"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Ahmad Awang PAS tegur 'perosak' Pakatan

USTAZ AHMAD AWANG
Saya mengikuti dengan penuh kehairanan dan kebimbangan, perkembangan mutakhir hubungan antara anggota parti-parti Pakatan Rakyat.
Ia kelihatan seolah-olah perbalahan antara ketiga-tiga parti lebih diutamakan pemimpin-pemimpin tertentu berbanding dengan berbalah dengan Umno/BN!

Sedangkan Umno/BN adalah merupakan musuh bersama, yang mana untuk menghadapi mereka, Pakatan dibentuk.

Saya tidak tahu sama ada perbalahan bersama ini ditimbulkan atas sebab adanya agenda tertentu mereka yang berbalah, atau atas sebab mereka menganggap perbalahan adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Pakatan.

Sekiranya mereka berbalah dengan penuh kesedaran bahawa perbalahan ini akan merosakkan Pakatan, maka saya anggap mereka gagal memenuhi tugasan mereka sebagai pemimpin yang bijak dan berhemah.

Sebagai pemimpin tanggungjawab dan kewajipan utama kita, dalam suasana politik semasa, adalah untuk mengukuhkan Pakatan.

Ini adalah kerana usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui Pakatan buat masa ini.

Ini kerana Pakatan adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN.

Kekuatan Pakatan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ia diakui Umno/BN sendiri.

Dan membawa perubahan pemerintahan adalah bukan sekadar harapan dan kehendak tetapi keperluan rakyat yang amat mendesak.

Cengkaman Umno

Saya menyeru semua pimpinan Pakatan untuk menumpukan kepada usaha mengukuhkan Pakatan dan seterusnya menjadi pembela nasib rakyat.

Rakyat sentiasa dilaga-lagakan oleh Umno/BN melalui fahaman perkauman mereka sehingga rakyat sentiasa dihantui oleh ancaman perbalahan kaum dan ketidakamanan.

Pada tahun 1999 apabila majoriti orang Melayu inginkan perubahan, Umno/BN tanamkan ketakutan di kalangan bukan Melayu dan kekal berkuasa melalui sokongan majoriti bukan Melayu.

Pada 2008 dan 2013, apabila bukan Melayu pula inginkan perubahan, Umno/BN pula menakut-nautkan orang Melayu sehingga melalui perasaan ini, mereka sekali lagi mengekalkan kekuasaan.

Ini merupakan bukti bahawa soal kaum hanya merupakan alat dalam percaturan politik Umno/BN.

Kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan membebaskan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, dari minda assobiyyah qaumiyyah (perkauman) yang ditolak Rasulullah SAW.

Inilah sebabnya PAS selama ini hendak menjatuhkan Umno/BN supaya politik orang Islam tidak lagi berasaskan politik Melayu yang memperalatkan Islam, tetapi politik Islam yang membela nasib Melayu dan seluruh kaum di negara kita!

Oleh itu, amat pelik sekiranya ada yang menganggap Pakatan tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam.

Sebaliknya saya beranggapan bahawa demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan umat Islam, maka PAS pihak paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN.

Pada masa yang sama, kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan juga bermakna segala kerosakan yang menimpa negara daripada sudut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial akhirnya dapat dibenteras.

Menjelang GST

Ia tidak dapat diatasi selagi Umno/BN memerintah kerana mereka melaksanakan dasar-dasar yang membawa kerosakan ini.

Maka saya menyeru kepada pimpinan Pakatan, dan pimpinan PAS khususnya, untuk utamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan gabungan itu.

Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mereka akan terus kehilangan berbilion-bilion ringgit melalui dasar kronisme dan rasuah – amalan Umno/BN sehingga ekonomi yang sepatutnya memecut pantas ditimpa bebanan, menyebabkan hanya mampu berjalan terhingguk-hingguk.

Rakyat akan ditimpa sistem perundangan yang semakin mencekik kebebasan dan hak melalui penggunaan sewenang-wenangnya akta hasutan dan akta antikeganasan.

Sambil campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman menjadi semakin ketara hingga Malaysia dijadikan bahan lawak dunia!

