"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Haji Hadi disenarai sebagai pengganas oleh UAE?

HARAKAHDAILY 
KESATUAN Ulama Sedunia dengan ketuanya seorang ulama Mesir yang berpusat di Qatar, Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi, semalam menyatakan rasa terkejut kerana pertubuhan yang dipimpinnya itu dimasukkan dalam senarai pengganas oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE), lapor Islampos.
Sabtu lalu, kerajaan UAE secara rasmi mengeluarkan lebih daripada 82 organisasi termasuk Ikhwan Muslimin Mesir dan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) sebagai kumpulan pengganas, selaras dengan undang-undang persekutuan tentang pembanterasan terorisme. Dan Kesatuan Ulama Sedunia juga termasuk dalam senarai pengganas versi UAE itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Kesatuan Ulama Sedunia mendesak UAE untuk menggugurkan mereka dari senarai pengganas dengan berkata kesimpulan UAE tidak didasarkan pada analisis atau penyiasatan sama ada legal, logik atau rasional.

"Kami mendedahkan kehairanan atas keputusan UAE yang memasukkan kami dalam senarai kumpulan pengganas dan kami menolak penjelasan ini sepenuhnya," kata kenyataan Kesatuan Ulama Sedunia yang ditandatangani oleh Qaradhawi.

Kumpulan-kumpulan lain yang dimasukkan dalam senarai pengganas termasuk Jabhah Nusra, ISIS, gerakan Houthi di Yaman dan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Senarai ini juga merangkumi pelbagai agensi kemanusiaan, bantuan dan persatuan komuniti Muslim yang ada di dunia Arab dan Barat. [Fq/islampos/reuters]

Pemilik bingung nombor plat kereta sama (Gambar)

TELUK INTAN: Entah di mana silap, siapa yang melakukan kesalahan menjadi tanda tanya.

Semua persoalan itu pastinya mengundang kebingungan bukan sahaja kepada pemilik dua kenderaan, malah menjadi perhatian orang ramai yang mempersoalkan kenapa nombor pendaftaran sama boleh didaftarkan untuk dua kenderaan berbeza.

Itu yang yang berlaku kepada seorang ejen insurans yang tertanya-tanya bagaimana nombor pendaftaran AJK8033 yang didaftarkan ke kereta jenis Volkswagen Golf miliknya dikongsi bersama pemilik lain.

Dalam kejadian di Jalan Speedy di sini, Sabtu lalu, dua kereta jenis Volkswagen yang mempunyai nombor pendaftaran sama mengejutkan orang ramai dan mula menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes kini dalam siasatan termasuk mencari punca sebenar persamaan nombor pendaftaran tersebut setelah pengadu (ejen insurans) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Teluk Intan, pada hari yang sama.

Katanya, berdasarkan keterangan pengadu berusia 34 tahun (ejen insurans) terbabit, dia memberitahu menerima maklumat menerusi aplikasi sosial WhatsApp dari rakan-rakannya yang mengatakan terlihat sebuah kereta jenis Volkswagen Golf menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengannya.

Mohd Suhaily berkata, apabila pengadu sampai Jalan Speedy, dia mendapati ada sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran sama namun dimiliki oleh orang lain.

“Pihak polis dihubungi dan bergegas ke tempat kejadian. Pihak kami juga menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang mengaku menggunakan kereta bernombor pendaftaran sama di tempat kejadian dan kereta dirampas,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik asal kereta sebelum dibeli pemilik sedia ada.
Bagaimanapun, pengadu iaitu ejen insurans berkenaan tidak ditahan dan hanya diambil keterangan. 
-sinarharian-

Keluarga Taib Mahmud galak pamer kemewahan, di serata tempat

Hazlan Zakaria
Laman sesawang anti-Tun Abdul Taib Mahmud Sarawak Report mendakwa terdapat bukti salahguna kuasa dan rasuah yang dilakukan bekas ketua menteri yang kini gabenor Sarawak itu. Ini berikutan sikap ahli keluarganya yang tanpa segan silu mempamer kekayaan di majlis eksklusif seperti Tattler Malaysia Ball di Kuala Lumpur tempoh hari.

Di dalam satu rencana yang dimuatnaik, laman sesawang itu menampilkan adik Taib Datuk Raziah Mahmud-Geneid yang melaram dengan berlian permata.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan majalah bagi golongan bangsawan “Tattler Malaysia”. Golongan kaya-raya menjadi bahan ceritanya.
Menurut Sarawak Report, anak perempuan Raziah, Esha Geneid dan sepupunya Yakup turut hadir ke majlis tersebut.

Majlis didakwa meyaksikan mereka menampilkan kekayaan yang tentunya menjolok mata.

Laman sesawang Sarawak Report mendakwa Raziah dan anak perempuannya Elia Geneid mendapat kekayaan hasil tanah yang dirampas dari orang asal Sarawak bagi diusahakan mereka.

Suaminya Robert Gened pula dikatakan turut sama meraih kekayaan hasil bumi negeri tersebut.

Dengan melaram sebegitu, rencana tersebut berkata keluarga Taib tidak langsung malu menunjukkan kekayaan mereka yang datangnya entah dari mana.

Taib sendiri sering kelihatan dengan Rolls Roycenya yang dihiasi permata. Isterinya yang jelita juga sering mempamer intan berlian.

Menurut Sarawak Report lagi, semasa mula menceburi bidang politik, Taib Mahmud tidaklah sekaya mana.

Laman tersebut mengkritik Taib dan berkata, keluarganya mula mengumpul kekayaan setelah Taib diangkat Ketua Menteri di bumi kenyalang itu.

Antara dakwaan salahlaku yang dilemparkan termasuk menuai hasil bumi Sarawak bagi diagihkan sesama mereka.

Perlu diingati, di Malaysia tiada undang-undang yang mampu menghukum pemimpin atas kesalahan rasuah dengan sewajarnya.

Sementara itu, penuntut dan profesor di Universiti British Columbia di Vancouver Kanada juga berminat mengetahui tentang cara Taib melaksanakan tugasnya sambil meraih kekayaan.

Menurut laporan Bruno Manser Fund, Khamis lalu dalam majlis yang dianjurkan Sekolah Kewartawanan UBC, pengarah BMF Lukas Straumann mempersembahkan bukunya “Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia”.

Kata-kata pengenalan dibuat Professor Janette Bulkan, David Rummel dan Mutang Urud, seorang ahli kempen Kelabit dari Sarawak.

Lukas Straumann memberitahu, toko buku terkenal seperti Amazon digesa peguam gabenor Sarawak Mishcon de Reya agar tidak menjual buku tersebut.

Lukas Straumann juga menggalakkan para penuntut agar menyiasat dakwaan di dalam buku tersebut tetapi mereka perlulah bersandarkan fakta. Selain daripada kenyataan yang diraih daripada beberapa saksi, buku tersebut menampilkan rekod awam tentang salahlaku Taib.

Selepas majlis, Straumann bertemu wakil kempen dari Kanada bagi menjalin hubungan lebih erat dengan Bruno Manser Fund. Jelajah tentang wang hasil pembalakan itu akan diteruskan dengan penulis tersebut mengunjungi Berkeley dan Washington DC.