"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sentuhan Safee Sali menjadi

PEMAIN Pelita Jaya FC, Mohd Safee Mohd Sali (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Indonesia menentang Srivijaya FC di Stadium Singa Perbangsa, semalam. Keputusan Pelita 1, Srivijaya 0. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KEGEMBIRAAN terbayang di wajah bintang negara Safee Sali apabila penampilan sulungnya bersama Pelita Jaya membuahkan hasil dan lebih bermakna dia muncul wira pasukan itu dengan menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika mengalahkan Sriwijaya FC 1-0 pada perlawanan Liga Super Indonesia, di Jakarta, semalam.

Kelibat Safee yang dinanti-nantikan lebih 20,000 penonton memenuhi Stadium Singaterbangsa sejak jam 1 petang nyata berbaloi apabila percubaannya pada minit ke-62 menembusi gawang lawan dan akhirnya bertukar menjadi gol kemenangan.

Safee mudah merembat masuk ke penjuru kiri pintu gol lawan apabila mengutip bola yang terlantun hasil perebutan rakan serangannya dari Paraguay, Juan Ramirez dengan dua pemain pertahanan lawan lantas memperdayakan penjaga gol Sriwijaya, Fery Rotil Sulu. Jaringan Safee disambut sorakan gemuruh dan gegak-gempita penonton di stadium itu.

Begitupun, peminat di stadium itu mulanya terkejut menyaksikan Safee tampil dengan menyarung jersi bernombor 55, bukannya jersi nombor 10 seperti yang difahami mereka sebelum ini.

Safee mula mengancam sejak minit kedua selepas menerima hantaran silang Dedi Kusmandar namun kecewa sesudah tandukannya melepasi palang gol.

Berkali-kali juga dia menerima umpanan dan lorongan cantik dari tengah padang namun gagal menghasilkan sebarang gol pada babak pertama hinggalah minit ke-62 yang mencetus kegembiraan buat Safee, yang diisytiharkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Bekas penyerang Selangor yang bertindak cemerlang sebagai penjaring gol terbanyak pada Piala Suzuki AFF, Disember lalu, bagaimanapun digantikan tujuh minit sebelum perlawanan tamat oleh Andesi Prabowo.
-hmetro-

Tentera Gaddafi mengganas di Zawiya


SEORANG anggota penentang Gaddafi membidik meriam antipesawat di Zawiya kelmarin.
ZAWIYA: Pertempuran sengit tercetus antara tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan kumpulan penentang di bandar ini semalam, lapor sebuah akhbar.
Kumpulan penentang mendakwa, mereka berjaya menawan semula Dataran Jihad di pusat bandar ini selepas mematahkan serangan briged elit Gaddafi yang memasuki bandar ini dengan dibantu beberapa kereta kebal dan artileri pada pagi semalam.

ANGGOTA pemberontak Libya meraikan kejayaan menewaskan pasukan tentera pro-Muammar Gaddafi dan menawan bandar pelabuhan minyak Ras Lanuf di timur negara itu hari ini. - Foto AP
"Beratus-ratus askar Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal memasuki bandar ini sekitar 6 pagi. Penduduk bandar ini bangkit menentang mereka dan telah mencapai kemenangan setakat ini," kata jurucakap kumpulan penentang, Youssef Shagan.
Serangan ke atas Zawiya yang terletak sekitar 48 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli menyaksikan kumpulan penentang yang sebahagian besarnya cuma bersenjatakan senapang patah dan pedang, bertempur dengan briged elit Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal, meriam dan mesingan berat.
"Pasukan keselamatan Gaddafi membunuh dengan sewenang-wenangnya termasuk orang awam. Situasi di bandar ini lebih dahsyat daripada Iraq," kata seorang saksi.
"Imam-imam di sini telah mengisytiharkan jihad ke atas tentera Gaddafi," tambahnya.
Saksi berkenaan memaklumkan situasi tersebut dalam satu wawancara telefon.
Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan, beberapa pegawai perubatan sebagai berkata, angka kematian orang awam di sini setakat semalam telah melebihi 40 orang.
Antara yang terbunuh termasuk komander kumpulan penentang di Zawiya, Hussein Darbouk.
Sementara itu, lebih 17 orang terbunuh selepas depot simpanan peluru yang ditawan kumpulan penentang di bandar Benghazi, selatan Libya meletup semalam dipercayai akibat perbuatan sabotaj ejen Gaddafi.
Kebangkitan rakyat menentang pemerintah Libya, Muammar Gaddafi tercetus sejak beberapa minggu lalu.
Protes tersebut didorong oleh kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang memaksa Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.
Di Libya, orang ramai berang kerana Gaddafi, 68, gagal membasmi kemiskinan dan gejala rasuah selepas mentadbir negara itu selama 41 tahun.
-Agensi-

Ekasikal terkecil di dunia



SEORANG pengguna menguji ekasikal Solowheel.
NEW YORK: Seorang pereka Amerika Syarikat (AS), Shane Chen mencipta ekasikal (basikal satu tayar) elektrik yang terkecil di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Kenderaan satu tayar itu yang dinamakan Solowheel, sesuai untuk kegunaan harian atau riadah dan ia boleh dilipat supaya mudah dibawa ke mana sahaja.
Solowheel dijana motor elektrik berkuasa 1,000 watt dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam
Ia boleh bergerak selama dua jam dan boleh dicas semula dalam masa cuma 45 minit.
"Solowheel cuma seberat 9 kilogram dan anda tidak perlu merantainya seperti basikal," kata Chen.
Kenderaan itu dilengkapi beberapa sensor giroskop bagi memastikan ia seimbang dan stabil.
Penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan, kiri atau kanan untuk menggerakkan Solowheel atau mencodongkan badan ke belakang untuk memberhetikannya.
Solowheel yang berharga £975 (RM4,800) akan berada dalam pasaran pada bulan depan.
-Agensi-