Rakyat tidak mahu melihat harapan mereka untuk perubahan ini berkecai dan mereka tidak akan memaafkan kita yang diamanahkan sebagai pemimpin sekiranya tindak tanduk kita menjadi sebab utama Pakatan berpecah atau hilang keyakinan rakyat.

Mereka semakin bosan dengan perbalahan dan percanggahan antara pimpinan parti-parti Pakatan yang seolah-olah tidak lagi mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.

Sebaliknya hanya sanggup mengutamakan perbalahan dan percanggahan demi politik jangka masa pendek.

Ini yang paling menyeronokkan Umno/BN dan tidak hairanlah bagaimana Umno/BN masuk campur dan berperanan untuk melaga-lagakan kita satu sama lain.

PAS sepatutnya menjadi parti yang memahami awlawiyyat atau keutamaan politik dan menzahirkannya kepada rakan-rakan Pakatan.

Adab beza pandangan

PAS sepatutnya menjadi rakan yang pertama mengenepikan perbalahan dan sengketa sampingan demi mengutamakan persoalan yang perlu diutamakan.

Zahirkan kebijaksanaan politik Islam supaya terus membina kekuatan pengaruh dalam Pakatan dan di kalangan rakyat sepertimana dilakukan selama ini sejak tahun 90-an!

Melalui kebijaksanaan mengenali keutamaan ini, PAS berjaya berada di arus perdana politik Malaysia dan tidak lagi berperanan hanya di kawasan Pantai Timur semata-mata.

Pada masa yang sama, saya ingin menyeru pimpinan PAS untuk membina kembali kesatuan dan semangat ukhuwah dan persaudaraan dalam parti itu sendiri.

Tidakkah pimpinan menyedari bagaimana perbalahan dalaman PAS semakin meruncing sehingga menghasilkan suasana berpuak-puak dan saling benci membenci sesama ahli?

Perbalahan dalaman PAS ini akan melemahkan dirinya sendiri dan apabila ini berlaku maka Pakatan akan turut terjejas.

Apabila Pakatan terjejas maka rakyat akan merasai bahawa PAS adalah punca mereka gagal diselamatkan daripada penindasan dan penganiayaan Umno/BN.

Pada masa yang sama kelebihan Islam yang mengutamakan ukhuwah sesama Islam tidak mampu dizahirkan oleh PAS.

PAS seolah-olah menjadi parti yang memperjuang ‘Islam dan syariatnya’ tetapi tanpa adanya akhlak yang mulia di kalangan ahli-ahlinya.

Amalan adabul ikhtilaf (adap berbeza pandangan) serta ‘berlemah-lembut dan kasih sayang’ antara orang-orang yang beriman akan hanya menjadi ungkapan kosong yang tidak mampu dihayati.

Perancangan Yusuf Rawa, Fadhil Noor

‘Islam tanpa akhlak’ sebegini tidak akan mampu memikat hati manusia dan sebaliknya akan menjadi sebagai penghalang kepada manusia lain mengenali kebenaran Islam.

Saya harap pimpinan akan bertindak segera membetulkan suasana ini dan mengembalikan akhlak jemaah Islam sepertimana yang pernah wujud dulu.

Keadaan ini hasil kemasukan budaya asing selepas 2008.

Pengaruh perosak ini perlu dibendung oleh pimpinan PAS supaya PAS boleh terus maju mengikut perancangan yang ditetapkan pimpinan terdahulu, khususnya almarhum Yusuf Rawa dan Datuk Fadhil Mohd Noor.

Matlamat dan wawasan mereka untuk menjadikan PAS sebuah jemaah Islam yang kukuh, bersatu padu dan berperanan di tengah-tengah masyarakat membela seluruh rakyat perlu sentiasa diusahakan.

Hanya dengan itu akan pengaruh PAS bertambah kukuh dan PAS menjadi parti yang dihormati dan disegani.

Kehormatan dan kedudukan mulia di mata masyarakat perlu diusahakan, diperjuangkan bukan dituntut.

