"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harun Salim Bachik rebah dan meninggal dunia ketika ke tandas Di R&R

Sekeping gambar yang memperlihatkan Harun terbaring dilantai tersebar di laman sosial.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik, 55, meninggal dunia selepas rebah ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak arah selatan kira-kira pukul 5 petang, Ahad.

Pelakon Den Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu namun tidak dapat memberi butiran lanjut tentang kejadian mengejut itu.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengarah, Dr Anwardi Jamil, kira-kira jam 5 petang tadi mengenai perkara itu.

"Daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, Harun dan keluarganya dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Mereka kemudiannya singgah di RNR Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia," katanya kepada mStar Online.

Den turut memberitahu jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa ke hospital terlebih dahulu bagi mengetahui punca kematiannya.

"Saya tidak pasti sama ada Allahyarham akan dibawa ke hospital berdekatan atau dibawa ke hospital di Kuala Lumpur," ujarnya.

Sementara itu, pelakon dan rakan baik Harun, Afdlin Shauki ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke rumah Allahyarham.

Bagaimanapun Afdlin tidak dapat mengulas lanjut tentang kejadian tersebut kerana masih belum mendapat maklumat sahih berhubung kematian sahabat baiknya itu.

"Berita tentang kematian Harun benar malah saya sedang dalam perjalanan ke rumahnya.

"Bagaimanapun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana belum mendapat cerita sebenar tentang kejadian," katanya.
-mstar-

اللهم أغفرله و ارحمه و اعفو عنه و أكرمه
اللهم وسع مدخله و ادخله الجنة و غسله بالثلج و الماء والبرد
اللهم يمن كتابه و هون حسابه و لين ترابه و ثبت أقدامه و ألهمه حسن الجواب
اللهم طيب ثراه و اكرم مثواه واجعل الجنة مستقره و مأواه

------------------

Keluarga Terkilan, Minta Henti Sebar Gambar Allahyarham Harun Salim Bachik
Danial (kiri) dan Syafik sifatkan Allahyarham bapa yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik terkilan dengan penyebaran gambar arwah ketika menghembuskan nafas terakhir dan menjelaskan ia tidak seperti diperkatakan di laman-laman sosial pada petang Ahad lalu.

Anak keduanya, Danial Al-Rashid, 29, berkata, arwah meninggal dunia secara tenang dipangkuan salah seorang adiknya selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

"Arwah tidak jatuh seperti yang tersebar di Facebook, dia sesak nafas dan berpaut pada tiang hingga adik saya memapah dan memangkunya pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir.

"Selepas saya dapat berita tentang itu dan lihat sudah tersebar gambar-gambar arwah serta cerita yang salah. Saya harap orang ramai tidak menyebarkan lagi gambar tersebut," ujarnya kepada mStar Online selepas selesai pengebumian jenazah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1.

Dalam pada itu, Danial mengakui, salah satu sebab kesihatan arwah terjejas adalah kerana terlalu kuat bekerja.

Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat lebih parah selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 bersama kumpulan Boboy.

"Antara punca kesihatan dia semakin teruk kerana terlalu kuat bekerja, kami ada paksa dia agar berehat dan dia memberitahu tahun ini akan memperlahankan aktiviti seni.

"Keadaan penyakit asma mula serius lepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 lalu dan selepas itu dia sering mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.

Sementara itu, Danial menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan serius apabila bersama keluarga.

Biarpun tidak meninggalkan sebarang pesanan, Danial berkata, tanggungjawab terhadap keluarga kini perlu dipikulnya bersama adik beradik lain.

"Dia kelakar di televisyen sahaja dan kalau di rumah dia seorang yang serius. Dia tidak meninggalkan apa-apa pesanan kepada kami adik beradik, namun secara automatiknya tanggungjawab itu jatuh kepada kami semua," ujarnya.

Sementara itu anak sulungnya, Syafik Al-Rashid, 30, memberitahu telah meminta pihak hospital tidak melakukan sebarang bedah siasat terhadap arwah kerana mengetahui punca kematian tersebut disebabkan penyakit asma yang kritikal.

Katanya, Allahyarham sudah beberapa kali ke hospital untuk menjalani rawatan bagi mengawal penyakit asma itu.

"Kami berpakat adik-beradik tidak mahu arwah ayah menjalani bedah siasat kerana memang mengetahui arwah ayah menghidap penyakit asma.

"Sebelum ini juga, arwah sudah beberapa kali ke hospital untuk dapatkan rawatan," ujarnya.

Allahyarham Harun Salim Bachik menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, jam 4.20 petang Ahad. Beliau sebelum ini memang diketahui mengidap asma.

