"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin Ingkar Parti Lobi Jawatan MB: Lima Adun tarik balik sokongan ke atas Dr Wan Azizah

PETALING JAYA: Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor nampaknya tidak menamatkan kemelut dalam Pakatan Rakyat apabila kepemimpinannya digesa mengambil tindakan disiplin terhadap pihak yang ingkar keputusan parti berhubung isu berkenaan.
Azmin juga dinamakan antara yang perlu dikenakan tindakan kerana didakwa melobi untuk mendapat jawatan itu.

Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin berkata, selain itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yang menyokong Azmin juga wajar dikenakan tindakan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa tiga Adun PKR dan dua mewakili DAP itu telah menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar selepas membuat surat akuan berkanun berbeza untuk taat kepada siapa sahaja yang dipilih oleh istana.

"Masing-masing menarik balik sokongan ke atas Dr Wan Azizah dan kononnya taat setia dengan pilihan Sultan Selangor.

"Muncul persoalan, siapa yang menyediakan surat akuan berkanun yang dilihat seragam format dan ayatnya," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Chegubard berkata, beliau mempunyai bukti surat akuan berkanun tersebut, tetapi tidak bersedia mengedarkannya atau mendedahkan nama Adun yang dimaksudkan kerana mahu menuntut penjelasan daripada mereka.

"Saya akan dedah mengikut respon mereka. Setakat ini tak ada sebarang penafian, tapi kalau mereka nafi, mungkin mereka kata ini (bukti) palsu...saya hanya mahu penjelasan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau bersedia memberikan semua bukti yang ada berhubung dakwaan ini jika Lembaga Disiplin parti memberi jaminan akan mengambil tindakan serius terhadap mereka.

"Lobi diri sendiri dan sengaja tidak akur keputusan mesyuarat untuk hanya memilih Dr Wan Azizah ialah perlanggaran disiplin parti.

"Persoalannya apa tindakan disiplin parti? Adakah Azmin begitu berkuasa kerana bukan sahaja dia dengan jelas dan sengaja tidak akur keputusan parti tetapi mampu membuat u-turn dan mengikut kehendaknya," katanya.

Beliau turut membandingkan dakwaan terhadap Azmin ini dengan nasib Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat kerana tidak berdisiplin dan tidak mengikut arahan parti.

"Adakah PKR mengamalkan dua set undang-undang berbeza, satu untuk anggota biasa dan satu set undang-undang untuk mereka yang istimewa," katanya.

Chegubard yang kini digantung keahliannnya berkata, beliau tidak bimbang tindakan mendedahkan perkara ini akan menyebabkan keahliannya dilucutkan kerana ia melibatkan integriti parti.

"Saya lebih sayangkan nilai perjuangan menegakkan integriti dan kebenaran.

"Biar saya tak jadi apa-apa tapi dikenang sebagai orang yang bercakap tentang kebenaran," katanya sambil menambah turut menerima sokongan daripada pimpinan peringkat atas dan akar umbi.
-mstar-

Video: Pelacur Lari Lintang-Pukang Takut Ditahan Polis

 
KUALA LUMPUR: Gara-gara takut ditahan pihak berkuasa, sekumpulan pelacur warga China bertindak lari lintang-pukang sehingga sanggup membahayakan diri di Jalan Gelang di sini, Rabu malam.

Kumpulan pelacur tersebut merupakan antara wanita yang memperagakan diri dengan tarian ghairah di pentas sebuah medan selera untuk mendapatkan pelanggan.

Bagaimanapun ketika sedang memikat pelanggan, pelacur berkenaan dikejutkan dengan serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 12 tengah malam.

Serbuan tersebut diketuai oleh Deputi Supritendan, Shahrulnizam Jaafar bersama dua pegawai dan 25 anggota.

Hasil tindakan pantas polis, seramai 35 wanita warga asing yang menawarkan diri untuk aktiviti pelacuran di kawasan itu berjaya ditahan.

Daripada jumlah itu, seramai 24 wanita merupakan warga China manakala 11 lagi rakyat Vietnam.

Turut ditahan seorang lelaki yang dipercayai pengurus medan selera berkenaan.

Pemeriksaan lanjut di sebuah bangunan yang dijadikan bilik tumpangan wanita-wanita terbabit menemui sejumlah kondom dan pelbagai peralatan seks.

Kesemua 35 wanita terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
-mstar-

Video seks: Ini jawapan dari pihak Ustaz Azhar Idrus

Kuala Terengganu: Penyebaran video lucah di laman sosial yang kononnya mengaitkan pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) hanyalah niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama di negara ini.
Sambil menafikan pelaku dalam video lucah yang sudah tersebar luas itu adalah UAI, pembantunya Zulkifli Wahab berkata, ia adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama selain cuba menggagalkan usaha penyebaran dakwah di kalangan umat Islam di negara ini.

"Bukan... jangan percaya.. itu adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bukan saja UAI tetapi juga golongan ulama di negara ini.

“Kebelakangan ini seperti sudah wujud trend untuk menjatuhkan golongan ustaz dan ulama ini.

"Ini kerana pihak yang berkenaan seperti tidak senang duduk apabila melihat masyarakat Islam di Malaysia sekarang semakin suka dan rajin ke majlis ilmu hingga PROGRAM ceramah agama dan dakwah sudah menjadi fenomena sekarang.

"Justeru, pihak tertentu sengaja merancang usaha kotor ini untuk menjatuhkan ulama dan memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

"Ia termasuklah PROGRAM 'I Want To Touch A Dog' di ibu kota baru-baru ini.

“Mereka akan buat apa saja untuk merosakkan umat Islam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya penerimaan UAI mengenai penyebaran video lucah mirip dirinya itu, Zulkifli berkata, UAI masih meneruskan PROGRAM ceramah seperti biasa dan tidak terjejas dengan penyebaran video palsu itu.
-hmetro-