Saya dengan ini menyeru pimpinan PAS untuk memenuhi kewajipan mereka terhadap PAS dan masyarakat jelata dengan penuh keikhlasan dan bertanggungjawab.

Saya juga menyeru semua pimpinan Pakatan, terutamanya pimpinan PAS, berusaha bersungguh-sungguh untuk membina kembali kesatuan dan kekuatan Pakatan demi membela keadilan dan kepentingan rakyat.

AHMAD AWANG mantan naib presiden PAS dan mantan presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Maruah saya tercalar - Kazim

Ipoh: Penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim meminta Jabatan Mufti Perlis mengemukakan bukti dan mengharamkan semua jenis medium dakwahnya di negeri itu sekiranya benar dakwaan dia sering meriwayatkan hadis palsu.

Menurutnya, secara peribadi dia merasa malu dan terkilan dengan tuduhan liar dibuat Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tanpa mendengar penjelasannya kerana perbuatan menuduhnya secara terbuka itu menjejaskan maruah serta kredibilitinya sebagai penceramah bebas.

“Sekiranya benar saya ini periwayat hadis palsu, buktikan dan haramkan juga semua buku saya daripada dijual di negeri itu,” katanya mengulas mengenai penyebaran surat rasmi Jabatan Mufti Perlis di Internet yang ditandatangani Mohd Asri selepas tidak bersetuju Mohd Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena hari keputeraan Raja Perlis.

Mohd Asri dalam Facebooknya turut menyatakan keputusan itu dibuat dengan mendakwa penceramah bebas itu sering menggunakan hadis palsu dalam ceramahnya selain turut memuat naik teks ceramah Mohamad Kazim yang didakwa riwayat palsu, namun tidak menghalang penceramah berkenaan berceramah di Perlis.
-hmetro-

Demokrasi jadi alat 'serang' Islam

Mohd Izani Mohd Zain
bhrencana@bh.com.my
Tragedi serangan terhadap WTC beri tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa AS sebagai pencetus siri keganasan atas nama Islam.

Pernahkah kita terfikir bagaimana Islam boleh berkonflik dengan Barat? Islam adalah agama sedangkan Barat adalah blok atau kumpulan negara dan bukannya agama. Begitu juga dalam konteks politik dan pemerintahan, penggunaan istilah Islam dan demokrasi digunakan. Ada yang mempersoalkan bagaimana Islam boleh digandingkan dengan sebuah sistem politik ciptaan manusia yang terdedah dengan kekurangan?

Tidak dinafikan, terma Islam dan Barat atau Islam dan demokrasi sering kali dipilih bagi menggambarkan sebuah hubungan, juga pertembungan antara kedua-dua belah pihak. Ini kerana antara Islam dan Barat atau demokrasi, ia mewakili sejarah, pemikiran, budaya dan nilai yang berbeza. Lebih-lebih lagi demokrasi yang lahir di bumi Barat, telah membawa segala idea kemajuan yang berpaksikan kepada pembangunan dan pemodenan.

Dalam konteks masa kini, demokrasi telah menjadi satu jenama Barat yang semakin diterima baik, malah di beberapa tempat, bersikap tidak demokratik dianggap sebagai satu kesalahan besar, berbanding tidak menjalankan tuntutan agama. Demokrasi disinonimkan dengan hak dan kebebasan, manakala agama pula amanah dan tanggungjawab yang dianggap membebankan. Malah, jika demokrasi sekalipun, ia mesti mengikut acuan dan selera Barat. Bukan demokrasi yang diubah suai, tetapi demokrasi salinan Barat.

Demokrasi acuan kita

Demokrasi sering kali dilihat mempunyai satu bentuk sahaja iaitu yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi Barat. Dalam hal ini, hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat kental dan mempengaruhi dalam konteks pelaksanaannya seperti soal hak asasi manusia dan kebebasan individu. Malaysia tidak terlepas dalam soal ini apabila sering disorot dan dibandingkan pelaksanaan demokrasinya mengikut perspektif Barat.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam SERTA masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Di sinilah letaknya kepentingan demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan al-Quran dan as-sunah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam erti kata lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal dan kebebasan individu hendaklah dilunturkan dan diganti dengan prinsip dan nilai Islam.

