"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Manek Urai:Peniaga diisytiharkan calon PAS di Manek Urai

Wartawan Kita

KUALA KRAI, 27 Jun (Hrkh) - Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi.

Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah di Kampung Manek Urai Lama, yang sendat dengan ribuan manusia.

Hadir sama Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kawasan tempat ceramah di padang bola Manek Urai Lama sesak sejak awal petang lagi apabila penduduk tempatan dan petugas parti bertali arus menuju ke tempat ceramah.Image

Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir sambut menyambut mengiringi pengisytiharan tersebut. Kelihatan ramai yang setuju dengan ketokohan yang ditampilkan.

Biarpun Mohd Fauzi tinggal di Guchil, namun mempunyai keluarga yang ramai di Dun Manek Urai. Kakak sulungnya, Mariam isteri kepada seorang pesara polis kini tinggal di Kampung Laloh.

Keluarganya berasal dari Bukit Marak berhijrah ke Kuala Krai ketika beliau berusia lima tahun.

Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Lima daripadanya mendapat pendidikan tinggi sehingga ke luar negara.

Seorang lagi kakaknya, Prof Dr Aminah pensyarah kanan di UKM; ketiga, Ibrahim seorang peniaga buah-buahan; keempat, Sabariah ketua jururawat di Hospital Temerloh.

Kelima, Mohd Yazid, pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya. Manakala dua adiknya iaitu Razali memiliki syarikat perunding di Pulau Pinang dan adik bongsu, Zaidi lepasan bidang IT di universiti, Australia.

Mohd Fauzi mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan Aminah Mahmood.

Terbabit dengan PAS sejak muda lagi. Beliau juga Ketua Cawangan PAS di Bandar Kuala Krai, Pengarah MTD Guchil dan bekas Penyelia Dun Guchil.

Beliau juga anggota jawatankuasa PIBG Maahad Rahmaniah, Kuala Krai. Kelibatnya tidak jauh berbeza dengan Allahyarham Haji Ismail Yaacob kerana pergaulan yang luas.

Orang ramai mudah menemuinya di kedai-kedai kopi. Hampir kesemua penduduk di sembilan peti di Manek Urai mengenalinya.

Biar pun kenderaan disekat melintasi jambatan merentangi Sungai Lebir menghala ke Manek Urai Lama mulai jam 7 petang, namun banyak kenderaan masih lagi tersangkut untuk keluar ke jalan besar jam 1 pagi.

Manek Urai: Komunis tolak agama, Umno asingkan agama - Nik Aziz

M Faqih

KUALA KRAI, 27 Jun (Hrkh) - "Hendak sebut apa lagi kerana Umno benar-benar memisahkan agama dan politik. Umno buat kerja tidak serupa dengan kehendak Nabi Muhammad saw.

"Tidakkah komunis juga tidak percaya kepada agama. Begitu juga dengan Umno yang menolak agama. Tidakkah perumpamaan itu hampir serupa. Serupa satu pun sudah cukup," kata Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAs mengulas tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadapnya berhubung kenyataannya yang menyamakan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.Image

Laporan tersebut dibuat Ketua Pemuda Umno negeri, Anuar Safian di Balai Polis Kota Bharu kelmarin.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya salah satu daripada ciri-ciri yang ada pada komunis iaitu tidak mempercayai agama sudah ada pada Umno, maka tidak salah menyamakan mereka dengan komunis.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat di Manek Urai sudah membuktikan mereka mampu mempertahankan PAS ketika parti itu tinggal dua kerusi pada pilihan raya umum 1978.

Katanya, pengundi di Dun terbabit mencatat satu sejarah apabila berjaya menyambung hayat perjuangan PAS ketika parti itu tinggal dua kerusi sahaja di Kelantan pada pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya terbabit PAS hanya mampu bertahan di Dun Manek Urai dan Sering di Pengkalan Chepa. Umno berjaya merampas Kelantan pada pilihan raya tersebut selepas berlaku Mageran.

Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur berkata, pilihan raya pasca Mac 2008 memperlihatkan undi tidak percaya rakyat negara ini terhadap Umno dan BN.

ImageMenurutnya lima pilihan raya kecil sebelum ini memperlihatkan berlaku penolakan rakyat terhadap Umno dan BN secara berterusan.

Malah katanya, Dato' Seri Najib Razak melengkapkan teori RAHMAN yang menggambarkan kehadirannya sebagai perdana menteri terakhir semasa di bawah kerajaan BN.

"Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk mengambil alih kedudukan kerajaan pusat yang ada sekarang," katanya.

