"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukan Khalid Ibrahim Saja Yang Terkejut, Rakyat Selangor Lagilah Terkejut

Kalau Khalid Ibrahim Terkejut Dengan Pampasan RM2.5 Juta, Rakyat Selangor Lagilah Terkejut!!

Cabaran baru kini menanti Menteri Besar Selangor, Azmin Ali. Setelah berjaya dengan beberapa program terjah untuk menjadikan kepimpinannya lebih dekat dengan rakyat dan penyelesaian secara harmoni isu kitab Bible yang dirampas Jais, rakyat Selangor kini menanti ketegasan serta kebijaksanaannya menyelesaikan isu pampasan RM2.5 yang dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar Selangor atau MBI.

Mengikut laporan pampasan itu dibayar kepada lapan kakitangan kerajaan negeri yang berhenti secara sukarela berikutan pertukaran Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Terdapat laporan yang mengatakan ada di antaranya menerima sehingga RM700 ribu dan ada pula laporan lain mengatakan antara penerima pampasan itu termasuk bekas Menteri Besar, Khalid Khalid Ibrahim sendiri, bekas CEO MBI yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya, Faekah Husin serta bekas Setiausaha Akhbarnya, Arfa'ezaa Abdul Aziz.

Azmin dalam reaksi awalnya menyatakan, siasatan Jabatan Audit Negeri mendapati wujudnya unsur salah guna peruntukan dalam pemberian pampasan sejumlah RM2.5 juta itu kerana beberapa perkara telah tidak dipatuhi.

Hasil siasatan yang dijalankan memang ada beberapa perkara tidak dipatuhi dalam pemberian ganjaran tersebut dan sudah tentu jumlah ganjaran begitu besar jumlahnya perlu disemak semula, demikian kata Azmin lagi.

Walaupun beliau belum memutuskan bentuk tindakan yang bakal diambilnya selaku ketua kerajaan negeri, rakyat Selangor amat mengharap tindakan paling tegas, termasuk pemulangan wang tersebut ke dalam akuan MBI serta membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat jika benar terdapat unsur salah guna dalam proses meluluskannya.

Jika benar, terutamanya Khalid dan Faekah tidak wajar sama-sekali menerima pampasan itu kerana mereka adalah kakitangan kerajaan negeri yang layak menerima pencen berikutan telah berkhidmat melebihi 36 bulan perkhidmatan.

Dengan adanya pencen bulanan yang bakal diterima, apakah wajarnya lagi diberi pampasan dengan jumlah yang besar itu?

Tidak pernah bagi pemimpin atau kakitangan kerajaan mana-mana negeri atau pusat sebelum ini yang diberikan ganjaran wang tunai sebaik bersara dan menamatkan perkhidmatan mereka dan apa yang dilakukan oleh MBI ini memang pelik dan mengejutkan.

Bagi kakitangan yang lain pula, penghargaan atas jasa berkhidmat dengan kerajaan negeri, mungkin masih boleh diberikan tetapi tentulah bukan dalam bentuk wang tunai yang begitu besar jumlahnya.

Penghargaan yang sesuai mungkin seperti tajaan menunaikan haji atau umrah untuk sekeluarga, percutian ke luar negara atau dalam bentuk barangan yang boleh disimpan sebagai kenang-kenangan.

Dalam hal ini, kalau Khalid Ibrahim sebelum ini menunjukkan beliau seorang yang pandai menyimpan duit untuk kerajaan negeri, Azmin pula haruslah membuktikan dirinya pemimpin yang berhemah dalam menjaga setiap sen dengan sebaik-baiknya.

Jika benar ada salah guna peruntukan dan beberapa perkara pula tidak dipatuhi, wang itu harus didapatkan kembali dengan apa cara sekali pun. Azmin tidak harus berlengah menyelesaikan isu ini dan ia harus menjadi keutamaannya kini.

Jika isu Bible yang lebih rumit dan melibatkan banyak pihak boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 100 hari menjadi Menteri Besar Selangor, harapan rakyat Selangor tentulah mengharapkan hal wang ganjaran ini mampu diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat lagi.

Bagaimanapun, apa yang menarik ialah apabila Khalid Ibrahim yang ditanya mengenai perkara ini, dilaporkan terkejut dengan pemberian wang ganjaran itu.

Beliau bukan saja tidak mengetahui jumlah wang yang dibayar kepada lapan kakitangan yang berhenti itu, bahkan juga tidak pasti sama ada bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin turut menerimanya.

