| Usul haram SIS: Penjelasan Khalid Samad |
| Jimadie Shah Othman |
| Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, mereka tidak berniat menggalakkan penggunaan kuasa untuk berdakwah "pihak yang berbeza pandangan dengan aliran Islam arus perdana", seperti Sisters in Islam (SIS). "Memang banyak pendirian SIS yang kita tidak senangi, tidak setuju dan kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri. Tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu, supaya tindakan diambil dan diperbetulkan. "Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam. Beliau mengulas usul yang dicadang PAS kawasan itu dalam muktamar PAS lalu yang meminta kerajaan menyiasat dan mengharamkan SIS sekiranya aliran dan pandangannya bertentangan dengan syariat Islam. Usul PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas oleh muktamar ke-55 PAS minggu lalu. Usul itu berbunyi, antara lain: "(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal. "Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya." Dapat bantahan meluas Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular. Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan - PKR dan DAP - serta sejumlah NGO dan individu. Khalid berkata, Islam menggariskan beberapa panduan berdakwah, seperti disebut dalam al-Quran, antaranya, menggunakan pendekatan berhikmat, memberi nasihat dam berhujah dengan cara yang baik dan menarik. Beliau berkata, kaedah dan pendekatan tersebut telah digunapakai sejak lama dahulu, termasuk oleh tokoh besar Islam Imam al-Ghazali. Katanya, usul itu asalnya dicadangkan Dewan Muslimat PAS kawasan itu, tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat kawasan pada 19 April lalu, sebaliknya dibawa ke mesyuarat khas pada 23 April. Khalid berkata, dalam mesyuarat itu, PAS Shah Alam bersetuju mengubah beberapa perkataan dalam usul itu yang boleh menimbulkan salah faham seperti perkataaan "mengharamkan" dan "pemulihan". Selepas itu, tambah Khalid, ia diserahkan kembali kepada Dewan Muslimat bagi membetulkannya. 'Saya terlepas pandang' "Tetapi oleh kerana sibuk dengan pilihanraya kecil Penanti ketika itu dan sibuk merasmikan mesyuarat agung menjelang muktamar, saya terlepas pandang," tambahnya. PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS pusat pada hari ini atau esok, bagi menerangkan pendirian mereka serta melampirkan kronologi kejadian tersebut, katanya. Bagaimanapun, bekas ahli biro politik PAS itu berkata, mereka tidak perlu meminta maaf kepada SIS. "Kalau perlu saya akan minta maaf kepada PAS terlebih dahulu. Kalau ikut ayat ini, kita tidak kata apa-apa. Tetapi imej buruk ini bukan kena kepada SIS tetapi PAS. Ia mengukuhkan persepsi salah kepada kaedah dan pendekatan PAS itu sendiri," katanya. Beliau juga berkata, tidak timbul juga isu menariknya balik kerana ia bukan usul sebenar yang telah dipinda, dan sepatutnya kepada ibupejabat. Walaupun menafikan beliau disabotak pihak-pihak tertentu, Khalid mengakui usul tersebut telah mencalarkan sedikit imej PAS. -malaysiakini- |
SIS : Imej PAS Sedikit Tercalar Akibat Dari Khalid Samad Terlepas Pandang
Umno/MCA : 76% Responden Dah Meluat Dengan Umno?
Satu pungutan suara bertajuk “Adakah Perlu MCA Keluar BN?” dalam laman blog Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dalam versi Inggeris telah dikeluarkan bersama-sama dengan pungutan suara yang lain. Dalam pungutan suara tersebut 76 peratus daripada responden bersetuju bahawa MCA perlu keluar daripada BN.
Respons pertama kepada pungutan suara “Adakah Perlu MCA Keluar BN" dikemukakan pada 27 Ogos tahun lepas sewaktu Ong masih belum menjadi presiden parti itu. Pungutan suara ini telah mencetuskan bantahan beberapa pihak terutama UMNO. Cuba baca ulasan Awang Selamat dibawah ini...
Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT
Satu pungutan suara bertajuk "Adakah Perlu MCA Keluar BN ?" dalam laman blog Presiden MCA, Ong Tee Keat dalam versi Inggeris telah mencetuskan bantahan beberapa pihak termasuk UMNO.
Awang turut tertanya mengapa perlunya pungutan pendapat itu dalam laman blog pemimpin parti komponen dalam BN. Topik itu telah dimuatkan sejak tahun lepas dan dibiarkan lama biarpun ketika Tee Keat sudah menjadi Presiden MCA.
Bagaimanapun pungutan suara itu dikeluarkan daripada laman blog tersebut kelmarin. Berdasarkan laporan akhbar, 76 peratus daripada responden dalam pungutan suara itu bersetuju bahawa MCA perlu keluar daripada BN.
