"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz pertahan anggota Parlimen Serdang

KOTA BARU, 28 Ogos: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah.
-Bernama-

Insurans kenderaan: Memo kepada Bank Negara

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sekretariat Bela Rakyat (Bela) akan menghantar satu memorandum kepada Bank Negara berhubung kesukaran pemilik kenderaan berusia 10 tahun ke atas memperbaharui polisi perlindungan insurans kenderaan mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, memorandum yang akan diserahkan dalam masa terdekat itu mengandungi cadangan mengatasi masalah tersebut.

"Pihak sekretariat juga akan bertindak lebih serius dengan membuat kajian-kajian yang terperinci dan akan mengemukakan cadangan kepada Bank Negara bagaimana kita boleh menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan kenderaan lebih 10 tahun ini," kata Salahuddin pada sidang media pelancaran sekretariat itu di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Sekretariat berkenaan akan diketuai oleh ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat.

Bela sebelum ini ditubuhkan bagi membantu Pemilik kenderaan yang kebanyakannya penduduk kampung ini terpaksa membayar dengan harga yang tinggi untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka yang lebih 10 tahun.

Salahuddin juga berkata, alasan yang diberikan pihak insurans bahawa kenderaan berusia 10 tahun ke atas terdedah kepada risiko keselamatan adalah tidak munasabah dan menganggap ianya sebagai alasan yang sengaja dicipta oleh mereka bagi mengaut keuntungan.

"Kalaulah isu yang mengatakan kenderaan 10 tahun tidak selamat maka objektif penubuhan Puspakom? Kenderaan uyang melebihi 10 tahun mesti melalui proses pemeriksaan oleh Puspakom.

"Apabila Puspakom mengesahkan kenderaan itu selamat walaupun berusia lebih 10 tahun dan diizinkan untuk membayar cukai jalan dan mengambil insurans,jadi tidak ada isu ia tidak selamat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bela juga tidak bersetuju dengan cadangan Bank Negara untuk mengambil alih peranan syarikat insurans dalam urusan memperbaharui polisi perlindungan kenderaan sebaliknya kerajaan harus memperbaiki sistem yang ada pada hari ini.

"Saya akan kemukakan soalan di Parlimen jumlah pemilik kenderaan yang berdaftar dengan Puspakom dan berusia 10 tahun ke tas yang memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan," katanya.

-harakahdaily-

Bantuan untuk berkahwin dua

satubenih
KUWAIT CITY (AFP) for beritaislamglobal
.blogspot.com


Seorang Ahli Parlimen Kuwait mencadangkan supaya kerajaan membantu golongan lelaki negara itu berkahwin dua bagi mengurangkan masalah lebihan wanita yang tidak berkahwin dalam negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

"Cadangan tersebut bertujuan menyelesaikan masalah wanita tidak berkahwin, dan menggalakkan golongan janda dan duda membina keluarga baru,” kata Faisal al-Duwaisan, Ahli Parlimen parti bebas Shiite.

Sebelum itu, negara teluk tersebut memang menyediakan ‘bantuan perkahwinan’ sebanyak 4,000 dinars (RM43,521) kepada lelaki Kuwait yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali pertama, yang mana separuh daripadanya adalah sumbangan percuma manakala yang selebihnya adalah pinjaman tanpa faedah.

Duwaisan bagaimanpun, mahu kerajaan menyediakan pakej bantuan tambahan bagi lelaki yang ingin berkahwin dua yang telah memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Pihak lelaki mestilah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada isteri yang sedia ada untuk berkahwin lain. Disamping itu, mereka yang telah bercerai atau kematian isteri juga layak menerima bantuan tersebut.

Wanita yang akan dikahwini hendaklah dari kalangan janda atau sekurang-kurangnya berumur 40 tahun dan belum pernah berkahwin, kata Duwaisan dalam kertas cadangannya itu yang telahpun dihantar ke parlimen.

Panel parlimen akan mengkaji cadangan tersebut, sebelum dihantar ke sidang parlimen untuk pertimbangan lanjut. Jika diluluskan, ia akan menjadi satu undang-undang.

Kuwait, pengeluar kelima terbesar dalam OPEC, menyediakan sistem kebajikan menyeluruh melalui penyediaan subsidi kadar tinggi bagi kebanyakan perkhidmatan awam. Pelajaran dan kesihatan disediakan percuma kepada rakyatnya.

BIG: Teringat bangsa Arab yang miskin dan tertindas.

Berita lain:

1. Arab kembali ke zaman jahiliyyah

2. Wanita tidak boleh jadi juruwang