"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasharudin akan dipecat 9 September atas arahan Anwar kata utusan meloya

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipercayai akan dipecat daripada parti itu pada Ahad ini, iaitu sempena mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat dan mesyuarat Majlis Syura Ulama parti tersebut.

Menurut sumber Pas, pemecatan Ahli Parlimen Bachok itu akan dipersetujui pada mesyuarat AJK Pas Pusat yang dikuasai oleh golongan ‘Anwarinas’ yang bersidang pada sebelah pagi 9 September ini.

Katanya, golongan ‘Anwarinas’ itu akan mempengaruhi mesyuarat Majlis Syura Ulama pada sebelah malam tarikh tersebut pula bagi memastikan Nasharudin dipecat.

“Difahamkan (Datuk Seri) Anwar telah memberi arahan kepada puak Anwarinas yang duduk sebagai AJK Pas Pusat untuk memecat Nasharudin pada mesyuarat AJK Pusat yang akan diadakan pada pagi 9 September.
-Utusan-

Peneroka Felda Rugi Jika Saham FGHV Jatuh Pada RM4.70

MOHD EZLI MASHUT 
SHAH ALAM, 6 SEPT: Peneroka Felda yang memiliki Saham Felda Global Ventures (FGHV) bakal berhadapan kerugian jika saham FGVH itu jatuh pada harga RM4.70 yang terus menyukarkan kehidupan peneroka apabila sebelum ini dibebani hutang pinjaman bank bagi memiliki saham itu.

Merujuk kepada laman Bursa Malaysia setakat 12.30 tengahari hari ini ,saham FGVH diniagakan harga RM4.78 di bawah harga psikologi pada RM5.00.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),Mazlan Aliman berkata walaupun saham FGVH disenaraikan pada RM4.55 dan naik kepada RM5.33, tetapi dalam tempoh yang begitu singkat saham ini mula menurun.

Kejatuhan saham FGVH dianggap terlalu cepat berbanding saham-saham lain seperti Amanah Saham Bumiputera dan Saham Negeri-negeri yang hanya jatuh dalam tempoh empat sehingga lima bulan.

“Dan kebimbangan kita ialah apa akan berlaku apabila rugi,sebab bila rugi ia akan ditanggung pemegang saham yang sahamnya dibeli dalam bentuk pinjaman yang perlu membayar termasuk kadar faedahnya lima peratus,apakah peneroka-peneroka Felda itu mampu untuk menampung risiko,” kata Mazlan ketika dihubungi.

Jelas Mazlan, pada realitinya masih lagi belum berlaku keadaan setiap peneroka hanya perlu membayar RM50 kepada Felda dalam masa lima tahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Beberapa aduan yang saya terima, di mana peneroka merujuk kepada bank dimaklumkan pihak bank tidak mengetahui hal tersebut.

“Apa yang berlaku di peringkat bawah ia tidak begitu, adi ini telah menimbulkan kerungsingan.

“Walaupun pakej bayaran RM50 itu dilaksanakan, bagaimana dengan peneroka yang sudah mula membayar kepada pihak bank,adakah peneroka boleh menuntut balik bayaran daripada pihak Felda Global Ventures?” soal Mazlan.

Pihak Anak akan menulis surat kepada pihak Yang Dipertuan Agong untuk mendapatkan maklum balas berkenaan memorandum yang dihantar oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik semasa Himpunan Oren pada 14 Julai lepas.

“Kita mahu mengetahui sejauhmana pendirian Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal ini.

“Dan kita yakin pihak Raja-Raja Melayu prihatin dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku di Felda,” katanya.

Adegan P Ramlee di alam nyata

ABD JALIL ALI
SEPERTI dijangka sehari dua ini ramai yang masuk surat khabar sebab tumpang semangkuk, naik semangat dan marah berapi-api apabila gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipijak.

Sekumpulan remaja memijak gambar pemimpin 1Malaysia itu pada perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ di Dataran Merdeka, betul-betul malam menyambut kemerdekaan ke-55. Tidak sahaja melanyak gambar, ada juga yang mengibarkan bendera lain konon sebagai ganti Jalur Gemilang.

