"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin pertahan Hadi

PKR melihat isu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan sering ponteng mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bukan isu besar, kata Mohamed Azmin Ali.
Timbalan presiden PKR itu berkata, ketiadaan pemimpin tertinggi dalam mesyuarat Majlis Presiden dan Majlis Pimpinan PR tidak menjejaskan hubungan baik antara tiga parti itu.

"Saya percaya hal ini boleh diselesaikan secara baik dalam PR.
"Saya tidak melihat ia sebagai satu isu besar. Hadi dan pimpinan PAS memberikan komitmen positif dalam Pakatan sehingga menghasilkan kejayaan dalam pilihan raya umum," katanya kepada pemberita di Gombak, Selangor hari ini.
DAP dan PAS sebelum ini dilihat sering berbalah apabila menyentuh soal kehadiran Hadi dalam mesyuarat PR.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu meluluskan resolusi mendesak agar ahli Parlimen Marang itu hadir ke mesyuarat PR.

Manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang kecewa dengan kenyataan DAP turut mengungkit isu sama apabila mendakwa ketua menteri Pulau Pinang itu juga sejak 2008 lebih kerap ponteng mesyuarat berbanding Hadi.

Katanya, kebiasaannya, sebarang perbezaan pandangan akan dibincang bagi mencari penyelesaian dan tidak dianggap masalah dalaman.

Malah beliau menegaskan hubungan antara PKR, DAP, dan PAS semakin kukuh dalam PR.

"Sekiranya ada pandangan yang berbeza, kita akan selalu bincang dalam Majlis Presiden PR, tradisi ini cukup sihat dan akan diteruskan," katanya.

Minggu lalu, Hadi berkata beliau tidak hadir mesyuarat kerana tidak sihat sehingga susut badan berbanding sebelumnya.

"Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar," katanya dipetik laporan Harakahdaily pada 10 November lalu.

Mei lalu, Hadi dirawat di hospital di Istanbul, Turki setelah mengalami masalah pernafasan ketika dalam rangka menghadiri program di sana.

Beliau kemudian terpaksa berehat hampir sebulan di sana ekoran keadaan kesihatannya.

Tembelang PKR dan DAP terbongkar tolak Islam dan Hudud

Parti komponen Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP amat kecewa dengan keputusan PAS Kelantan yang mahu meneruskan pelaksanaan hukum hudud mereka apabila mempertimbangkan penggunaan gilotin - alat yang digunakan untuk memotong kepala Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette ketika zaman Revolusi Perancis 1793.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong berkata, Malaysia tidak memerlukan undang-undang yang bersifat kejam seperti itu.

"Begitu obses dengan kaedah yang tidak berperikemanusiaan oleh Nik Amar amat mengecewakan," kata Liew, yang juga ahli Parlimen Kluang, merujuk kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
"Cadangan penggunan gilotin itu perlu dihapuskan segera," katanya.

Media hari ini melaporkan Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan dikatakan menghadapi kesukaran mencari kaedah paling sesuai untuk memotong anggota badan seseorang yang disabitkan kesalahan mencuri dan mini gilotin ini menjadi pilihan.

Mohd Amar berkata mungkin akan mencadangkan kepada ahli panel agar menggunakan mesin yang tidak memerlukan pakar bedah mengendalikannya, akan tetapi jawatankuasa itu masih memikirkan idea walaupun menerima reaksi negatif untuk mendapatkan pakar bedah bagi memotong kaki dan tangan pesalah.

"Pertamanya, pakar bedah mesti bersetuju menjalankan prosedur tetapi itu mungkin akan membangkitkan kemarahan Persatuan Perubatan Malaysia kerana ia melanggar 'Hippocratic Oath' (sumpah untuk menegakkan piawaian profesional dan mengamal perubatan secara etika)," kata Mohd Amar seperti dilaporkan Mstar Online hari ini.

Bagaimanapun, jenayah dan hukuman terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri.

Mohd Amar berkata alat pemenggal kepala itu lebih cepat berkesan dan hanya memerlukan seorang sahaja untuk menarik tuil, dua orang memegang pesalah dan doktor untuk memastikan orang yang dihukum itu tidak mengalami sebarang kejutan dan hakim menjatuhkan hukuman itu juga perlu hadir.

"Seperti mana-mana pemerhati hak asasi manusia, saya berkempen untuk menamatkan hukuman kejam seperti rotan dan hukuman mati.

"Alasan untuk tidak lagi menggunakan undang-undang yang kejam seperti itu dijelaskan setiap masa," katanya.

"Saya gagal memahami obsesi Nik Amar, beliau boleh membantu negara dengan fokus kepada gangguan umum, bukan deskripsi grafik untuk memotong tangan tetapi mengembalikan isu keadilan," kata Liew.

Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya tidak melihat alat sebagai isu utama hudud.

"Kita mahu melihat bagaimana pelaksanaan undang-undang mengikut perintah agama masing-masing," katanya yang juga naib presiden PKR.

Ketika diminta mengulas lanjut berkenaan penggunaan gilotin itu, beliau bagaimanapun masih tidak mempunyai maklumat lengkap.

"Maklumat lanjut belum saya terima berhubung perkara itu," katanya.

TG Nik Aziz bidas DAP: 'Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas tindakan pemimpin DAP yang mempersoalkan kegagalan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata perkara berkenaan sepatutnya tidak dipersoalkan kerana Abdul Hadi (kiri) mempunyai alasan tersendiri tidak dapat berbuat demikian.

"Dia (Abdul Hadi) tidak datang mesyuarat disebabkan malas atau uzur? dia uzur. Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat.

"Kerja 'orang bodoh' ini (mempersoalkan ketidakhadiran Hadi)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka semalam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Abdul Hadi hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata Abdul Hadi perlu hadir bagi memastikan Pakatan Rakyat, gabungan PKR, DAP serta PAS, berdaya maju dan mendapat keyakinan pengundi.

Guan Eng secara terbuka turut menggesa Abdul Hadi hadir dalam mesyuarat berkenaan selepas beberapa bulan presiden Pas itu gagal berbuat demikian.
-Bernama-