Islam perlu memimpin demokrasi agar demokrasi terpimpin ini tidak terpisah dengan agama dan tradisi Islam. Dalam hal ini, Al-Maududi pernah memperkenalkan konsep theo-democracy iaitu demokrasi yang berasaskan agama. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama dalam memandu demokrasi, dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu.

Maududi percaya bahawa demokrasi hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan agama atau 'lingkungan' yang telah ditetapkan oleh Islam.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna umat Islam dihalang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka boleh mencari jalan penyelesaian atau hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak diputuskan secara langsung dalam al-Quran mahupun as-sunah. Malah dalam Islam, perkara yang dikategorikan sebagai siyasi iaitu cara untuk memerintah kerajaan dan menyelesaikan konflik, umat Islam diberikan kebebasan untuk mencari jalan penyelesaiannya dengan syarat ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-sunah.

Berbeza dengan perkara yang dikategorikan sebagai adini iaitu hal yang berkaitan dengan akidah (kepercayaan), ibadah (penyembahan) dan akhlak (tingkah laku), umat Islam mesti menerima apa juga ketetapan yang telah diputuskan dalam al-Quran dan as-sunah. Mereka tidak diberikan kebebasan untuk menentu dan mengubah tentang apa yang telah diputuskan berkaitan tentang ketiga-tiga perkara itu.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan negara, Malaysia wajar mendefinisikan demokrasi mengikut acuan Islam selain mengambil kira tuntutan nilai timur dan budaya tempatan. Pandangan ini sebenarnya pernah dilontarkan oleh John L Esposito dalam buku Islam and Democracy, apabila beliau melihat demokrasi adalah satu sistem politik yang sentiasa berubah, boleh diperdebatkan dan tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.

Malah, beliau menyarankan demokrasi perlu digabungkan dengan nilai dan budaya tempatan termasuk faktor Islam dalam konteks ini. Pendekatan ini pastinya akan menjadikan demokrasi itu lebih 'dekat' dengan aspirasi Islam dan relevan dalam konteks pelaksanaannya di Malaysia.
Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir walaupun melalui proses pemilihan secara demokrasi, dihalang untuk terus memerintah.

Tolak idea kemajuan Barat

Tragedi 11 September 2001 telah memperkukuhkan kedudukan demokrasi selain Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. Hegemoni Barat yang didalangi oleh AS telah dirobek selepas serangan terhadap World Trade Centre (WTC) dan sebahagian bangunan Pentagon. Ketika itu, AS tanpa mengambil masa yang panjang telah melancarkan kempen Perang Global Menangani Keganasan atau 'Global War Against Terror' (GWAT).

Meskipun kempen ini pada awalnya mahu memberi tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa menjadi pencetus kepada siri keganasan atas nama Islam, tetapi kesannya menjalar kepada pergerakan Islam yang mengambil pendekatan sederhana, juga keseluruhan umat Islam. Situasi ini sebenarnya didorong oleh pendirian Barat yang melihat umat Islam adalah kumpulan yang bersifat monolitik atau seragam.

Sikap pukul rata ini memberi gambaran buruk kepada Islam sehingga agama dilihat sebagai satu elemen yang mendorong kepada keganasan. Dasar dan pendekatan beragama dianggap satu langkah berbahaya dan terkebelakang yang akan menolak keadilan dan kebebasan manusia.

Bagi Barat, demokrasi tidak hanya datang membawa pilihan raya, sebaliknya, ia datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama SERTAkemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat.

Justeru, kemenangan parti Islam dalam pilihan raya di beberapa negara dinafikan kerana mereka menggugat nilai demokrasi asal dan selera Barat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebelum itu Parti Refah di Turki, Front Islamique Salvation (FIS) di Algeria dan Hamas di Palestin. Hak mereka untuk memerintah dihalang walaupun telah menggunakan proses demokrasi melalui pilihan raya yang sah.

