"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib, bergembiralah sebelum masuk penjara

Amin Iskandar
Semenjak 9 Mei 2018, hidup Najib Razak tidak lagi seindah seperti semasa sembilan tahun menjadi perdana menteri Malaysia.

BN pimpinannya buat kali pertama dalam sejarah kalah dalam pilihan raya umum.

Dunia memerhatikan segala skandal yang ditutupnya ketika berkuasa terbongkar. Rumahnya digeledah polis. Ratusan juta ringgit ditemui dan pelbagai barang kemas miliknya dan isteri dirampas polis.

Semua ini tidak pernah disangka Najib akan berlaku kepada dirinya. Maklumlah, Najib lahir daripada keluarga bangsawan.

Ayahnya, Abdul Razak Hussein merupakan perdana menteri kedua selain orang kuat Istana Pahang.

Selepas hilang kuasa, setiap hari media melaporkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib yang ditutup ketika beliau berkuasa.

Media arus perdana yang sebelum ini dikawal BN merasa bebas sebebas-bebasnya.

Semuanya sudah boleh dilaporkan berbanding ketika zaman Najib menjadi perdana menteri.

Ketika Najib menjadi perdana menteri, wartawan dimasukkan ke dalam lokap. Portal atas talian disekat dan ditutup. Permit akhbar digantung.

Hari ini di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Najib bernasib baik kerana media tidak lagi dikawal kerajaan.

Maka Najib masih lagi mendapat liputan. Disebabkan itu Najib memperkuatkan pasukan media sosialnya.

Tentera upahan

Sebaik sahaja selepas kalah PRU14, akaun bank Najib dibekukan. Maka Najib tidak dapat bergerak. Akaun banknya disiasat sama ada berkait dengan 1MDB atau tidak.

Akan tetapi pada Julai, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad tidak lagi membekukannya selepas mendapati ia tidak berkaitan dengan 1MDB.

Sebaik sahaja akaunnya tidak dibekukan, maka Najib pun menyusun pasukan sibernya.

Salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno ditugaskan untuk menggepalainya.

Jutaan ringgit dihabiskan untuk menguatkan pasukan sibernya yang terdiri daripada antaranya wartawan-wartawan yang bertugas dengan pelbagai agensi media.

Malahan ada wartawan daripada portal media yang kerjanya hanya menulis berita Najib dan mengikut segala aktiviti bekas perdana menteri itu.

Maka tidak hairanlah dalam satu hari, akaun Facebook Najib akan mempunyai empat lima posting menghentam kerajaan PH.

Semuanya akan mendapat liputan media kerana kerajaan hari ini tidak mempunyai dasar untuk mengawal media.

Ini semua menjadi hiburan baru kepada Najib. Pada masa sama, pasukan peguamnya terus menerus cuba untuk menangguhkan perbicaraan rasuah dihadapinya.

Disebabkan itu kerajaan pimpinan Dr Mahathir bakal menubuhkan mahkamah khas untuk menguruskan kes-kes berkaitan dengan rasuah.

Perdana menteri berkata penubuhan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan mahkamah biasa.

“Ini cadangan baharu kerana kita perlu menentukan kes-kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus yang tertumpu semata-mata kepada kes rasuah.

“Ia memerlukan undang-undang kerana ia akan mengubah ciri-ciri asas mahkamah, jadi perlu ada kesungguhan untuk melawan rasuah.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini dan akan diwujudkan secepat yang mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) baru-baru ini.

Selagi bebas, bergembiralah Najib dengan pasukan media sosialnya. Lambat laun beliau akan ke penjara juga.

AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.

Usahlah laga-lagakan lagi

PRK RANTAU | Perbezaan pendapat dalam PKR ketika ini hanyalah isu kecil dan tidak akan menggugat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Benda kecil, kita tumpu pada pilihan raya, perbezaan pendapat kecil boleh, diizinkan... beza pendapat sikit ok tetapi sekarang perlu tumpu PRK Rantau dan ekonomi, saya konsisten bab ini.

“Semua pun sudah setuju datang berkempen, usahlah laga-lagakan lagi, yang penting adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat, pastikan ekonomi berkembang dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya selepas program Pertemuan Bersama Jentera PRK DUN Rantau di Rembau, semalam.

Pada 22 Mac, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan peletakan jawatannya itu dibuat susulan ketidaksefahaman Pakatan Harapan mengenai pemilihan kepimpinan PAC.

Terdahulu Anwar dalam ucapannya berkata penyakit ‘over confident’, sombong, rasa sudah kuat dan tidak perlu banyak bekerja apabila sudah berjawatan hanya akan menyebabkan sesebuah parti ‘terlungkup’.

PRK DUN Rantau 13 April ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.
-Bernama

Anggota polis diberkas susulan penemuan mayat di belakang rumah

tanam mayat belakang rumah
Polis menemui timbunan tanah merah di belakang rumah suspek.

BATU PAHAT - Seorang anggota polis ditahan selepas mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di belakang rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, penemuan pada pukul 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 18 Mac lepas.

Laporan polis berhubung kehilangan Zulkifli Musa itu dibuat oleh isterinya setelah lelaki tersebut tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Tambak di sini selepas keluar pada pukul 9 malam, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azhan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi dan membuat pemeriksaan di rumah suspek sebelum menemukan timbunan tanah merah di belakang rumah tersebut.

"Pemeriksaan lanjut menemukan mayat dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang, ditanam di situ," katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis metamfetamina dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-Bernama