"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saintis Afrika Selatan temui lipas melompat



LIPAS melompat yang ditemui di Cape Town, Afrika Selatan.
CAPE TOWN: Sekumpulan saintis Afrika Selatan menemui spesies baru lipas yang boleh melompat seperti belalang, lapor sebuah akhbar kelmarin.


Serangga itu yang tidak diketahui kewujudannya sebelum ini ditemui melompat di dalam semak di Taman Negara Table Mountain dekat sini.
Ia tersenarai dalam 10 spesies utama dan terbaru yang ditemui pada tahun ini.
"Lipas ini memiliki kaki belakang panjang dan sofistikated untuk membolehkannya melompat tinggi ke udara," kata seorang saintis yang membuat penemuan tersebut, Mike Picker.
Dia dan rakannya, Jonathan Colville menemui lipas ganjil sepanjang 1.27 sentimeter itu pada 2006 dan mengkaji serangga tersebut di makmal mereka di sini. 
-Agensi-

Jangan minum 'bir halal' - Jamil Khir


PADANG SERAI: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.
"Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam diRaja Malaysia (KDRM) untuk mendapatkan maklumat lebih jelas,” kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan, dekat sini, petang semalam. 
 -Bernama-

Jatuhnya Putrajaya bukan kerana berhimpun

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Mei: Jatuhnya Putrajaya yang dikuasai BN sekarang bukan disebabkan berhimpun tetapi kerana penjumlahan undi yang lebih popular kepada Pakatan Rakyat yang akan disaksikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8,000 belia sahaja, semalam.

Katanya, ucapan Najib tersebut menjelaskan lagi apa yang beliau dakwa dalam kenyataannya kelmarin bahawa pemimpin BN sangat resah, gelisah dan semacam tidak boleh tidur nyenyak memikirkan kuasa yang dimiliki di Putrajaya bakal hilang.

Baginya, perhimpunan yang ternyata gagal dari segi jumlah kehadirannya itu ternyata digunakan sepenuhnya Najib dan timbalannya untuk melahirkan perasaan resah dan gelisah kepada kuasa yang bakal hilang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, sungguh malang program yang sudah berbulan dirancang dan dicanang oleh pemimpin BN serta mendapat liputan media cetak dan elektronik itu hanya dihadiri seramai itu.

“Maka adakah benar-benar mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan mermbenarkan mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat seperti yang dilaungkan Najib dalam ucapannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kerana itu beliau meyakini bahawa para belia akan bersama Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan BN dalam PRU 13 nanti.

Oleh itu, beliau sangat menghargai sikap matang para belia pada masa kini untuk bersama seluruh rakyat malaysia bagi menyelamatkan negara yang disayangi ini.

“Lucunya Najib cuba merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat seperti di Mesir dan Tripoli dengan katanya Malaysia aman dan stabil dalam keadaan dia menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dengan mengapi-apikan rasa benci kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, sangat malang bagi sebuah negara yang cuba merosakkan para belia dengan perhimpunan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang penuh dengan penyelewangan dan dasar yang menindas rakyat.

“Tetapi saya ingatkan di luar sana adalah para belia yang tidak akan berhimpun seperti di Asia Barat tetapi mereka akan berhimpun di pusat pengundian dalam PRU 13 akan datang bagi jatuhkan kerajaan BN.

“Saya tegaskan bahawa Najib dan para belia yang berhimpun bersamanya di Putrajaya kelmarin pasti tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat ke Putrajaya kerana Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan walaupun sejuta belia yang hadir dengan cara berhimpun,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Sebelum ini, katanya pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga bercakap nada yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya dengan katanya "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan".

Beliau berkata, lucunya Najib mendakwa bahawa para belia tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat kononnya Pakatan Rakyat akan melelong Putrajaya.

Baginya, itu satu dakwaan yang dilihat sebagai kegelisahan tahap maksimum seorang pemimpin yang akan bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibawanya.

“Ternyata kalau kita amati gelagat Najib sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda kegusaran yang serius dan tidak pernah dialami oleh pemimpin Umno sebelum ini.

“Beliaulah satu-satunya pemimpin BN yang dilihat terbukti sedang bergelut dengan suasana sangat getir bagi mempertahankan kuasa BN yang telah melewati 50 tahun itu,” katanya.

Justeru, Khalil tidak dapat membayangkan apakah ucapan dan tindakan lain yang akan dilakukan oleh seorang yang disifatkan ‘gila kuasa’ dan sedang melakukan untuk mempertahankan kuasa.