Faktor demokrasi yang tidak berisiko memperlihatkan kerajaan hanya menerima demokrasi selagi demokrasi itu tidak membawa risiko apa-apa terhadapnya. Sebagai contohnya, kerajaan tidak bersedia menerima kemenangan daripada parti Islam meskipun pada awalnya menerima penyertaan parti itu dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.

Sikap tidak adil ini bukan sahaja tidak demokratik, malah lebih buruk daripada itu, ia mendorong kepada kelahiran kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan raya. Apabila demokrasi disekat, keganasan politik akan berlaku dan inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh Barat, iaitu Islam menganjurkan keganasan.

Pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama

Barat amat konsisten mempromosikan kebebasan atas nama demokrasi. Kini Barat tidak perlu lagi runsing kerana agenda itu dilakukan sendiri oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Sebahagian mereka ditaja melalui dana penyelidikan antarabangsa yang besar dengan tujuan mempromosikan demokrasi, kebebasan dan keadilan yang mutlak dan meminggirkan peranan agama.

Kumpulan intelektual ini sememangnya digemari oleh Barat dan melalui suntikan dana penyelidikan, mereka menjadi jurucakap dan diberi pentas yang besar dalam mempromosikan 'Islam'. Kumpulan ini bukan semua berlatarbelakangkan agama, tetapi dengan kemampuan berbahasa Inggeris, berketrampilan dan sikap toleransi yang melampau, mereka mentafsir Islam menggunakan logik akal tanpa menggunakan sumber tertinggi, iaitu al-Quran dan as-sunah.

Fenomena pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama masa kini memburukkan lagi keadaan. Bagi mereka, sudah tidak ada kebenaran mutlak dalam Islam dan semua boleh disanggah dan diberi penafsiran yang pelbagai. Lebih malang, atas nama meraikan kepelbagaian, umat Islam dikelirukan dengan hujah dan logik akal mereka.

Ini termasuk memperjuangkan hak atas nama kebebasan dan demokrasi. Anehnya, mereka langsung tidak bercakap soal tanggungjawab atau sekurang-kurangnya mencari keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Sebaliknya, mereka melihat menuntut hak itu lebih besar dan mulia daripada memperingatkan soal tanggungjawab.

Sedangkan dalam konteks Islam, kita dilahirkan dalam keadaan berhutang kerana dianugerahkan nyawa dan kehidupan oleh Allah SWT. Kita sepatutnya malu kerana melebihkan soal hak dan melunakkan soal tanggungjawab. Bersuara soal hak tidak salah, tetapi ia mestilah seiring dengan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT yang mempunyai batas dan sempadannya.

Apa yang penting, kita perlu cerdik mendefinisi dan menilai demokrasi mengikut acuan kita, bukan mencedok bulat-bulat dari Barat. Kenapa kita perlu tunduk dengan pendirian Barat sedangkan kita sendiri boleh membuat pilihan? Jika benar demokrasi bercakap soal hak dan kebebasan, kenapa kita tidak boleh menunaikan hak dan kebebasan itu untuk membuat pilihan?

Kebebasan bukanlah kunci utama memahami demokrasi, sebaliknya ilmu dan kebijaksanaan. Keghairahan kita mengejar kebebasan tidak akan membawa ke mana kerana suatu masa nanti, kita akan rebah dan tersungkur. Kebebasan tanpa had dan batas akan merosakkan kita.

Islam bukanlah agama yang mengekang umatnya daripada berfikir dan menyelidik. Jika Islam menghalang, maka tidak lahirlah tradisi ilmu Islam yang kekal sampai sekarang. Islam juga tidak menolak penolak pembaharuan, tetapi agama yang bersifat sejagat dan dinamik yang menjawab persoalan sepanjang hayat. Tugas kita adalah mencungkil kebenarannya dan apa juga kaedah penyelesaian mesti kembali kepada tanggungjawab kita mendaulatkan kesucian dan ketinggian agama.

Barat tidak memerlukan satu lagi tragedi selepas 11 September 2001 untuk melemahkan umat Islam. Ia boleh datang secara proksi dan kejahilan umat Islam sendiri yang melihat Islam itu hanya satu anutan bukan cara hidup yang sempurna.

* Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).