Allahyarham dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Pandan Perdana.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Surianti Mohd Nor, enam orang anak dan tiga orang cucu.
-mstar-

Mejar Zaidi Ahmad sekolahkan Menteri Pertahanan?

Tentera seharusnya belajar daripada 9-11, kata bekas tentera udara
MUZLIZA MUSTAFA
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zaidi Ahmad menggesa prosedur operasi standard bagi kerjasama pihak tentera dan syarikat penerbangan komersial bagi mengelak insider MH370 berulang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2015.
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zaidi Ahmad menggesa prosedur operasi standard bagi kerjasama pihak tentera dan syarikat penerbangan komersial bagi mengelak insider MH370 berulang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2015.

Apabila pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang pada 8 Mac tahun lalu, ramai percaya misteri tentang di mana ia berada kini boleh dielakkan sekiranya tentera Malaysia menghantar jet pejuang untuk menyiasat pesawat tidak dikenali radar yang terbang di seluruh bahagian utara Semenanjung.

Ia masih tidak jelas sama ada mana-mana pegawai dipertanggungjawabkan akan hal ini sebagaimana yang dikemukakan kepada menteri diabaikan.

Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zaidi Ahmad berkata, ketiadaan tindakan ketenteraan pada masa itu membuktikan perlunya mengubah dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bagi tentera, dan juga bagi kerjasama tentera-awam.

Ini sepatutnya dilakukan berikut serangan pengganas di New York pada 11 September 2001 tetapi tentera Malaysia mengekalkan sikap "sambil lewa", kata Zaidi, yang berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang lebih daripada 20 tahun.

"Kejadian 9-11 membuktikan apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu bersedia. Selepas 9-11 masih tidak ada SOP antara syarikat penerbangan tentera dan komersial. Kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang berlaku di negara lain dan berhati-hati," Zaidi kepada The Malaysian Insider.

Beliau baru-baru ini dipecat daripada TUDM berikutan laporan penggunaan dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya umum 2013.

Zaidi didapati menyalahi protokol ketenteraan dengan membuat pengaduan awam dan memberitahu media dakwat berkenaan boleh dibersihkan dengan mudah, yang menjejaskan integriti pilihan raya.

Zaidi berkata, kerjasama perlu dilakukan antara syarikat penerbangan tentera dan komersial supaya sebarang ancaman yang melibatkan pesawat boleh ditangani dengan cepat dan lancar.

"Terdapat banyak teori dan spekulasi tentang apa yang berlaku kepada MH370. Ia boleh menjadi apa sahaja, ia boleh menjadi rampasan, tetapi tidak ada SOP yang betul antara tentera dan pengendali pesawat komersial untuk menyelaraskan komunikasi untuk tindakan lebih cepat, "katanya.

Kenyataan beliau mencerminkan kandungan pembentangan baru-baru ini oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tentang kelewatan tentera Malaysia dalam menyampaikan maklumat tentang kapal terbang yang tidak dikenali pada radar menyebabkan masa berharga hilang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi MH370.

Ia adalah kira-kira 20 jam kemudian sebelum pihak berkuasa penerbangan awam dimaklumkan dan seminggu sebelum maklumat itu dikeluarkan secara terbuka, laporan bertajuk "ICAO Brief on the SAR response to MH370".

Ia dibentangkan di Mesyuarat Pasukan Petugas Menyelamat Ketiga Asia/Wilayah Pasifik Wilayah di Maldives pada bulan Januari.

Ia juga menyatakan peningkatan diperlukan mengenai kerjasama antara penerbangan awam dan pihak berkuasa tentera untuk mencari dan menyelamat pelan Asia-Pasifik.
-malaysianinsider-

Asri, Kazim berdamai (Gambar)

Kedua-dua mereka sama muda dan sama popular. Mereka masih bertenaga dan mempunyai penyokong untuk terus bergasak, tetapi itu bukan pilihan.

Malam ini, setelah hampir seminggu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan penceramah popular Mohd Kazim Elias memilih untuk berdamai.

Selepas meletus kontroversi 'hadis roti jala' beberapa hari lalu, kedua-dua mereka malam ini masing-masing memuat naik gambar mesra dalam sebuah acara makan malam di Kangar.
Ia antaranya paparkan mereka duduk semeja, bersalaman dan saling berbalas senyuman dalam majlis yagn dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail.

“Minum dan tersenyum.”

Begitu Dr Asri menyifatkan pertemuannya dengan Kazim yang sebelum ini ditolaknya sebagai penceramah untuk program sempena keputeraan raja Perlis.

“Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar,” tambahnya lagi.

Kazim pula tidak mengulas banyak dan hanya menyifatkan pertemuan di sebuah restoran itu sebagai “santai”.

