajak.

Sajaknya telah memukau hadirin seketika yang berada dalam persidangan Muktamar PAS Tahunan ke-55 yang berlangsung di Stadium Malawati, hari ini.

Dengan penuh semangat beliau mendeklamasi bait-bait yang mempunyai maknanya tersirat dan tersurat:

Negara kita amalkan demokrasi
Musuh kita banyak konspirasi
Banyak autokrasi
banyak birokrasi
Banyak kuku besi
Banyak buta tuli
Banyak provokasi
banyak eksploitasi
Hingga tercetus reformasi

Ini sebagai satu manifestasi
Namun kita kurang integrasi
Hidup bagai nafsi-nafsi
Macam tak boleh kongsi
Mental kita telah direvolusi
Kita sering dimanipulasi
Bimbang berlaku korupsi
bila jiwa tak diisi
Inilah implikasi

Sementara itu, selain menyelitkan bait-bait tersebut beliau berkata," sepatutnya tahaluf bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat, membawa maslahah dan kita mengikat parti."

Namun katanya, apa yang membimbangkan PAS Johor di dalam keghairahan bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara, PAS dilihat seolah-olah mula longgar di atas beberapa teras perjuangan yang selama ini PAS sebagai pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama.

ImageIsu-isu tersebut katanya, seperti penutupan atau perampasan sekolah agama rakyat, menghina Islam, murtad dan sebagainya.

"Dalam isu murtad, dulunya bila berlaku perkara ini, ia akan menjadi keutamaan untuk dipertahankan.

"Tetapi sekarang seolah-olah kita mendiamkan diri, lesu dan tidak memberikan perhatian lagi, kalau ada pun sekadar melepaskan 'batuk di tangga'," katanya.

Beliau berkata dahulu, sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam ia akan menjadi keutamaan untuk diambil tindakan.

Ahli-ahli PAS tegasnya, sanggup turun ke padang dan bermandi darah demi menjaga maruah dan kesucian agama Islam.

Hari ini pula katanya, seolah-olah hanya mempunyai satu agenda perjuangan iaitu bagaimana hendak ke Putrajaya.

Matlamat agenda tersebut katanya, seolah-olah mengharuskan PAS menangguhkan agenda-agenda utama lain termasuk menangani isu akidah.

Contohnya, baru-baru ini kabinet mengeluarkan keputusan yang jelas bertentangan dengan syarak dan perlembagaan berhubung hak menentukan agama anak-anak di bawah umur.

"Keputusan ini jelas mencabar hak umat Islam namun berapa ramai ahli PAS yang membantah, di mana Pemuda PAS, di mana Muslimat PAS, adakah kita ingin melihat saja dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila berdepan dengan isu ini?" soalnya.

Beliau berkata, menegakkan negara Islam, melaksanakan sistem perundangan Islam, memerangi gejala murtad dan sebagainya mesti menjadi agenda utama dan diutamakan dalam perjuangan PAS.

"Walaupun ia adalah di luar kerangka Pakatan Rakyat, perkara ini mesti jelas kerana ia prinsip perjuangan," ujarnya.