"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya kenyataan Mahathir makan diri

Pandikar Amin dalam satu kenyataan media menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.
pandikar_mahathir_Zainuddin_600PETALING JAYA: Reputasi Tun Dr Mahathir Mohamad akan terjejas sekiranya dakwaan beliau bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan, tidak benar.
Dalam tulisan di entri blognya, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam berkata, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu dalam program Bicara Negara di Ipoh pada Sabtu menimbulkan tanda tanya.

Jelasnya, seorang rakan menelefonnya dan bertanyakan mengapa Pandikar memberitahu mantan Perdana Perdana (peletakan jawatan seperti didakwa Dr Mahathir) dan tidak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Seorang kawan segera menalipon saya dan bertanya mengapa dia memberitahu mantan Perdana Tun Mahathir dan tidak memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib?,” tulis Zam.

Dr Mahathir dalam program itu mendakwa, Pandikar telah umumkan meletak jawatan dan Timbalan Speaker mengambil alih sebagai Pengerusi Dewan Rakyat.

“Speaker sudah berhenti. Dia datang jumpa saya dia kata dia hendak berhenti. Dia tak mahu dah. Sekarang yang jadi pengerusi dewan, dia punya timbalan,” Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Beberapa jam selepas berita itu tersebar, Pandikar Amin dalam satu kenyataan media menafikan dakwaan Dr Mahathir dan menegaskan beliau akan hadir pada sidang Dewan Parlimen pada Isnin ini.
-fmt-

Amuk bersenjata parang: Polis serbu ke dalam rumah selamatkan 5 mangsa

Melaka: Seorang lelaki ditahan polis selepas hampir tujuh jam mengamuk dengan menjadikan ibu, isteri dan tiga anak sebagai tebusan dalam kejadian di Duyong Indah, 2 pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata terdahulu dalam kejadian 7 malam, suspek berusia 30-an bertengkar dengan isteri dan ibu masing-masing berusia 40 dan 60-an.

“Dia kemudian mengamuk. Suspek bersenjatakan parang selepas itu bertindak mengurung ahli keluarganya di dalam rumah.

"Lelaki itu juga bertindak agresif dengan memukul dan menyepak ahli keluarganya malah dia juga berkeras enggan membebaskan mangsa walaupun dipujuk polis," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan pada 2 pagi.

Katanya, tindakan itu bagi menyelamatkan mangsa kerana khuatir suspek akan bertindak lebih ganas terhadap ahli keluarganya.

Menurutnya, kesemua mangsa termasuk anak suspek berusia tiga hingga sembilan tahun berjaya diselamatkan.

"Mangsa tidak cedera. Namun isterinya lebam di beberapa bahagian badan dan kesemua mereka dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
-hmetro-

Apa cerita sebenarnya kes Budak Tahfiz dihalau turun bas ni?

Inilah yang dikatakan ‘rambut sama hitam, tapi hati lain-lain’.

Media online hari ini gempar berikutan tindakan seorang pemandu bas didakwa bersikap kejam meninggalkan anak-anak tahfiz di tepi jalan hanya kerana dia ditegur kerana menayangkan DVD lagu dangdut dalam bas yang dipandunya!

Difahamkan, ketika kejadian sekumpulan anak-anak tahfiz (yang dipercayai juga kumpulan anak yatim) sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Melaka dengan menggunakan khidmat bas tersebut.

Semuanya bermula apabila pemandu bas yang langsung tidak sensitif memasang DVD lagu dangdut hingga menimbulkan rasa kurang senang anak-anak tahfiz berkenaan.

Ekoran itu, salah seorang daripada anak-anak tahfiz meminta DVD lagu dangdut itu dihentikan.

Akibat berang dengan permintaaan tersebut, pemandu beragama Islam berkenaan bertindak menghentikan bas yang dibawanya dan kemudian menghalau semua anak-anak tahfiz berkenaan turun dari bas.

Berikutan itu, seorang netizen yang dikenali sebagai Durratun Nurin mendedahkan peristiwa tersebut dalam laman Facebooknya.

“Sedih bila orang Islam sendiri buat anak-anak yatim dan fakir macam ni. Kau jangan lupa, doa anak-anak yatim yang dianiaya ini mudah makbul.



“Dah call banyak kali tapi tak angkat. Sewa bas bukan murah. Ikutkan hati nak je doa biar driver tu accident mati masuk gaung,” tulisnya.

tep 2 (1)
Tambah Durratun, mereka bagaimanapun bernasib baik apabila sebuah lori sudi untuk menumpangkan anak-anak tahfiz berkenaan.

Perkara ini turut dilaporkan kepada pihak polis dan kes sedang disiasat.

Bagi mendapatkan kepastian, Mynewshub telah menghubungi pemilik syarikat bas berkenaan.

Pihak syarikat ketika itu enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan dan hanya memberitahu mereka sedang bermesyuarat dengan pihak polis serta meminta kami menghubungi semula selepas satu jam.

Bagaimanpun, syarikat berkenaan tidak lagi menjawab telefon pihak Mynewshub yang menghubungi mereka beberapa kali selepas satu jam. – MYNEWSHUB.CC

-------------
Pemilik syarikat bas lapor polis

ALOR SETAR: Pemilik syarikat bas persiaran tampil membuat laporan polis susulan penyebaran viral pelajar tahfiz dan anak yatim dari sebuah pusat tahfiz di Jitra ditinggalkan di tepi jalan sewaktu mengikuti rombongan ke Melaka, petang kelmarin.

Berdasarkan maklumat viral terbabit, pemandu bas dikatakan menghalau semua pelajar tahfiz setelah diminta mematikan lagu dangdut yang dipasang semasa perjalanan.

Susulan itu, laman rasmi syarikat bas itu dihujani dengan pelbagai luahan kesal terhadap tindakan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, pengadu membuat laporan setelah terbaca dalam laman Facebook sekitar jam 2.02 petang, semalam yang mengatakan bas milik syarikatnya terlibat dalam kes meninggalkan penumpang yang terdiri dari sekumpulan pelajar dan kakitangan pusat tahfiz itu.

“Berdasarkan laporan yang dibuat pengadu bagi menafikan insiden itu memberitahu bahawa kejadian berlaku di Melaka. Berlaku perselisihan faham antara guru merangkap ketua rombongan dengan pemandu bas.

“Disebabkan itu guru terbabit mengarahkan pemandu menurunkan dia dan pelajarnya di Perhentian Bas Melaka Sentral. Kes terbabit akan dirujuk ke mahkamah sivil,” katanya.

Sementara itu, menurut kenalan terdekat pemilik syarikat bas berkenaan, pihak syarikat enggan mengeluarkan kenyataan kerana kes itu sudah diserahkan kepada peguam namun, apabila mendapat arahan dari peguam, baru mereka sedia untuk menghebahkan kepada media.

Menurutnya, rakannya itu meminta maaf tidak boleh memberi kenyataan kerana berada dalam tekanan dan kes masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, melalui tinjauan di laman rasmi pusat tahfiz itu mereka juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi kejadian sebenarnya di Melaka dalam laman berkenaan.

Menurut kenyataan awal, mereka perlukan ketenangan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada unsur fitnah.
-sinarharian-