"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/MCA :Penyertaan Zaid Ke PKR Mungkin Tarik Penyokong MCA Sertai Parti Itu.

Keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyertai PKR semalam dijangka di susuli dengan kemasukkan beberapa tokoh MCA ke dalam parti itu, menurut laporan Malaysian Insider.

Seorang bekas senator dan bekas menteri dari parti Barisan Nasional itu dilapor sedang menimbang untuk menyusul langkah Zaid menyertai PKR.

Zaid dilihat sebagai seorang pemimpin Melayu yang disenangi oleh kaum Cina dan kemasukan beliau dalam PKR akan membantu imej parti pembangkang itu, menurut laporan berkenaan.

Zaid dipecat dari UMNO tahun lalu setelah melepaskan jawatannya dalam Kabinet kerana membantah langkah BN menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap beberapa orang termasuk wartawan.

MCA telah dibelenggui dengan masalah dalaman setelah parti itu kalah teruk pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Presiden MCA Ong Tee Keat dilihat sebagai gagal untuk meraih kembali sokongan kaum Cina dan kini terbabit dalam percakaran terbuka dengan timbalannya Chua Soi Lek.

Sokongan kaum Cina untuk MCA dikatakan merosot kepada hanya sekitar 15 peratus berbanding 30 peratus pada pilihanraya umum lalu.

Satu undian dalam laman web Ong menyaksikan purata tiga daripada empat orang yang menyusuri laman itu mahukan parti itu keluar daripada Barisan Nasional.

Ini kerana masyarakat Cina mempunyai tanggapan negatif yang semakin menebal terhadap UMNO.

Kemasukan Zaid dalam PKR juga dilihat akan membantu meleraikan syak wasangka orang Cina terhadap Pakatan Rakyat berikutan pemilihan pucuk pimpinan PAS minggu lalu yang membariskan ramai ulamak.

Zaid dihormati sebagai pemimpin Melayu bersikap sederhana dan sentiasa menganjurkan sifat kerjasama dan toleransi antara pelbagai kaum di negara ini.

Zaid memberitahu pemberita semalam bahawa beliau berhasrat membantu memperkukuhan Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebuah kerajaan alternatif yang berupaya menggalas amanah rakyat.

-TVAntara.com.my-

Ngeh Bawa Usul Pecat Musa Hassan Dalam Parlimen

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham akan membentangkan satu usul pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dipecat daripada jawatannya kerana melanggar undang-undang.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak dalam satu kenyataan akhbar hari ini usul yang akan di bentangnya adalah ekoran kegagalan kerajaan Barisan Nasional bertindak dengan tegas ke atas salah laku polis terutamanya sewaktu berlakunya krisis politik Perak.

"Saya sangat kesat dan kecewa terhadap kerajaan BN , terutamanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah gagal mengambil sebarang tindakan terhadap beberapa salah laku pasukan polis sewaktu berlakunya krisis politik negeri Perak.

Ngeh berkata Menteri Dalam Negeri pernah menyuarakan bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang termasuk dirinya sendiri.

"Rakyat mengharapkan undang-undang negara dipatuhi.Rakyat dikehendaki mematuhi undang-undang, begitu juga polis sebagai penguatkuasa undang-undang juga mesti berbuat perkara yang sama.Melainkan tindakan tegas diambil terhadap polis yang melanggar undang-undang, rasa hormat rakyat kepada institusi polis akan terhakis.

Beliau dalam usulnya telah menyenaraikan lebih daripada dua belas kesalahan yang dilakukan oleh polis tetapi malangnya tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pesalah.

"Demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis and kepatuahn undang-undang, saya menyeru agar semua Ahli Parlimen tidak kira daripada parti politik mana sekali pun supaya menyokong usul ini.

"Disebabkan hak kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabul oleh pihak polis, adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Dewan Rakyat supaya menyokong usul ini dan kegagalan mereka berbuat demikian bermakna mereka telah menodai amanat sumpah jawatan yang diambil," tegas Ngeh lagi.
-TVAntara.com.my-

Nizar angkat sumpah MP Bukit Gantang pagi ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan mengangkat sumpah secara rasmi sebagai anggota Dewan Rakyat pada persidangan yang bermula hari ini setelah memenangi kerusi tersebut 7 April lalu.


Upacara angkat sumpah jawatan beliau dihadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menjadi agenda pertama sesi sidang Parlimen yang bermula pukul 10.00 pagi.

Sehubungan itu sekumpulan wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak serta penyokong akan berada di Parlimen bagi memberi semangat serta sokongan moral kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat itu.

Kumpulan tersebut akan berangkat dari Ipoh dan dijangka berada di Parlimen pukul 9.00 pagi.

Datuk Seri Nizar memenangi kerusi P059 itu mengalahkan calon Barisan Nasional Ismail Saffian dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris dengan peningkatan majoriti sebanyak 2,789 undi.

Beliau meraih 21,860 undi, manakala, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi, dan Kamarul Ramizu Idris hanya 62 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang, Roslan Shahrom daripada Pas pada 9 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi mengalahkan M Murganan (Bebas) dan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (BN).
-TVAntara.com.my-