"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakim buka jalan perkahwinan sejenis?

ZALINA MAIZAN NGAH
KUALA LUMPUR: Alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan amat luas impikasinya termasuk membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
Tun Abdul Hamid berkata alasan-alasan yang diberikan mahkamah itu juga menyebabkan hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah.

"Alasan penghakiman tersebut memberi implikasi apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah di negara-negara sekular.

"Apabila hukum syarak diukur dengan nilai liberal hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi e-mel yang dihantar kepada Bernama bagi memberi pandangan berhubung keputusan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail,30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan dan undang-undang.

"Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap suruhan agama Islam.

"Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap suruhan agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu," katanya.

Tambah beliau, sebaliknya hakim tersebut merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain seperti penghakiman Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan India sedangkan perlembagaan negara tersebut tidak sama seperti Malaysia.

"Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat. Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan," katanya.

Abdul Hamid berkata, berdasarkan alasan penghakiman yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga, boleh diisytiharkan tidak sah.

"Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis. Nampaknya apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku," kata beliau.

Abdul Hamid berkata setelah membaca penghakiman ringkas dalam kes tersebut beliau mendapati bahawa peruntukan Seksyen 66 itu tidak sah bukan kerana ia 'undang-undang jenayah' yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan tetapi kerana ia melanggar Perkara 5(1)(kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2) (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak) dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara).

Seksyen 66 enakmen itu memperuntukkan bahawa adalah suatu kesalahan apabila lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara, tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pada 7 Nov lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 tersebut adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi masalah kecelaruan identiti jantina (GID).

Dalam penghakiman ringkas setebal 33 muka surat itu, Hakim Mohd Hishamudin berkata, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan perayu-perayu yang mengalami GID terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu.

"Seksyen 66 secara langsung menjejaskan hak perayu-perayu untuk hidup secara bermaruah seperti yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, dengan merampas hak mereka sebagai anggota masyarakat," kata Hakim Mohd Hishamudin. 
-Bernama-

Peti ais punca kena buang kerja


SABAK BERNAM: Empat pekerja di sebuah kedai serbaneka di daerah ini hilang punca pendapatan selepas mendakwa diberhentikan kerja tanpa notis oleh majikan mereka pada pagi 14 Oktober lalu.


Bekas penyelia kedai serbaneka terbabit, Rokiah (bukan nama sebenar), 26, berkata, mereka diberhentikan kerja tanpa notis itu serentak selepas dua daripada mereka dituduh tidak menutup peti ais.

Katanya, sehari sebelum mereka diberhentikan, seorang pengurus datang ke kedai terbabit dan mengadakan mesyuarat bersama dengan penyelia baharu yang membangkitkan isu seorang pekerja kedai terbabit yang mengadu kononnya peti ais sengaja tidak ditutup dua pekerja berkenaan.

“Saya minta pengurus kemukakan bukti CCTV jika benar dakwaan terbabit, tapi dia (pengurus) sendiri pun tak tahu tarikh berlaku dan hanya dengar cakap sebelah pihak tanpa menyiasat perkara sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah berkata, dia yang bekerja tetap sejak lima tahun juga diturunkan pangkat daripada penyelia kepada pekerja biasa pada 3 September lalu tanpa sebarang alasan, tetapi masih boleh bersabar dan meneruskan perkhidmatannya.

“Waktu mula saya kerja dulu tak ada masalah, tapi bila kedai makin maju kita dah nampak majikan mula pilih kasih dengan menurunkan pangkat saya dan memecat kami tanpa ruang untuk membela diri,” katanya.

Seorang lagi bekas pekerja, Jamilah (bukan nama sebenar), 22, berkata, dia berasa amat kesal kerana dipecat tanpa sebab selepas dituduh dengan sengaja tidak menutup peti ais, sedangkan dia bekerja di bahagian lain.

“Kenapa pula saya yang dituduh? sedangkan saya bekerja di unit lain. Saya jadi mangsa keadaan dan majikan seharusnya siasat perkara ini terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Seorang pekerja berstatus ibu tunggal, Faridah (bukan nama sebenar), 28, berkata, penamatan kontrak serta merta itu tidak wajar kerana mereka hanya diberitahu melalui lisan oleh penyelia terbabit mewakili majikan.