Orang Umno cepat menuding jari pada parti pembangkang yangdikatakan menjadi dalang insiden tersebut. Konon, pembangkang menyemai perasaan benci kepada kerajaan, dan menaikkan semangat kumpulan remaja berkenaan.

Pembangkang pun menuduh Umno sebagai dalang. Konon komponen terbesar BN itu sengaja mengupah beberapa orang remaja supaya memijak wajah pemimpin No.1, untuk menggambarkan betapa teruknya perangai pembangkang.

Tidak tahu – dan tidak perlu difikirkan! – siapa yang betul. Apa yang jelas memijak kepala orang, walaupun hanya gambar, memang perbuatan tidak betul. Sebab itu, tidak kira puak pembangkang atau puak pemerintah, semua tidak setuju tindakan sekumpulan remaja itu.

Kurang ajar, biadab, penderhaka, itu antara istilah yang digunakan media untuk menyatakan tentangan. Di alam maya – Facebook, Twitter, blog – kemarahan terhadap tukang pijak diluahkan dalam istilah yang lebih teruk: sewel, gila babi, keparat, bodoh, bangang, dan istilah-istilah carut lagi lucah.

Sebenarnya orang kita memang suka pijak-memijak, tikam-menikam, tolak-menolak, tenggek-menenggek, semuanya untuk pangkat, kedudukan, wang ringgit dan sebagainya. Perihal tabiat memijak gambar pun bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebelum ini sudah kerap kita melihat gambar para pemimpin dipijak, dilenyek, malah dikencingkan.

Tentu semua masih ingat insiden 2009, gambar tiga orang Adun Bebas di Perak dipijak oleh pemimpin DAP. Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang), ketika itu dianggap katak sebab keluar PR dan mengumumkan pro-BN. Sebab itu kena pijak.

Gambar Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Selangor pun pernah kena pijak pada perhimpunan ‘kepala lembu’ di hadapan bangunan SUK Negeri, berhubung isu pemindahan kuil.

Malah, pernah terjadi poster wajah Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Abdul Hadi Awang dipijak dan dikencingkan. Dulu, kini dan selamanya orang kita memang selalu meluahkan perasaan secara tidak sopan @ samseng.

Insiden terkini pada malam merdeka itu membuat ramai orang marah, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Seperti yang dilaporkan media, beliau akan bertindak tegas dan menyegerakan proses undang-undang terhadap pelaku tindakan biadab itu.

Polis pun berjanji akan bertindak segera dan akan menyiasat kes kibar bendera baru mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948, manakala memijak gambar pemimpin negara mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan mudarat serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Harap-harap pihak berkuasa betul-betul bertindak tegas, bukan sahaja ke atas insiden gambar PM, malah ke atas tukang-tukang pijak sebelum ini.

Baik yang pijak Najib, Khalid, ‘sang katak’, Tuan Guru, semua perlu dijejaki, didakwa dan dihukum. Semua orang tidak suka budaya samseng.

Kalau ditanya pada saya mengenai insiden memijak kepala pemimpin, jawapan paling tepat bukan kurang ajar, biadab atau gila babi. Semua ini adalah kelakar, itulah jawapan selamba lagi sempoi daripada saya.

Saya teringat salah satu adegan dalam filem klasik P Ramlee, kalau tidak silap ‘Do, Re, Mi’. Terjadi perkelahian antara Re dengan Mi sebab masing-masing tidak mahu mengalah dan hendak tunjuk kuat mengenai satu isu.

Sang hero @ P Ramlee telah mengepal-ngepal dua kertas kemudian meletakkan di hadapan dua orang yang berkelahi itu, sambil berkata: “Yang ini kepala bapak engkau, yang ini kepala bapak engkau!” Lalu kedua musuh itu memijak kepala bapak lawannya. Dua-dua tidak menang!

Seniman agung itu memang berpandangan jauh. Lama sebelum ada BN dan PR, beliau sudah melawak-lawakkan adegan pijak kepala. Hari ini adegan lawak itu terjadi di alam nyata, dan rakyat sedang menontonnya di hadapan mata.