"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nekad terjun dua tingkat elak dibelasah suami

Sharjah (Emiriyyah Arab bersatu): Seorang wanita bersama ibu dan anak perempuannya cedera selepas nekad terjun dari tingkat dua apartmen mereka untuk menyelamatkan diri dari dibelasah suaminya yang kejam.

Ketiga-tiganya memberitahu polis lelaki itu mengunci mereka di dalam kediaman itu dan memukul mereka selama dua hari sebelum mereka berjaya memecahkan tingkap dan melarikan diri melalui balkoni rumah itu.

Akhbar Emarat Al Youm melaporkan, tiga mangsa itu dibawa ke Hospital Al Qassimi untuk rawatan manakala polis memburu lelaki terbabit yang sudah menghilangkan diri.

"Si isteri mengadu kepada polis bahawa suaminya memukul mereka bertiga kerana pasangan berkenaan mengalami masalah rumah tangga," lapor akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, kewarganegaraan dan usia tiga mangsa itu tidak dinyatakan. 
-Agensi/hmetro

AWAS!!! E-Rokok Boleh Meletup: (Gambar)Kaki Berlubang, Rumah Rosak

Aspinall menahan kesakitan sebaik dibawa ke hospital untuk menerima rawatan akibat letupan e-rokok.
TINDAKAN seorang perokok beralih kepada e-rokok kerana faktor kesihatan bertukar tragedi apabila alat itu meletup dan mencederakan kakinya.

Kejadian itu berlaku selepas David Aspinall dari Wigan mengecas alat itu terlalu lama hingga ia meletup dan serpihan besi terkena pada beberapa bahagian kakinya.

Malahan, sebahagian besar perabot rumah pangsa lelaki berusia 48 tahun itu juga rosak akibat letupan itu.

Akibat kejadian itu, Aspinall terpaksa menerima rawatan selama sembilan hari di hospital.

Dia mendakwa kakitangan dan doktor yang merawatnya menganggap kecederaan yang dialami itu umpama luka tembakan.

"Kaki saya berlubang akibat terkena serpihan alat e-rokok itu dan pakar bedah memberitahu ia umpama luka terkena tembakan," katanya.

Akibat kecederaan itu, lelaki itu terpaksa menjalani rawatan kulit selama tiga tahun.

Dia bagaimanapun bernasib baik kerana ketika kejadian masih mampu memaklumkan kejadian itu kepada jirannya dengan menggambarkan insiden itu umpama babak ngeri dalam filem.

Berikutan kejadian itu, Aspinall akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan rokok biasa yang dianggap lebih 'selamat'.

Dia juga mendakwa pekedai yang menjual alat e-rokok itu patut dipersalahkan kerana menyediakan bateri yang rosak.

Pada Ogos lalu, seorang lelaki berusia 62 tahun dari Merseyside meninggal dunia akibat kejadian sama, sekali gus kes pertama di United Kingdom membabitkan letupan e-rokok.
-mstar-

Nelayan Singapura Tertangkap Makhluk Aneh (Video)


SEJENIS makhluk aneh umpama timbunan cacing atau sotong ditemui nelayan pantai dalam Singapura baru-baru ini.
Ong Han Boon, 54 ketika itu berada di lokasi penangkapan ikan yang digemarinya iaitu di kawasan Pulau Sentosa dengan harapan memperoleh hasil lumayan.

Sementara menunggu pukatnya dipenuhi tangkapan, dia berehat sambil menikmati minuman di botnya apabila dikejutkan dengan pergerakan pada pukatnya.

"Saya dapat mengesan ada sesuatu yang menyebabkan tali pukat itu bergerak dan sebaik menariknya keluar dari air, saya terkejut dengan apa yang saya lihat.

Makhluk itu kelihatan mempunyak hampir 100 sesungut umpama tangan seperti sotong atau tapak sulaiman yang bergerak-gerak.

"Saya pernah beberapa kali menemui sesuatu yang pelik, tetapi bukan dari laut. Bagaimanapun, makhluk seperti ini memang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

"Ia kelihatan seperti alien atau mutan," katanya.

Han Boon memuatnaik video makhluk aneh itu dengan harap ada pihak yang akan tampil memaklumkan apa sebenarnya yang masuk ke pukatnya itu.

"Saya sudah bertanya kawan-kawan tetapi tiada sesiapa yang tahu, manakala pencarian menerusi Internet juga belum mendapat sebarang jawapan.

"Jadi, jika tiada siapa yang dapat memberitahu apa sebenarnya yang saya tangkap, mungkin ia makhluk asing atau saya menemui spesis mutan hidupan laut," katanya.
-mstar-