Tetapi, sebagaimana yang dilaporkan oleh Mstar, Khalid turut memberitahui bahawa Ahli Lembaga Pengarah MBI hanya terdiri daripada tiga individu iaitu beliau sendiri, setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan negeri.

Jadi, bagaimana Khalid boleh terkejut dan tidak mengetahui siapa penerimanya dan berapa jumlah setiap orang menerima pampasan itu?

Apa yang dibuatnya dalam mesyuarat dan ketika keputusan itu dipersetujui sedangkan beliau merupakan Menteri Besar waktu itu? Kalau Khalid boleh terkejut, rakyat Selangor tentulah berkali-kali lebih terkejut lagi, bahkan kera dan beruk di hutan juga mungkin terkejut sama!!

Luahan hati suami kenapa dia curang

NOR KHALILAH GUSTI HASSAN
PAGI ini, emel saya diketuk seorang pembaca yang meminta namanya dirahsiakan untuk berkongsi kisah rumah tangga.Kisah ini wajar dijadikan pedoman buat para isteri yang merasa cukup bahagia dengan layanan romantis suami. Usah terlalu merasa bahagia, jika anda sendiri belum mempercukupkan diri untuk si dia. Selama ini, dia tidak menyangka sungai rumah tangganya yang beralun lembut, aman damai, tenang di permukaan telah bergolak hebat di dasarnya, tanpa sedar...

Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak ketawa ceria... malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.

Suami selalu membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup kesalahan...

Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta. Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya tembelang pun pecah.

“Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!”

Ya ALLAH... saya terduduk dengan pengakuan itu... kenapa janda? kenapa bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya... apa salah saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba menongkah tapi saya pantas menepis.

Tiada kekuatan untuk saya teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat sunat dan mengadu padaNYA.

Ya... Saya ingin mengadu... air mata saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya. Dia merangkul pinggang saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali. Dia minta saya ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.

Ya ALLAH, sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan... S-aya ingin menetak suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh. Saya kuatkan hati untuk bertanya...

“Berapa kali?”

“Banyak...”

“Sejak bila?”

“Sejak Mah mengandung Adan...”

Ya ALLAH... enam tahun lalu... kini Adan dah ada dua adik...

“Tak kahwin?”

“Tidak... abang sayangkan Mah...”

“Sayang?”

“Ya...”

“Ini tanda sayang?”

Soalan saya terbiar tanpa jawapan...

Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya. Mata ini tidak berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam. Air mata tak mahu berhenti...

Minta terus terang

Saya minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya. Suami menggelengkan kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang saya mahu keluar dari rumahnya.

“Sepuluh tahun abang... sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah sendiri... abang tak bahagia dengan Mah... Abang cari lain-

“Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik... tak ada kurang satu pun... Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan abang...”

Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah bila saya terlelap langsung tak pasti.

Subuh lagi saya sudah bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia bangun seperti tiada apa-apa berlaku. Di hadapan anak-anak kami cuba berlagak biasa. Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat ia hendak berlaku, saya palingkan muka. Saya tak mahu bibir yang pernah mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut lagi.

Surat jadi penyebab

Saya tutup pintu dan saya menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca. Saya tahu itu pengakuan suami. Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari kekuatan untuk membacanya. Dan isi surat suami, betul-betul buat saya rasa tertampar. Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya menerima dan memaafkannya.

Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik... yang baik... dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa...

Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat... abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang semula. Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk putuskan hubungan. Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang terkhilaf...

Mah...

Abang jenguk Mah di bilik anak. Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan. Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis. Mah tak sedar betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar telah buat cinta abang berpaling.

Sumpah Mah! Sumpah abang rasa bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah tak jaga keperluan batin abang.

Kita kenal sejak sekolah. Sejak Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping, tinggi, bermata galak dan menggoda. Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah biarkan kecantikan Mah hilang. Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah busuk di sebalik tudung... kaki Mah bengkak dengan lemak... badan Mah berbau bila abang balik kerja. Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak bermaya. Abang lemah tengok Mah lemah... Abang bagi Mah duit untuk Mah bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah tak gunakan untuk merapikan diri?

Mah abang tak pandang pakaian atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh dan wajah Mah. Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu? Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita sama-sama belajar dan bekerja dulu? Abang sungguh malu nak bercakap tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki rumah tangga kita, abang luahkan... dan Mah terimalah dengan lapang hati.

