"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/BN : TV Islam, BN cuba pancing undi Melayu

Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba menarik sokongan undi orang Melayu dengan mengadakan saluran TV Islam sebagai persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, tegas Ketua Penerangan PAS yang baru, Ustaz Idris Ahmad.


Tegas beliau, sudah menjadi trend setiap Perdana Menteri yang baru dilantik akan membina imej untuk menarik sokongan dan saluran TV Islam merupakan strategi Dato' Seri Najib Razak Tun Razak untuk dilihat Islamik.

Malah perkara ini pernah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Muhamad dalam buku 'The Malay Dilema' yang mengaitkan usaha kerajaan Perikatan membuat program untuk menarik sokongan orang Melayu.

"Ini merupakan cara Umno/BN untuk menarik sokongan orang Melayu terutama di luar bandar. Usaha seperti ini perlu dilakukan untuk membina imej seorang Perdana Menteri yang baru dilantik bagi mendapatkan sokongan.

"Ia bukan perkara baru kerana di zaman Tunku Abdul Rahman dianjurkan musabaqah membaca al-Quran untuk dilihat Islamik dan menarik sokongan orang Melayu," tegas beliau.

Dalam pada itu, Idris berharap jika saluran ini diadakan, dakwah yang dilakukan hendaklah mengikut versi Nabi Muhammad s.a.w. bukan dakwah versi Umno. Jika dakwah versi Umno dimuatkan dalam setiap program saluran tersebut, ia dibimbangi tidak akan mencapai matlamatnya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan sebuah lagi saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyan Islam. Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.


Sudah tiga bulan Najib jadi PM, ada yang tidak kena!

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - "Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap Perdana Menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena."

Demikian pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu wawancara bersama Harakah baru-baru ini.

Menurutnya, ukuran Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru boleh dilihat berdasarkan sambutan masyarakat terhadapnya termasuk dunia luar.

"Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena,"jelasnya.

Tambah Nik Aziz, jika diselidik,sudah pasti pergolakan bukan sahaja dalam komponen Barisan Nasional (BN) malah isu dalaman Umno sendiri boleh dianggap sebagai punca pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak diterima dengan baik.

"Apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai.

"Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai,"jelasnya lagi.

Nik Aziz juga menerangkan, bukan sahaja satu atau dua perkara tetapi ia juga melibatkan hampir seluruh negara seperti,"di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat.

"Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator. Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib."

Dalam pada itiu katanya, desakan oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar Najib diuji di parlimen untuk melihat wujud sokongan atau tidak juga antara indikasi bahawa kepimpinan Najib benar-benar bermasalah.

"Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.

"Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini,"tegasnya.


Nizar vs Zambry : Anwar Bangkitkan Isu Kekecohan DUN Perak Dalam Parlimen

Sidang Dewan Rakyat yang bermula pukul 10.00 pagi ini dijangka panas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membangkitkan isu kerakusan polis dalam Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei lalu.

Isu tersebut dimasukkan dalam soalan kedua pada persidangan Parlimen.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar telah meminta polis memberi alasan dan pengimbangan berkenaan tindakan mereka berdasarkan undang-undang samada wajar untuk polis menceroboh masuk DUN yang mulia dan mengheret keluar Speaker yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
-TVAntara.com.my-