"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gaza: Sukarelawan kita selamat tiba pagi ini

Harakahdaily
SEPANG, 6 Jun:
Seramai 12 sukarelawan negara ini yang ditawan oleh tentera rejim Israel pagi Isnin lepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini.

Mereka yang berlepas dari Istanbul, Turki adalah aktivis dan wakil media yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel itu.

Maklumat laman web Lifeline4Gaza sebelum ini menyatakan mereka terdiri daripada ketua misi daripada HaluanPalestin, Noorazman Mohd Samsuddin bersama empat rakannya, Dr Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Mohd Awang.

Selain mereka ialah Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Penaja misi Rachel Corrie tuntut pembebasan segera

Pertubuhan Damai Perdana Global (Perdana Global) menuntut pembebasan segera tanpa syarat kesemua aktivis damai, pekerja bantuan kemanusiaan dan anak-anak kapal Rachel Corrie yang dirampas secara haram oleh Pasukan Pertahanan Israel.

Penasihatnya Datuk Mukhriz Mahathir berkata delegasi Malaysia terdiri daripada anggota Parlimen Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Shamsul Akmar, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua anggota akhbar, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari TV3.

Mereka disertai di atas kapal oleh bekas Penolong Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu Dennis Halliday, Pemenang Hadiah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham dari Free Gaza Movement dan pembikin filem dokumentari Fiona Thompson.

"Tindakan tidak bermoral dan tidak dapat diterima itu oleh Pasukan Pertahanan Israel merampas Rachel Corrie dari perairan antarabangsa sebelum sampai di pelabuhan Gaza adalah satu tindakan lanun," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Beliau berkata: "Israel telah melakukan jenayah serius di lautan lepas. PGPO menuntut semua rakyat Malaysia dan warga negara lain di atas kapal Rachel Corrie dibebaskan segera tanpa diapa-apakan".

Mukhriz mengulas rampasan MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepong Israel, oleh tentera laut regim itu pada kira-kira 2.45 ptg (Waktu Malaysia) hari ini dan kemudian dikemudi ke pelabuhan Ashdod.

"Tindakan primitif dan unilateral seumpama itu (oleh Israel) mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

"Kami menggesa rakyat Malaysia dari semua agama dan kepercayaan agar mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang diculik, begitu juga anggota-anggota lain kapal bantuan kemanusiaan itu," kata beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia mesti bersatu menentang ketidakadilan dan kekejaman rejim Zionis terhadap anggota-anggota kapal perdamaian untuk menamatkan kepungan yang tidak boleh diterima dan membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza yang berani dan tidak berdosa.

Misi bantuan itu ditaja oleh Perdana Global, sebuah NGO Malaysia. Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika membantah perobohan rumah-rumah oleh rejim itu.

- Bernama-

Enggan Boikot Produk, Beri Puluhan Juta Kepada Anasir Zionis

Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ghani Shamsuddin mengecam keengganan kerajaan Malaysia mengeluarkan sebarang senarai barangan Israel yang wajar diboikot bagi menunjukkan sokongan padu kepada rakyat Palestin.

Ghani ketika dihubungi TV Selangor berkata, kerajaan Malaysia harus menyatakan pendirian tegas mereka berhubung keganasan yang berlaku di bumi Gaza.

"Memang sesuatu keganjilan apabila dari satu sudut kita menentang dan tidak menyukai keganasan Israel tetapi dalam sudut lain, kita panggil dan biayai khidmat mereka untuk memulihkan imej. Ini adalah tindakan yang sangat bertentangan," katanya.

Kata Ghani, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia bukan hanya memboikot produk keluaran Israel sebaliknya memperketat kawalan ke atas kemasukan jenama baru dari negara Zionis itu.

Beliau kesal kerana kerajaan Umno BN tidak konsisten dalam menyatakan pendirian apabila ia melibatkan kepentingan negara Israel.

Untuk rekod, Malaysia antara negara yang menghalang rakyatnya memasuki wilayah Israel tetapi merelakan produknya berleluasa di pasaran tempatan.

Malah kerajaan Malaysia melantik Apco Worldwide, sebuah firma perunding yang diresapi anasir zionis memberi nasihat dari sudut pentadbiran.

"Kita melarang rakyat Malaysia menziarahi Israel tetapi dalam masa sama, kita pula mengundang mereka. Bukan sahaja datang tetapi memberi mereka berpuluh juta untuk khidmat mereka," katanya.

Tambah beliau, Malaysia yang mengisytihar pendirian sebagai negara Islam, sepatutnya sudah memboikot produk negara Isreal yang diketahui jelas menyalurkan kewangan kepada rejim Zionis.

"Sudah sampai masanya kerajaan Malaysia harus bersikap amanah terhadap pendirian mereka, agama dan identiti sebagai seorang Muslim - memusuhi keganasan, kezaliman, ketidakadilan dan penjajahan semua bentuk," katanya.