Mah... Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda. Dia menjaga setiap inci yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit. Abang minta ampun. Abang menyesal... Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona. Abang rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup abang... abang tidak mampu menghalang.

Abang berdosa dengan Mah. Mah berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan. Ampunkan abang... abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala hukuman. Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam... abang merayu Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya luar dan dalam... abang merayu...
-sinarharian-

Ramai orang China di Arab Saudi memeluk Islam kerana melihat kaabah

http://detikislam.blogspot.com  
Telah kita tahu bahawa Kaabah merupakan kiblat bagi umat Muslim. Berkujung ke Baitullah itu merupakan kewajiban umat Muslim yang terdapat pada rukun Islam. Dengan melihat kaabah ternyata dapat menggetarkan hati seseorang sehingga orang-orang bukan Islam pun kini tertarik untuk memeluk agama Islam.
Hidayah boleh datang dari pelbagai keadaan yang tidak pernah diduga. Mungkin itu lah yang dialami oleh ratusan pekerja China di Arab Saudi yang kemudian memilih Islam sebagai agamanya yang baru.

Setelah melihat kaabah dari televisyen, tiba-tiba hati mereka bergetar. Pintu hidayah seakan terbuka. Allah SWT melapangkan jalan mereka untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Lebih dari 600 pekerja berasal dari negara China memeluk Islam.

Mereka adalah sebahagian daripada 4,600 rakyat China yang bekerja dengan projek landasan kereta api yang menghubungkan Mekah dan Madinah. Landasan kereta itu akan melalui Jeddah dan Khum. Peristiwa ratusan pekerja China memeluk Islam berlaku pada tahun lalu.

Pada awalnya, hanya 370 orang pekerja China yang Muslim daripada 4600 pekerja China berada di negara tersebut. Penduduk tempatan meminta pihak kerajaan mengupah buruh Cina yang beragama Islam. Namun Allah mempunyai rencana lain dengan kedatangan para pekerja itu.

Kedatangan ke Arab Saudi membuka peluang bagi mereka untuk melihat Islam lebih jelas dari tanah tempat agama ini diturunkan. Seperti yang dikatakan seorang pekerja yang telah menjadi Mualaf.

Pekerja yang telah menukar namanya menjadi Hamza (42) ini mengaku tertarik pada Islam selepas melihat kaabah untuk kali pertama di televisyen Saudi. "Ini menggetarkan saya. Saya menyaksikan siaran langsung solat dari Masjidil Haram dan umat Islam yang sedang berjalan mengelilingi Kaabah (tawaf)," katanya.

"Saya bertanya kepada teman yang Muslim tentang semua hal ini. Dia kemudian membawa saya ke Pejabat Bimbingan Asing yang ada di syarikat, di mana saya mempunyai peluang untuk belajar tentang pelbagai aspek mengenai Islam," katanya. Kini Hamza merasa lebih bahagia dan lebih tenang selepas menjadi seorang Muslim.

Pekerja lain, Ibrahim (51), mengalami peristiwa yang hampir sama pada September tahun lalu. Dia yang bekerja di bahagian penyelenggaraan syarikat kereta Api China menjadi seorang Muslim selepas melihat ka'bah. "Walaupun kami berada di China, kami tidak mempunyai peluang untuk belajar tentang Islam. Ketika saya tiba di Mekah, saya sangat terkesan oleh perilaku penduduknya. Perlakuan yang sama bagi orang Muslim dan non-Muslim mempunyai kesan besar pada saya, "tambahnya.

Sementara, Abdullah Al-Baligh (51), diberi petunjuk untuk memeluk Islam setelah melihat perubahan positif dari rakan-rakannya yang lebih dulu menjadi mualaf. "Enam bulan selepas saya tiba di Mekah, saya melihat rakan-rakan saya yang sudah memeluk Islam benar-benar berubah. Tingkah laku mereka boleh diteladani. Saya menyedari bahawa Islam adalah kekuatan di sebalik perubahan tersebut," ujarnya.

"Apabila saya bertanya padanya, dia mengatakan bahawa dia sama sekali tidak tahu tentang agama ini sepanjang tinggal di China. Sekarang, dia mempunyai pemahaman yang lebih tepat tentang Islam dan ingin menjadi lebih teladan."

Begitu pula dengan Yunus. Pekerja berasal China ini baru mempelajari Islam ketika berada di Mekah. "Islam di China begitu kurang. Aku baru mengetahui Islam setelah datang ke Saudi," ujarnya

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com