Presiden PAS, Dato' seri Abdul Hadi Awang yakin rakyat Kelantan lebih pintar dalam membuat keputusan pilihan raya sebagaimana dibuktikan pada pilihan raya sebelum ini.

Lebih-lebih lagi katanya calon yang ditampilkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai, Haji Mohd Fauzi Abdullah seorang yang dikenali ramai di Manek Urai dan berkeyakinan boleh bekerja untuk rakyat.

"Saya berkeyakinan beliau boleh bekerja untuk rakyat Manek Urai bagi meneruskan usaha yang dilakukan Allahyarham Paksu Wil," katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang melahirkan rasa malu apabila Terengganu kaya dengan hasil minyak membuat stadium yang tidak mampu bertahan lama sehingga boleh runtuh dalam masa setahun.

Menurutnya sebagai rakyat Terengganu beliau merasakan malu dengan apa yang berlaku ke atas Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau juga berkata, Umno telah merompak royalti minyak ketika negeri itu diperintah PAS pada 1999 sehingga menafikan hak sebagaimana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

Sedangkan kata beliau setiap menteri-menteri besar telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Persekutuan di mana apabila terdapat pertemuan minyak dan gas di perairan setiap negeri, mereka akan dibayar royalti sebanyak lima peratus.

Beliau juga memberitahu pernah melihat pelantar minyak di perairan Kelantan ketika melalui kawasan berkenaan sebelum ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berkata, di perairan Kelantan sekarang terdapat enam pelantar minyak yang sudah dicarigali sejak 2004.

Menurutnya, berdasarkan kepada pengeluaran tersebut negeri ini sepatutnya dibayar royalti hampir RM1 bilion.


Suruhanjaya Bebas Siasatan Kematian Lokap Polis Patut Ditubuhkan

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Hrkh) - Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamudin Hussein mengadakan inkues segera dan teliti ke atas kes yang melibatkan kematian dalam lokap, Gnanaprakasom Anthony.

Dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen baru-baru ini, Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan turut menggesa agar siasatan diadakan ke atas kes tersebut dan semua pegawai yang bertugas pada waktu itu digantung untuk siasatan lanjut.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah serta isteri Gnanaprakasom, M. Manamegala. Terdahulu memorandum agar inkues diadakan, diserahkan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat.

Dalam pada itu Elizabeth menegaskan beberapa kes kematian dalam lokap masih belum mengadakan inkues lagi seperti kes Kugan yang berlaku pada Januari lalu.

Justeru, beliau turut mendesak kerajaan pusat menubuhkan Suruhanjaya Bebas Siasatan Kematian Lokap Polis, kerana jumlah kematian dalam lokap semakin bertambah dan memalukan.

"Kami di kalangan Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis(IPCMC) dan mahkamah coroner untuk mengatasi masalah ini,"katanya.

Sementara itu, M. Manamegala menceritakan, suaminya didapati mati dalam lokap Balai Polis Bandar Sri Damansara pada 14 Jun lalu pada jam 8.06 pagi. Gnanaprakasom telah ditahan pada 10 Jun di Damansara Damai dan tempoh tahanan dipanjangkan ke 15 Jun 2009.

Beliau mendesak agar inkues segera ke atas kes kematian suaminya kerana tidak berpuas hati dengan keganasan polis terhadap suaminya yang disifatkan tidak munasabah dan kejam.

Jelasnya, suaminya tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum meninggal dunia secara mengejut.

"Suami saya ditahan pada 10 Jun. Pada 12 Jun saya dibenarkan berjumpa dengannya. Apabila saya berjumpa dengannya, saya berasa amat terkejut kerana mata kanannya nampak lebam. Dia telah memaklumkan kepada saya dia telah dipukul polis selepas ditahan.

"Pada 14 Jun, kira-kira jam 12.20 tengah hari, saya telah menerima panggilan telefon pihak polis memaklumkan bahawa suami saya telah meninggal dunia dalam lokap polis,"katanya.

Jelasnya lagi, sebelum bedah siasat diadakan, anaknya telah melihat mayat suaminya buat kali kedua. Tambahnya lagi, selain daripda lebam di matanya, beliau mendapati terdapat kesan pukulan di badan suaminya.

Beliau seterusnya menceritakan, selepas bedah siasat dilakukan, beliau diberitahu kematian suaminya disebabkan sakit akibat jangkitan di perut (toxaemia secondart to spontaneou peritonitis).

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis yang tidak memberikan rawatan perubatan kepada suaminya yang menyebabkan berlaku kematian.