Persoalan mengapa pungutan suara dengan tajuk yang sedemikian dibuat dan dibenarkan dalam laman blog Presiden MCA?
Bayangkan jika Pergerakan Pemuda UMNO dalam blognya menyiarkan bancian bertajuk "Setujukah anda bahawa MCA gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya umum lalu dan wajar dicerminkan dalam pembentukan kabinet?"
Sudah pasti MCA akan melompat dan menjadikannya isu besar. Pada Awang dan ramai lagi, pungutan suara itu adalah sebahagian daripada muslihat MCA mahu menekan UMNO. Strategi sedemikian tidak akan berkesan kerana prestasi MCA merudum teruk dan gagal mengatasi pengaruh DAP yang begitu agresif. Kalau masyarakat Cina sudah menolak MCA, untuk apa lagi memberi muka kepada parti itu?
Malah jika MCA mahu meninggalkan BN, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Dengan adanya MCA sekalipun, BN belum tentu dapat memenangi hati masyarakat Cina (termasuk pada pilihan raya umum depan). Sebaliknya UMNO akan sentiasa diasak untuk banyak mengalah kononnya atas nama perubahan.
UMNO mesti bersedia daripada sekarang menghadapi sebarang kemungkinan daripada percaturan politik parti komponen tertentu. Jika ada parti yang mahu keluar, usah ditahan. Biarkan sahaja.
Mungkin UMNO perlu merangka model politik baru dan mencari mekanisme terbaik mendekati hati bukan Melayu tanpa melalui parti komponen. Jika kaedah itu tidak banyak membantu di peringkat awal, tidak mengapa. Yang penting, UMNO tidak seharusnya lagi bermurah hati semata-mata mahu menjayakan perkongsian kuasa sedangkan ada parti komponen yang sentiasa mengenakan tekanan. Mereka sahaja yang mahu menang dan bersikap keterlaluan. Maka untuk apa lagi perkongsian kuasa yang sebenarnya lebih menguntungkan pihak lain?
"PKR suara baru komunis"?
| Anwar: Benarkan Chin Peng pulang |
| Atas dasar perikemanusiaan, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, patut dibenarkan pulang ke Malaysia, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Dia (Chin Peng) umur pun dah tua. Dia nak balik ke kampung halaman dia. Kita dah benarkan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap dalam Kongres Khas PKR di Bangi hari ini. Menurut Anwar, ketika berada dalam kerajaan dahulu, beberapa pemimpin Umno, termasuk beliau pernah berkunjung ke China dan bertemu dengan pemimpin Parti Komunis China. "Kita ada perjanjian damai. Kita bawa balik perbagai tokoh termasuk, Shamsiah Fakeh dan beberapa (pemimpin) yang lain. Bagi saya, atas dasar kemanusiaan dan konsisten dengan dasar, kita kita harus maafkan (Chin Peng). "Dari segi Islam, ketika pembukaan Mekah, Rasulullah memaafkan semua kafir Quraish yang menyerang, membunuh dan melakukan keganasan terhadap Islam dan penyokong Rasulullah. Maknanya ada masa kita berdamai," katanya. Chin Peng, 85, tinggal dalam buangan di Bangkok dan telah memohon kebenaran kerajaan dan juga melalui mahkamah untuk pulang ke Malaysia. Dilahirkan di Perak sebagai Ong Boon Hua pada 1923, Chin Peng dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua. Perjanjian damai Dia kemudiannya mengetuai Parti Komunis Malaya (PKM), yang disokong oleh China, melancarkan perang gerila terhadap penjajahan British dan kerajaan Malaysia, antara 1948 dan 1960. Ahli-ahli sejarah menganggar kira-kira 2,000 tentera British dan pasukan keselamatan Malaysia terkorban serta 7,000 anggota komunis. PKM kemudiannya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989 yang membenarkan beberapa pemimpin tinggi PKM pulang ke Malaysia. Menurut Anwar lagi, Chin Peng harus dibenarkan pulang tetapi "ia tidak bermakna kita bersetuju dengan kesemua kesilpan yang telah dilakukannya". Sebaliknya, kata beliau, pendiriannya mengenai Chin Peng itu adalah atas "alasan kemanusian" dan bukannya kerana beliau menyokong PKM kerana sewaktu masa mudanya, beliau menentang keras fahaman komunisme. Banyak pihak, termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, menentang keras Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata sebarang saranan untuk membenarkan Chin Peng tidak akan dilayan dan menegaskan perkara itu hendaklah "ditutup". Anwar berkata beliau menjangka Utusan Malaysia - akhbar milik Umno - akan "memutarbelit" kenyataannya mengenai Chin Peng hari ini. Ada kemungkinan, katanya, mereka akan menulis tajuk "Anwar sokong Chin Peng" atau "PKR suara baru komunis". -malaysiakini- |