"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki bunuh kekasih enggan jual anak

ANGGOTA polis mengangkat mayat K. Magapugie yang ditemui mati dipercayai dipukul di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI, 4 Mac: Pasangan ini hidup bersekedudukan lebih setahun lalu dan hasilnya dikurniakan seorang 'cahaya mata' berusia kira-kira dua bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, wanita itu kerap mengadu kepada jiran yang dia dipukul teman lelakinya.

Malah, difahamkan mangsa pernah lari ke rumah ibunya di Johor Bahru kerana tidak tahan dipukul tetapi kembali berdamai selepas dipujuk teman lelakinya.

Namun, segala-galanya berakhir hari ini apabila wanita terbabit ditemui mati dengan kesan lebam di bahagian kepala.

Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul yang ditemui di rumah sewanya di Jalan Indah 6, Taman Sejati Indah, dekat sini hari ini.

Mangsa, K. Magapugie, 33, dikatakan bertengkar dengan teman lelakinya berusia 23 tahun selepas didakwa enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain akibat kesempitan hidup.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad, pada mulanya lelaki itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani memaklumkan isterinya mati terjatuh di dalam rumah.

"Suspek membuat laporan polis kira-kira pukul 9 pagi. Bagaimanapun tingkah lakunya yang mencurigakan mendorong polis menghantar sepasukan anggota ke rumah terbabit untuk membuat pemeriksaan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali.

Mohd. Zakaria berkata, polis yang tiba di rumah terbabit mendapati mayat mangsa ditutup rapi dengan kain dan diletakkan di ruang tamu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada beberapa kesan kecederaan di bahagian badan dan kepala mangsa. Ekoran itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan keterangan saksi, pasangan tersebut dikatakan bergaduh kira-kira pukul 4 pagi ini.

"Kedua-duanya bertengkar dengan kuat sehingga boleh didengari oleh jiran-jiran pada awal pagi. Tidak lama selepas itu, suspek dikatakan keluar dari rumah dan kembali semula tetapi jiran-jiran tidak lagi mendengar suara wanita terbabit," katanya.

Tambah Mohd. Zakaria, semakan lanjut mendapati, pasangan itu tinggal tanpa ikatan perkahwinan sejak lebih setahun lalu dan hasilnya mempunyai seorang anak lelaki berusia kira-kira dua bulan.

"Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap sementara mangsa pula tidak bekerja. Kita percaya, pasangan ini menghadapi masalah kewangan kerana didapati gagal membayar tunggakan bil elektrik serta air sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Kata beliau, siasatan kes tersebut dianggap selesai berikutan penahanan suspek berkenaan.

"Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.
-utusan-

Lambakan ribuan akhbar harian petanda apa?

LanH
PUJIAN perlu diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan polis kerana perancangan kemas pada hari penamaan calon Dun Merlimau pada Sabtu, 26 Februari lalu. Akibat pembahagian ketat kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) dan kumpulan parti PAS, KeADILan dan DAP, kedua-dua pihak tidak bertemu langsung di pekarangan Politeknik Merlimau pada pagi bersejarah itu.

Saya yang hadir pada majlis itu tersepit di celah-celah penyokong BN kerana memilih laluan ke pekan Merlimau melalui jalan lama Melaka-Muar. Ini adalah laluan penyokong BN manakala penyokong PAS, KeADILan dan DAP memasuki Merlimau menggunakan Jalan Jasin-Merlimau dari Lebuh AMJ dan juga Lebuh Raya Utara-Selatan.

Jadi pada pagi itu saya tidaklah nampak kekuatan penyokong PAS yang mengemukakan calonnya, Yuhaizad Abdullah dan juga pemimpin-pemimpin mereka. Saya hanya tahu apa yang berlaku pada pihak penyokong BN.

Pada kira-kira jam 8 pagi, ketika menghampiri pekan Merlimau, kereta buruk saya dipotong oleh barisan kereta-kereta hebat orang kuat BN. Banyak kereta berkenaan berwarna putih. Kebanyakannya memasang lampu kecemasan.

Dalam hati saya berbisik, berlagak sungguh orang BN ini. Inikah puak-puak yang hendak dipilih rakyat. Di atas jalan raya pun sudah eksyen, seolah-olah mereka saja hendak segera sampai ke destinasi; mereka mesti didahulukan tidak langsung sejajar slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Saya cuba bersangka baik. Alaaa, mungkin saya saja bersangka begitu, orang lain tidak. Mungkin juga mereka ini dalam kecemasan, manalah tahu ada orang nak bersalin yang mahu ditolong mereka. Atau dalam kereta mereka ada orang nak beranak. Jadi saya pun pujuk diri sendiri, ‘bersabaulah’, banyak pahalanya.

Selepas melepasi Kampung Tedong, keadaan jalan raya bertukar, permukaannya bertar tebal. Hitam, berkilat. Sahlah saya sudah memasuki kawasan pilihan raya Merlimau. Lambang dacing pun sudah banyak bergantungan. Sepanjang perjalanan dacing saja, hebat dan banyak duit betul orang dacing ini.

Jauh juga saya terpaksa berjalan selepas memakir kereta. Saya berjalan berdedai-dedai bersama-sama penyokong BN. Kebanyakan lelakinya berbaju putih dengan lambang dacing di dada. Wanita Umno dengan kain atau seluar panjang dan tudung merahnya.

