"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IPP projek khas untuk kroni Dr Mahathir

Aslani
KOTA BHARU, 28 Mei: Mungkin ramai masih ingat kejadian gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh negara pada 1996. Ada dakwaan ia sengaja dilakukan bagi mengizinkan kelahiran syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika itu, Tan Sri Ani Arope menjadi mangsa apabila dihentam secara terbuka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan akhirnya membawa perletakan jawatan Ani.

TNB juga menjadi mangsa apabila dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal.

Petronas juga diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada IPP biar pun membeli mahal daripada Indonesia dan kawasan JDA Malaysia-Thailand.

Bekas akauntan Petronas, Rafizi Ramli mendakwa Petronas membeli satu barrel dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.

Katanya, TNB juga dipaksa membeli kuasa dibekalkan penjana bebas milik kroni Dr Mahathir dengan harga mahal.

“Berdasar kepada perjanjian yang berat sebelah tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM21 bilion untuk IPP milik bukan Melayu yang rapat dengan Dr Mahathir.

“IPP diwujudkan sebagai usaha menjaga kroni pemimpin Umno dengan berselindung di sebalik gangguan bekalan elektrik pada 1996,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kubur Kuda dekat sini malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sobri Safii, pegawai penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani, Ketua Cabang PRK Kota Bharu, Abdul Halim Harun dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Wan Azimin Wan Adnan.

Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR berkata, belum pun kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik secara rasmi, bil terbaru yang diterima pengguna sudah tercatat kadar tarif baru.

Katanya, ramai terkejut menerima bil bulanan terbaru mereka apabila tercatat kenaikan tarif elektrik biar pun kerajaan belum mengumumkan secara rasmi.

Menurutnya juga mengikut perancangan awal kerajaan BN, harga Petrol RON95 akan dinaik kepada RM2.25 sen seliter menjelang hujung tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak berani melakukan sekarang kerana dibantah orang ramai.

Namun sepanjang 18 bulan lalu kerajaan menaikkan harga gula lebih 58 peratus dan petrol RON97 sekarang melonjak kepada RM2.90 seliter.

”Harga petrol boleh dikurangkan sehingga 60 sen seliter apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan memerintah Putrajaya nanti.

“Ia boleh dilakukan dengan menghapuskan subsidi untuk IPP di mana sekarang sebanyak RM21 bilion diperuntuk kerajaan setiap tahun,” ujarnya.

Abdul Hamid pula berkata sepatutnya Pemuda Umno meminta kerajaan pusat menyediakan kertas putih mengenai banyak berlaku penyelewengan dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Katanya, projek pemasangan longkang fiber yang dibuat Kada suatu ketika dahulu bagi menyalur air ke sawah hanya mampu bertahan semusim tanaman padi sahaja.

”Banyak duit dibazirkan untuk projek tersebut. Begitu juga kewujudan Dataran Kada tidak banyak memberi manfaat kepada petani,” ujarnya.

Sobri pula berkata, kerajaan negeri berjaya memintas rancangan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bagi membodek Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan membina stadium di Kelantan.

Katanya, projek stadium tersebut dimohon dengan harapan BN dapat merampas semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

”Tiba-tiba projek yang sedang dilobi pemimpin Umno sudah diumumkan lebih awal kerajaan negeri,” ujarnya.

Letih sekadar nak lawan Umno boleh sangatlah

Hazayani Zakaria
SELAYANG, 28 Mei: Bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Melayu Sri Kundang, Mat Senin Mat Lana mengetuai 111 ahli cawangan itu membuat keputusan meninggalkan Umno dan menyertai PAS.
Mat Senin bersama bekas ketua pemuda cawangan tersebut, Mohd Khairuddin Abu Bakar dan bekas ketua wanita, Kamariah Meor Baldin secara rasmi menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di majlis Ceramah Perdana PAS Ganti Umno di Dewan JKKK Kampung Setia, Tasik Biru, Kuang malam tadi.

Laungan takbir bergema dari kira-kira 2,000 orang yang hadir memenuhi padang sewaktu pengerusi majlis mengumumkan perkara tersebut.

Difahamkan, selepas mereka meninggalkan Umno, ahli cawangan tersebut tinggal 130 orang dan dikepalai oleh timbalan ketuanya.

Menurut sumber, masih ada beberapa ahli yang ingin mengikut jejak langkah ketua mereka untuk menyertai PAS.

Diberi peluang berucap di atas pentas, Mat Senin menyatakan komitmennya untuk memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada PAS.

"Alhamdulillah saya diberi peluang untuk lompat parti. Bukan lompat parti macam Pasir Mas (Datuk Ibrahim Ali) tu. Dia tak setia.

"Saya masuk PAS insya Allah saya akan beri seratus peratus kesetiaan kepada PAS. Ini ikrar saya," kata beliau disambut laungan takbir hadirin.

