"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Utusan tolak tulisan bekas mufti Perlis

Ahkbar Mingguan Malaysia hari ini menolak tulisan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kaedah menangani pandangan ulama, untuk kolum mingguannya.

Penolakan terhadap tulisan berjudul 'Ulama dimuliakan atau disucikan?' itu dibantah bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman sosial Facebook kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mengulas perkara itu, Shahidan yang juga anak murid Dr Asri mendakwa, penolakan tersebut dibuat kerana akhbar itu takut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Shahidan juga mempersoalkan tindakan Jakim yang didakwanya mahu 'gam' Dr Asri.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi mengesahkan penolakan terhadap tulisannya itu.

Bagaimanapun, beliau enggan berspekulasi lagi berhubung sebab-sebabnya.

“Pada saya itu biasa sahaja, saya hendak tengok dulu apa seterusnya (berlaku pada tulisan yang akan datang),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Diminta menjelaskan intipati tulisan itu, Dr Mohd Asri menjelaskan, beliau menyatakan pendapatnya bahawa pandangan ulama bukanlah sesuatu yang suci, justeru ia boleh sentiasa dinilai.

Bagaimanapun, penyarah agama yang terkenal dengan kelantangannya itu, menegaskan bahawa pandangan ulama, walaupun bukan suci, ia masih perlu dihormati.

-malaysiakini-

S'gor ikut Pulau Pinang adakan p'raya tempatan

Kerajaan Selangor akan mengikuti jejak langkah Pulau Pinang bagi memulakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita akan bersama-sama kerajaan Pulau Pinang untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberi kita penerangan, bagaimana sokongannya, jika kita ingin menjalankan pilihan raya tempatan,” katanya.

Abdul Khalid ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengikut langkah Pulau Pinang yang mengumumkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan semula di negeri itu.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata, pilihan raya membabitkan Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP).

Lim dilaporkan berkata, pihaknya juga menghantar surat kepada SPR pada 4 Mac lalu meminta pihak tersebut menguruskan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Abdul Khalid juga berkata, pihaknya telah membuat kajian dan penelitian berhubung pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tidak guna kita jadi satu demokrasi yang lebih merugikan rakyat. Oleh itu, kita akan lakukan (pilihan raya tempatan),” kata Abdul Khalid.

Bagaimanapun, tambahnya, masih banyak perkara yang belum jelas berhubung perkara itu, termasuk peruntukan undang-undang berhubung pelaksanaannya.

"Kita mahu jelaskan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap di konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di di Shah Alam hari ini

“Berjuta-juta ringgit habis, berjam-jam kempen habis dan rakyat akan rasakan mereka tertipu. Oleh itu, kita akan buat dengan teratur,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau menggamatkan dewan apabila menyindir Wanita Umno dengan menyifatkan mereka “memakai selendang merah yang mengghairahkan”.

Katanya, pemimpin Umno sibuk membahagikan tanah Selangor sesama sendiri ketika memerintah negeri itu sebelum ini, sibuk berkunjung ke luar negara, memperagakan barang berjenama, sibuk dengan gelang emas yang banyak dan “pertandingan buat (dandan) rambut,”.

“Tetapi kita tidak mahu buat begitu. Di hati kecil kita (ada) perjuangan,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 peserta.

Pakatan menganjurkan konvensyen hari ini bagi memantapkan persefahaman sesama parti-parti yang bergabung PKR, PAS dan DAP di negeri itu.

-malaysiakini-

Zulkefli Sudah Memperolehi Bantal Yang Diingini

Mohd Sayuti Omar

TAHAP kesabaran PKR akhirnya berakhir juga. Petang ini parti berkenaan telah mengambil tindakan memecat ahli parlimen Kulim - Bandar Baru, Zulkefli Nordin. Pemecatan itu diumumkan oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Tindakan itu dilihat jalan terakhir setelah parti itu begitu bertolak ansur dengan wakil rakyat berkenaan yang mempamirkan politik tikus belutnya sejak beberapa bulan.

Beliau diberi masa 14 hari untuk merayu. Namun saya percaya wakil rakyat itu tidak akan mengemukakan rayuan. Pemecatan itu bak kata seperti orang mengantuk di sorong bantal. Dia sengaja membuat pelbagai onar dan mengamalkan politik tikus belut bagi memaksa PKR memecatnya.

Saya telah mengetahui sejak awal dulu mengenai hal ini bagaimana satu konsesus telah dicapai antara wakil rakyat ini dengan Najib Razak. Penarikan balik injuksi ke atas kemenangan beliau di kerusi Bandar Baru - Kulim adalah setelah berlakunya perundingan give and take.

Siapa yang mengiringi wakil rakyat ini ke rumah Najib di Jalan Duta dalam pengetahuan saya. Orang itu adalah sang belaci poket tembus yang mudah kelihatan di kaki lima menjelang tengah hari atau senja untuk makan percuma.

Apa yang saya tulis dan dikritik hebat oleh pengkagum wakil rakyat tikus belut ini sudah menjadi kenyataan. Sesiapa berminat boleh belek arked blog ini setahun lepas.

Sementara itu saya tidak fikir wakil rakyat ini akan akur dengan desakan PKR agar beliau mengosongkan kerusi Bandar Baru- Kulim. Katak (pukul) sampai mampus pun beliau tidak akan berbuat demikian. Kalau selama ini beliau berhempas pulih dan habis cara untuk mempertahankan kerusi berkenaan sehingga sanggup menjual maruah dan mengadaikan prinsip Islamnya yang tebal itu, masakan dia akan sanggup mengosongkan kerusi?

Desakan PKR itu hanya sia-sia saja dan akan digelakkan oleh wakil rakyat itu selepas ini. PKR perlu menutup buku wakil rakyat berkenaan dan usah sesiapa mengulasnya lagi. Anggaplah apa yang berlaku satu episod untuk mengajar PKR. Selamat!