"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno-BN Langgar Federalisme, Biadap Terhadap Raja-Raja Isu Peruntukan

Isu diskriminasi Kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat jelas mengingkari amalan federalisme negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional berfikiran jumud dan kolot hingga sanggup mempolitikkan isu peruntukan yang akhirnya menindas kebajikan rakyat selaku pembayar cukai.

Sebaliknya peruntukan itu disalahgunakan apabila disalurkan terus kepada parti Umno-BN sekaligus membantutkan usaha kebajikan rakyat terbabit.

“Wang yang disalurkan oleh kerajaan itu bukannya wang parti, tetapi wang rakyat, dan ini bertitik tolak daripada perkara yang lebih asas lagi iaitu tentang isu pembiayaan politik dan sebagainya di Malaysia masih lagi tidak ada peraturan yang jelas, dan sebab itu hari ini disalurkan dalam peringkat parti,”katanya.

Bercakap kepada Tv Selangor semalam beliau menambah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor bersikap profesional dalam pengagihan peruntukan negeri tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

Ini kerana Pakatan Rakyat sentiasa mendukung perlembagaan negara demi kesejahteraan rakyat tanpa mempunyai sebarang kepentingan tertentu sepertimana yang diamalkan Umno-BN.

“Jadi kita bersedia sekiranya Ahli Parlimen kita misalnya menerima saluran daripada kerajaan pusat saya rasa tidak ada masalah kita akan terus serta merta kita akan bagi sama semua wakil rakyat yang ada di negeri Selangor bantuan tersebut,”katanya.

Nik Nazmi kesal sikap kerajaan persekutuan berpolitik kesukuan kerana tiada kawalan terhadap pembiayaan politik di negara ini.

Selain peruntukan, keengkaran mereka menyerahkan royalti sumber galian seperti petroleum di Kelantan jelas menafikan hak kerajaan negeri sekaligus merencatkan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat terbabit.

“Isu paling jelas, paling ketara permainan politik ialah isu royalti, yang mana kalau kita lihat bagi pihak sebelum ini dalam hansard pun Tun Razak dan sebagainya memaklumkan bahawa kerajaan negeri berhak terhadap royalti minyak,”katanya.

Nik Nazmi membidas kerajaan pusat kerana tidak menghormati kerajaan berperlembagaan sekaligus menafikan kedaulatan Raja-Raja yang memerintah negeri-negeri kerana menyekat peruntukan.

“Saya fikir kalau dibawa ke mahkamah dan sebagainya kerajaan negeri mempunyai hak yang jelas dan sebab itu kerajaan persekutuan begitu risau tentang tindakan mahkamah yang diambil oleh kerajaan Terengganu di bawah Pas terhadap kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak ini,”katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat tetap memperjuangkan kepentingan hak rakyat dengan mengembalikan kuasa semua negeri menuntut royalti dan peruntukan yang wajib disalurkan oleh kerajaan persekutuan.

-tvselangor-

Bantah kesal cara polis surai himpunan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Jan:
Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah), kesal tindakan pihak polis yang didakwa bertindak ganas dan kasar ketika menyuraikan himpunan mereka dihadapan bangunan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Putrajaya Jumaat lalu.

Selain mengecam tindakan itu, jurucakap Bantah, Mohd Ridzuan Othman turut mempersoal penangkapan yang dibuat ke atas beberapa pemimpin pelajar sedangkan dakwanya perhimpunan tersebut berlaku dengan aman.

"Bantah mengecam tindakan ganas dan kasar pihak polis yang menangkap Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM), Sdr. Shazni Munir sedangkan kekecohan ditimbulkan oleh pihak polis sendiri.

"Adakah Malaysia sekarang sudah bertukar kepada negara kepolisan?," katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, Bantah dengan beberapa pertubuhan mahasiswa termasuk Pro-Mahasiswa Nasional dan 50 mahasiswa lain telah hadir ke KPT bagi menyerahkan memorandum mendesak kementerian memansuhkan pelaksanaan sistem undian elektronik atau E-Undi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

(Gambar: Shazni Munir ditangkap dalam himpunan tersebut)

Kehadiran kumpulan mereka bagaimanapun bertukar kecoh apabila mereka berdepan arahan bersurai pihak polis yang membawa kepada penangkapan dua wakil pelajar dan seorang wartawan.

Kejadian itu bagaimanapun berlaku selepas lima orang pimpinan mahasiswa berkenaan berjaya menghartar memorundum tersebut.

Menurut Ridzuan, jika tekanan sebegitu dikenakan kepada mahasiswa, maka perundangan mana lagi yang wajar digunapakai memandangkan Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak berkumpul secara aman tanpa senjata dibenarkan.