Program itu turut dihadiri Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asri pada 4 Mac memuat naik kandungan surat rasminya yang menolak Kazim, yang pernah ditawar menganggotai Majlis Tertinggi Umno, ekoran didakwa “terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu”.

Asri juga memuatkan keratan buku Tuhan Sedang Menguji Kita karya Kazim yang menunjukkan ustaz berstatus 'selebriti' itu berkata nabi pernah menjamu "kurma dicelup tepung” dalam kenduri termurah baginda.

Manakala, menurut buku itu, kenduri Rasulullah yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.

Kazim, ustaz berstatus selebriti itu kemudian berkata tindakan Asri tidak adil dan memalukannya.

Jelasnya, beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.
-malaysiakini-

----------------
SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menasihatkan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dan pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias saling memaaf berhubung kemelut dakwaan riwayat palsu Nabi Muhammad saw.


Haron berkata, dua penceramah terkenal itu perlu menyelesaikan permasalahan mereka secara berhemah dan tidak menjadikan media sebagai medan perbalahan mereka.

“Saya juga mengikuti polemik yang berlaku di antara dua tokoh agama ini yang disebarkan kepada awam, Pertama sepatutnya perkara seperti ini tidak disebarkan kepada awam, menyebarkan kepada awam itu akan membuka keaiban itu ditonton oleh awam.

“Orang awam ini selalunya tidak boleh membuat keputusan yang tepat, siapa yang bersalah atau tidak. Maka ramai yang akan keliru nanti apabila pergaduhan antara dua tokoh agama, oleh itu perkara seperti ini sepatutnya tidak tersebar kepada awam,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Asri yang dilaporkan menuduh Mohamad Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Pandangan Asri itu di buat dalam sepucuk surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis yang mahu menjemput Kazim untuk memberi ceramah pada satu forum agama anjuran kerajaan negeri.

Bagaimanapun surat Asri itu dibocorkan oleh pihak yang tidak dikenali dan mengundang kritikan terbuka Kazim terhadap Asri.

Haron yakin perbezaan pendapat di antara Asri dan Kazim boleh di atasi dengan cara yang memanfaatkan ummah.

“Tidak sebesar mana masalah jika dibandingkan dengan kebaikan seseorang insan itu, lebih-lebih lagi dalam kes yang dirujuk itu kalau di antara banyak-banyak yang dilakukan oleh Datuk Ustaz Kazim itu, khidmat dia, ilmu dia, kebolehan dia berinteraksi dengan masyarakat, baiknya terlalu banyak.

“Kalau ada sedikit kelemahannya itu, kita boleh maaf-memaafkan, memberi teguran yang mesra,” katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Haron berkata amat malang komen yang dibuat oleh Asri terhadp Kazim disebarkan umum.

“Tetapi kalau sudah tersebar, maka saya berpandangan selepas ini eloklah kedua-dua tokoh ini berjumpa, bersemuka dan bercakap. Bila timbul tuduh-menuduh adalah amat tidak elok, tidak ada kerjasama untuk mengatasi masalah ini.

“Kerjasama maksudnya kalau kita sudah buat kesilapan itu, kita perlu menerima teguran dan yang menegur pula sepatutnya perlu ikut cara menegur dengan baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Mufti Perlis itu supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kazim manakala kedua-dua mereka dinasihati mengelak memberi sebarang komen kepada media mengenai kemelut itu.

“Jangan guna media, media ini dia menambahkan bebanan kepada orang berkenaan dan juga tekanan kepada masyarakat kerana masyarakat ini sudah memihak, misalnya Ustaz Kazem sudah ada jemaah dia, Datuk Asri pun sama juga ada jemaah dia.

“Jadi jemaah ini akan mempertahankan ketua dia atau pun ulama yang dia sanjung, jadi seolah-olahnya kita sedang melaga-lagakan di antara jemaah dengan jemaah sedangkan Islam mengajak kita bersatu demi kebaikan bersama dan kebaikan ummah,” katanya.

Pejabat Mufti Perlis sebelum ini menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Perlis sebagai respon jemputan kerajaan negeri itu kepada Kazim untuk menjadi panel pada Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-72 dan Ulang Tahun ke- 69 RTM.

Surat itu menyebut pejabat mufti negeri tidak bersetuju dengan jemputan itu kerana ustaz berkenaan sering menggunakan riwayat-riwayat palsu ketika berceramah.

Bagaimanapun Asri semalam menegaskan surat rasmi yang ditandatanganinya tidak seharusnya disebarkan kepada umum kerana ia akan menimbulkan spekulasi mengenai penceramah itu.

Beliau berkata laman sosial Facebooknya milik Mufti akan digunakan sebagai medium untuk mengemukakan kesemua bukti yang mengatakan Kazim sebagai periwayat palsu.