“Majikan kemudiannya pada 17 Oktober mengeluarkan notis menyatakan sebab kami diberhentikan kerana tidak datang kerja sedangkan kami telah diberhentikan melalui lisan pada pagi kejadian (14 Oktober),” katanya.

Zara, (bukan nama sebenar) 23, berkata, mereka juga telah membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor pada 15 Oktober lalu berhubung perkara terbabit sambil berharap agar diberi pembelaan yang sewajarnya.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, beliau sendiri akan menulis surat memohon penjelasan daripada pihak pengurusan kedai serbaneka selain mengadakan pertemuan dua hala.

“Saya sendiri akan pergi berjumpa dengan pengurusan bagi menjernihkan kekeruhan yang timbul kerana kita tak mahu ada perkara yang tak selesa boleh menimbulkan ketegangan.

“Saya fikir perkara ini boleh diselesaikan menerusi meja rundingan dan saya rancang untuk mengadakan pertemuan dengan majikan dalam waktu terdekat,” katanya.
-Sinar Harian-

Hubungan Adolf Hitler Dengan Mufti Besar Palestin

Satu pendedahan yang agak menggemparkan muncul pada tahun 2006 (laporan dari sumber asal) apabila Institut Kajian Aero dan Angkasa Malaysia (IKAM) menemui fakta-fakta menarik di sebalik kajian IKAM terhadap data sejarah Operasi Divisyen Hanzar!

Pendedahan itu menimbulkan kekeliruan mengenai siapakah sebenarnya Adolf Hitler?
Adolf Hitler

Dalam banyak catatan sejarah, tidak ada yang positif bagi menggambarkan pemimpin Jerman semasa Perang Dunia Kedua ini. Bukan sahaja negatif malah namanya masih dicaci sehingga hari ini kerana tragedi holocaust. Jutaan orang Yahudi mati dipercayai kononnya angkara perintah Hitler.
Bagaimanapun, sesuatu yang menghairankan sebaliknya terjadi. Hitler didapati masih mempunyai nilai toleransi yang tinggi dengan membenarkan penubuhan beberapa divisyen tentera beragama Islam di dalam kem atau menjadi sebahagian daripada bala tentera nazi Jerman.

Menurut Jeneral Leon Degrelle, seorang komander divisyen Waften SS (askar rakyat) Jerman, ada tiga divisyen Waffen SS yang 90 peratus anggotanya beragama Islam. Jumlah anggota dalam ketiga-tiga divisyen ini pula berjumlah 60,000 orang.

Antara tiga divisyen tentera beragama Islam Waffen SS ini, divisyen tentera paling terkenal adalah Divisyen ke-13 Waffen SS Hanzar. Divisyen ini beroperasi di Balkan dengan 90 peratus anggotanya berbangsa Albania, Bosnia dan Croatia yang beragama Islam. Bakinya orang Croat beragama Kristian Katolik yang berjumlah 21,000 orang.
Divisyen Ke-13 Waffen SS Hanzar

Operasi Divisyen Hanzar mendapat perhatian IKAM kerana ia sesuatu yang sangat unik dan menakjubkan. Operasi tentera udara sukarela Croatia berjaya menembak jatuh hampir 300 kapal terbang tentera udara Rusia (komunis) sedangkan kapal terbang mereka yang dimusnahkan tentera udara Rusia kurang daripada 10 pesawat ketika Perang Dunia Kedua tercetus di Balkan.

Hanzar adalah perkataan Arab, Bosnia dan Croatia yang bermaksud parang. Parang hanzar ini dipilih sebagai nama rasmi dan juga simbol bagi Divisyen ke-13 Waffen SS.

Pakaian rasmi Divisyen Hanzar pula sama seperti pakaian rasmi Waffen SS yang lain. Cuma bezanya, anggota tentera Divisyen Hanzar memakai tarbus. Dari segi persenjataan, anggota pasukan ini juga dilengkapkan dengan senjata seperti anggota Waffen SS lain.

Namun IKAM mendapati apa yang lebih menarik ialah terdapat seorang tokoh Islam yang mampu menjalinkan hubungan baik dengan Hitler. Dia turut berperanan sebagai pemimpin Divisyen Hanzar.