"Mahasiswa sebagai aset negara diperlakukan semacam ‘penjenayah tegar’ sedangkan mahasiswa mempunyai hak untuk berhimpun.

"Bantah kesal dengan tindakan tidak profesional polis di dalam himpunan mahasiswa!" katanya lagi.

Jelasnya lagi, kejadian Jumaat lalu juga sewajarnya dipandang serius kerajaan Malaysia khususnya bagi memperbetul integriti pasukan polis agar tidak dipandang serong oleh masyarakat.

Umno Hampir Kuasai Semua Masjid Di Perak

Misbahul Munir

Hampir keseluruhan Jawatankuasa Qaryah (Masjid) yang telah diberi watikah perlantikan di Perak dikuasai oleh UMNO BN. Tidak juga dinafikan masih ada beberapa kerat Pengerusi Masjid dan Ahli Jawatankuasa di Perak kekal penyokong Pakatan Rakyat.

Apa yang dikesalkan, UMNO melalui Ketua Bahagiannya campur tangan dalam urusan perlantikan Jawatankuasa Qaryah sehingga menafikan peranan Penghulu dan Pegawai Tadbir Agama dan Orang Besar Jajahan sebagaimana amalan Kerajaan Pakatan Rakyat sewktu berkuasa di Perak.

Malahan Kerajaan Pakatan Rakyat memberi kaedah perlantikan yang cukup adil, Ahli Jawatankusa Masjid lebih-lebih lagi Pengerusinya mestilah yang benar-benar mempunyai kelayakan, ahli masjid, berakhlak mulia, mampu mengimami solat berjamaah, tidak ada rekod jenayah dan salah laku akhlak. Keraaan PR tidak mensyaratkan mesti ahli PAS atau PKR. Jumlah Ahli Jawatankuasa hendaklah sama ramai antara penyokong PR dan UMNO BN. Ini adalah demi menjaga keharmonian dan perpaduan, Kerajaan PR tidak mahu masjid menjadi tempat untuk berpecah belah. Pemilihan Jawatankuasa Masjid mestilah diuruskan oleh Ketua Kampung, Penghulu, Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Orang Besar Jajahan (OBJ).

Apabila cadangan pemilihan ini dikemukakan oleh EXCO Agama dalam mesyuarat Majlis Agama Islam & Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang dipengerusikan oleh Tuanku Raja Muda, Baginda cukup perkenan dengan kaeadah pemilihan yang dikemukakan itu.

Senarai Jawatankuasa Masjid yang dicadangkan ketika itu sudah hampir sampai ke peringkat kelulusan Majlis, nama-nama yang dicadangkan di peringkat Ketua kampung dan Penghulu juga telah selesai dan disahkan oleh PTA dan OBJ, belumpun sempat persidangan MAIAMP diadakan bagi meluluskan senarai Jawatankuasa Qaryah tersebut, kerajaan PR tekah dirampas oleh BN.

Senarai yang telah selesai proses pemilihannya ditong sampahkan oleh kerajaan UMNO BN, senarai baru pula yang dikemukakan, UMNO bahagianlah yang menentukan pemilihan Jawatankuasa Qaryah, dipilihlah oleh mereka Pengerusi Masjid yang bukan ahli masjid, tidak mempunyai akhlak yang baik, yang sudah matipun dilantik sebagai Pengerusi dan AJK. Saya sedang mengumpul data-data dan bukti-bukti senarai Pengerusi dan AJK yang bukan ahli masjid dan tidak mempunyai akhlak yang baik. Penyokong-penyokong PR yang sememangnya ahli masjid dan berkelayakan dari sudut ilmu dan akhlaknya dibuang oleh UMNO BN.

Ternyata UMNO BNlah yang menggunakan masjid untuk kepentingan politik mereka, mereka rela melantik orang yang bukan ahlinya untuk mengimarahkan masjid demi kepentingan politik mereka tidak tergugat, bagaimana orang yang tidak pernah ke masjid dan berkahlak buruk mula mengimarahkan masjid ?, sedangkan melalui program-program pengimarahan masjidilah ia boleh mendidik ahli-ahli qaryah bertaqwa kepada Allah swt. Banyak masjid di Perak hidup suasana pengimarahan apabila ahli PAS yang mentadbirnya, berbeza dengan masjid yang dikuasai oleh UMNO BN, program pengajiannya tidak hidup, ahli jamaah pula tidak ramai kerana kekurangan majlis ilmu. Akhirnya jamaah masjid ramai yang lari untuk mencari masjid yang penuh dengan program pengajian.

http://misabah.blogspot.com