Mat Senin turut menjelaskan sebab beliau tertarik dengan PAS sehingga membuat keputusan nekad meninggalkan Umno.

"Saya dah tengok perjuangan PAS, bandingkan perjuangan Umno, 10 tahun saya dalam Umno, banyak penyelewengan, penindasan.

"Cara pengurusan Umno memang tidak Islamik. Suka fitnah, benda tak ada diadakan, tak boleh tengok orang lain mula nak cantas. Ini sistem Umnolah. Sebab itu saya kecewa. Saya percaya PAS Islamik. Bila Islamik sudah tentu adil," katanya yang turut berjanji akan memberi penerangan kepada ahli Umno agar memilih parti yang betul.

Balik asal

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyifatkan keptusan Mat Senin itu sebagai "balik asal".

"Keputusan Encik Mat ini bukan lompat parti, tapi balik asal kepada Islam.

"Saya ucap syukur kepada Allah S.W.T. dapat sampai ke sini walaupun dalam keadaan keletihan, letih pun sekadar nak lawan Umno tu boleh sangatlah," katanya disambut gelak ketawa para hadirin yang ternanti-nanti ucapan daripada Menteri Besar Kelantan itu.

Tuan Guru Nik Aziz dalam ceramahnya terus menyelar Umno BN yang menolak dasar Islam sebaliknya mengagungkan dasar kebangsaan.

"Bila Umno ajar kepada kita buang Islam, ambil kebangsaan, Islam ini hak Allah Taala, bukan hak PAS, bukan hak Nabi Muhammad. Islam agama dari langit, bukan dari Makkah, diturunkan melalui nabi-nabi.

"Bagaimana Umno sebagai seorang manusia tolak agama Allah Taala. Bila tolak Islam ganti dengan Melayu, ertinya Umno tolak Allah, tolak Nabi Muhammad, tolak Islam. Macammana Umno ni. Duduk atas muka bumi Allah tapi tolak agama Allah?" Soalnya dengan tegas.

Beliau turut mempersoal tindakan Umno BN yang memisahkan sistem pentadbiran dengan agama dengan beranggapan agama dan politik adalah perkara berbeza.

Sedangkan kata beliau, sejak zaman Nabi Muhammad lagi, baginda sudah mentadbir urusan politik selari dengan agama Islam termasuk mengadakan beberapa perjanjian dengan orang bukan Islam.

"Islam ialah agama yang dibawa Nabi Muhammad, dan Nabi Muhammad sendiri ahli politik.

"Umno sebut agama lain, politik lain. Saya nak tanya Umno, kalau agama lain politik lain, siapa yang jaga politik ketika zaman Nabi Muhammad selama 23 tahun. Bukan British, bukan Amerika yang jaga politik di Makkah dan Madinah zaman nabi dulu.

"Semua nabi yang uruskan, mengadakan perjanjian dengan Yahudi dan sebagainya. Ini menunjukkan nabi juga urus politik dalam masa yang sama pemimpin Islam.

"Islam tidak boleh tidak mesti bersama dengan politik," katanya.

Selain itu, beliau kesal dengan tindakan Umno BN yang sering mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi jika dihadiri ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mana ada demokrasi larang manusia guna hak dia. Hak manusia untuk bercakap. Allah bagi hak untuk bercakap. Bukan sahaja diluluskan oleh PBB.

"Kenapa Umno suka sangat halang kita untuk bercakap, berceramah. Malam ni agaknya mereka tak tahu kita ada ceramah di sini, itu yang tak datang kacau," katanya berseloroh.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi, AJK PAS Pusat, Dr. Dzukefly Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor, ketua muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan, Yang Dipertua PAS Selayang, Zaidi Abdul Talib, ahli Parlimen Selayang, William Leong, dan anggota majlis tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Baharom.

200 pelajar lelaki dan perempuan ‘bertempur’ menyebabkan 10 cedera

SEREMBAN: Hanya kerana terpijak kaki, kira-kira 200 pelajar lelaki dan perempuan sebuah sekolah menengah di Labu, di sini, ‘bertempur’ menyebabkan 10 daripada mereka cedera termasuk seorang parah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kira-kira 200 pelajar bergaduh dipercayai berpunca daripada salah seorang daripada pelajar tingkatan satu terpijak kaki pelajar tingkatan lima.

Harian Metro difahamkan, kumpulan pelajar itu dipercayai turut menggunakan kerusi dan pasu bunga dalam pergaduhan itu menyebabkan beberapa orang antara mereka cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, ketika kejadian semua pelajar berkumpul di dewan sekolah untuk menyaksikan persembahan pelajar sempena Hari Guru.

“Namun, seorang daripada pelajar junior secara tidak sengaja terpijak kaki senior menyebabkan dua kumpulan berkenaan bergaduh besar,” katanya di sini, semalam.
-hmetro-