Beliau ialah Mufti Besar Baitulmaqdis, Haji Amin Al Husseini. Beliau ialah pemimpin yang berpengaruh di Wilayah Arab terutama di kalangan pemimpin Arab Palestin.
Haji Amin Al Husseini

Sepanjang Perang Dunia Kedua itu, Amin Al Husseini menetap di Jerman bagi menentukan pembentukan koordinasi antara fahaman Nazi dan polisi Arab sehingga membawa kepada pembentukan Divisyen Hanzar pada Februari 1943.

Divisyen Hanzar dihantar mengikuti latihan ketenteraan di Perancis sebaik sahaja penubuhannya. Ia mula beroperasi di Balkan pada Februari 1944. Divisyen ini beroperasi dengan jayanya menentang gerila komunis Partisan pimpinan Josip Broz Tito dan juga tentera Rusia.

Walaupun jawatan Muftinya dilantik oleh kerajaan British yang ketika itu menjajah Palestin, namun Amin Al Husseini merupakan seorang yang sangat membela Islam. Beliau juga bertanggungjawab menyekat kemaraan dan kemasukan beramai-ramai Yahudi ke Eropah setelah kaum itu gagal di sekat memasuki wilayah Palestin.

Generasi sekarang hanya mengenali Hitler namun ketokohan Amin Husseini sebagai pejuang Islam pada Perang Dunia Kedua sangat jarang diketahui. Malah beliau seorang yang banyak berjasa menggerakkan kebangkitan orang Islam selepas kekalahan kerajaan Uthmaniah (Ottoman) di Palestin diikuti Mesir dan Iraq.

Malah beliau merupakan mentor perjuangan kepada pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Allahyarham Yassier Arafat dan ketua pemimpin dan pejuang Islam yang lain.

Walaupun ada laman web yang memburuk-burukkan nama Amin Al Husseini kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan orang Kristian di Balkan namun paparan gambar sepanjang hayat beliau jelas menunjukkan tokoh ini mampu menerokai hubungan antarabangsa yang cukup luar biasa terutama berjaya menjalinkan satu hubungan dengan Hitler.

Presiden IKAM, Norul Ridzuan Zakaria berkata, adalah satu isu yang sangat menarik apabila Hitler memberikan persetujuan untuk menubuhkan Divisyen Hanzar dan toleransinya terhadap kegiatan anggota divisyen berkenaan yang majoritinya terdiri daripada orang Islam.

“Sebelum ini begitu banyak fakta menjelaskan bahawa Hitler adalah seorang diktator yang kejam dan tidak bertoleransi terhadap keagamaan, apa tah lagi Islam,” katanya dalam satu rencana yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Menurut Norul Ridzuan, setiap batalion atau rejimen dalam Divisyen Hanzar akan dilengkapi seorang imam dan seorang guru agama yang bertugas untuk memastikan setiap anggota divisyen ini terus mengekalkan cara hidup sebagai muslim.

“Di samping itu, divisyen ini kerap menerima kunjungan Mufti Baitulmaqdis Imam Amin Al-Husseini yang melengkapkan pengisian rohani anggota divisyen ini,” katanya.

Sebagaimana fakta sejarah merekodkan kekalahan tentera-tentera Nazi dalam Perang Dunia Kedua itu, begitu juga nasib yang diterima oleh tentera Divisyen Hanzar yang terpaksa menyerah diri pada Mei 1945 apabila pasukan tentera Jerman berundur dari Balkan. Lebih malang lagi kesemua mereka kemudian dibunuh oleh diktator Tito yang disokong oleh British dan Rusia.
Mungkin satu semakan semula sejarah Hitler perlu dibuat. Ini kerana hubungan baik Hitler dan Amin Al Husseini tentunya tidak terhad atas kepentingan politik dan mengembangkan pengaruh masing-masing.
Pasti masih ada sesuatu yang telah disembunyikan daripada pengetahuan umum di sebalik Hitler yang sering diburukkan dengan holocaustnya itu. Benarkah beliau sekejam itu?
Persoalan ini ditimbulkan oleh Pesiden Iran, Ahmadinejad pada tahun 2006 (laporan sumber asal) mengenai sejauh mana kebenaran holocaust. Ujar pemimpin itu, jika benar ia wujud maka itu sepatutnya menjadi dosa orang Eropah.
“Tetapi mengapa rakyat Palestin dan umat Islam yang terpaksa menanggungnya. Namun, kita meyakini Barat sebenarnya telah berjaya diperalatkan oleh Yahudi untuk menghancurkan negara Islam demi kelangsungan rejim dan puak Israel,” katanya.