Kebanyakan Puteri Umno dengan jeans ketat dan baju merah jambunya. Sebahagian berkemeja-T berlengan singkat namun di kepala ada tudung. Mungkin mereka fikir rambut perlu ditutup tetapi lengan dan bentuk tubuh seperti punggung yang disaluti jeans ketat, biarlah dipandang orang puas-puas.

Pusat operasi BN terletak di sebelah Masjid Asy-Suja’ah yang terletak bertentangan dengan Politeknik Merlimau. Sebaik saja saya sampai di situ, terdengar pengumuman bahawa perarakan akan dimulakan. Berjalanlah satu demi satu kumpulan BN, kelihatanlah orang Melayu, Cina dan India; lelaki dan wanita bergerak dengan diiringi lagu BN yang bergema kuat. (SPR, sila ambil perhatian; tolong pastikan bunyi bising pusat operasi BN ini tidak menggangu jemaah Masjid Asy-Suja’ah).

Jarak perjalanan mereka tidak jauh, akhirnya mereka berhimpun di atas jalan menghadap Politeknik Merlimau. Dalam menunggu itu pelbagai gelagat dapat disaksikan termasuklah bertepuk tampar lelaki perempuan. Pemuda BN mengusik Puteri Umno, puteri tak macam gadis dulu yang pemalu sebaliknya ketawa berdekah-dekah. Ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan pemimpin termasuk di peringkat Pusat.

Nun jauh di sana, dalam jarak 300 meter adalah penyokong PAS, KeADILan dan DAP. Selain ada pagar menghalang kemasukan penyokong, ruang kosong itu dikawal ketat sejumlah anggota polis. Jarak terlalu jauh, jadi tidak boleh penyokong kedua-dua pihak menjerit atau membaling objek ke pihak lawan.

Ketika duduk-duduk menunggu itu, ada kumpulan anak-anak muda mengedar bahan kempen dan apa yang begitu mengejutkan saya lambakan ribuan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tajuk kedua-dua akhbar ini adalah mengenai harga minyak tidak naik. Utusan Malaysia dengan tajuk besar ‘RM10.3b kekalkan RON95’ manakala Berita Harian, ‘Ringan beban rakyat’.

Hairan juga saya dengan cara berfikir editor-editor akhbar ini. Sepatutnya yang jadi berita besar adalah MINYAK NAIK HARGA kalau minyak tak naik harga, itu bukan berita utama. Bukankah kita belajar anjing gigit posmen itu bukan berita tetapi posmen gigit anjing itu berita hebat.

Tidaklah saya tahu sama ada penerbit akhbar-akbar ini memilih untuk melambakkan akhbar-akhbar mereka pada hari penamaan calon atau ada kumpulan atau individu yang menajanya. Saya bertanyakan seorang pemuda mengenai hal itu, dia hanya berkata dia dapat upah RM50 membawa seterusnya mengagih-agihkan akhbar berkenaan.

Apabila ribuan akhbar arus perdana dilambakkan pada hari penamaan calon, berbagai-bagai tafsiran boleh dibuat mengenainya. Antaranya adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah menjadi cawangan Umno atau BN; adakah jualan akhbar-akhbar ini sudah terlalu teruk sehingga terpaksa diedar percuma; dan di mana letaknya maruah dan kredibiliti akhbar-akhbar ini?

Sebagai ‘kaki baca’ saya untung besar hari itu kerana membawa pulang setimbun bahan bacaan percuma termasuk empat akhbar harian, yang mengambil masa saya sehingga tengah malam untuk habis membacanya!

SES: Hutang RM13,000 tapi bayar RM156,000

Nazri Abdullah
TEMERLOH, 5 Mac: Peneroka khususnya di Kerdau dinasihatkan berhati-hati dengan jerat terbaru BN berhubung wang skim tanam semula (SES) berjumlah RM13,000.

Dengan syarat pembayaran balik RM650 selama 20 tahun yang dikenakan, bermakna peneroka sebenarnya terpaksa membayar RM156,000 iaitu 12 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

Ingatan itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsan (Anak), Mazlan Aliman pada sidang media di markas induk PAS di Kerdau hari ini.

"Jangan kerana nak kejar duit RM13,000, selepas pilihan raya kena tanggung hutang tidak lebih dari RM200,000, sangat tidak berbaloi dengan jumlah pinjaman RM13,000," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan janji untuk memberi pinjaman wang SES sebanyak RM13,000 seorang kepada peneroka, dengan syarat peneroka perlu membayar balik RM650 sebulan selama 20 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ketika berkempen di Felda di Kerdau kemudiannya berjanji akan membuat bayaran RM13,000 itu pada hari Isnin, 7 Mac ini iaitu sehari selepas hari mengundi.

Ianya dilihat cubaan memancing undi peneroka yang akan mengundi esok agar memilih BN.

"Kalau RM13,000 kena bayar balik dekat RM200,000, saya nasihatkan peneroka pinjam sahaja dengan bank.

"Ini bukan lagi tolong, tapi betul-betul along yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda," ujarnya lagi.

Pada sidang media sama, beliau juga sekali mencabar Ahmad untuk berdialog dengannya walaupun cabarannya beberapa kali sebelum ini ditolak.

Berhubung hak milik tanah pula, Mazlan mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob adil kepada peneroka.

Menteri Besar itu sebelum ini mengumumkan pemberian hak milik hanya kepada peneroka di Jengka 23 sahaja, sedangkan kata Mazlan, Jengka 22 juga perlu mendapat perkara sama.