"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelantikan Latheefa ketuai SPRM muktamad, tiada ‘u-turn’ - PM

ALOR SETAR: Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru adalah keputusan muktamad, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata, lantikan itu dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.

“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik. Ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai. itu saja.

“(Keputusan melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya u-turn,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Mahathir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Khamis lepas yang berpendapat perdana menteri perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa.

Selain itu Mahathir juga ditanya sama ada keputusan pelantikan berkenaan itu muktamad ataupun tidak.

Mahathir berkata hubungannya dengan Anwar masih baik dan tiada masalah, malah perdana menteri menganggap presiden PKR itu berhak mendapatkan penjelasan mengenai pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM yang baru itu.

“Dia berhak nak tanya, saya berhak beri jawab,” katanya.

'Bangsawan, pemimpin sombong macam iblis akan dilaknat' - Mufti Perlis

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberikan nasihat supaya bermuhasabah diri mengenai sikap sombong yang menyebabkan iblis menerima kutukan tuhan.

Menurut Dr Asri sekiranya sifat sombong wujud dalam diri seseorang itu tanpa mengira orang biasa, bangsawan atau pemimpin, maka mereka juga bakal menerima nasib yang sama seperti iblis.

"Iblis itu sombong kerana merasakan taraf dirinya jauh lebih tinggi dibandingkan pihak lain. Itu sifat iblis yang berbangga dengan keturunan dan memandang rendah kepada keturunan orang lain.

"Sifat iblis itu jika ada dalam diri mana-mana individu biasa, bangsawan atau pemimpin maka dia akan menerima nasib seperti iblis iaitu dilaknat sepanjang masa.

"Jika ada sifat iblis dalam diri mana-mana individu biasa, bangsawan atau pemimpin maka dia akan menerima nasib seperti iblis," kata beliau pada hantaran di Facebook malam ini.

Bagaimanapun, kenyataan mufti Perlis dibuat secara umum tanpa merujuk kepada kenyataan atau pihak tertentu.

Menjelaskan lanjut, Asri berkata orang Melayu terkenal dengan sifat merendah diri dan kesombongan merupakan pakaian iblis serta firaun.

"Orang Melayu itu terkenal dengan merendah diri, apatah lagi seorang muslim. Kesombongan boleh membawa kepada kekufuran. Kesombongan itu pakaian iblis dan firaun.

"Justeru, firaun dan segala kesombongannya berakhir dengan kelemasan di lautan. Demikianlah firaun-firaun kecil akan berakhir dengan tragis," jelas beliau lagi.

'Kartel dedak' bertanding naib presiden PAS?

Kurang dari 20 hari sebelum muktamar ke-65 PAS, tanda tanya mengenai percaturan kumpulan "kartel dedak" dalam parti itu masih menarik perhatian - dan saspens.

Beberapa hari lalu tokoh utama yang membuat pendedahan mengenai "kartel" tersebut sekali lagi memberikan bayangan - dan 'nasihat'.

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad menyatakan barisan kepemimpinan tertinggi parti itu ketika ini dianggap terbaik kerana mempunyai keseimbangan yang kukuh.

Katanya PAS sekarang memiliki pemimpin atasan yang hebat.

"Presiden dan timbalan presiden memiliki ilmu agama. Gabungan naib presiden (pula) pelbagai dan mantap, berintegriti tinggi dan seimbang," katanya.

Beliau selanjutnya meneruskan catatan dengan harapan agar pihak yang terbabit dalam "kartel dedak" tidak mengganggu gabungan berkenaan.

"Semoga Mr Hussam II tidak meneruskan usaha dan cita-citanya kerana ia boleh merosakkan keseimbangan ini," kata Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Nafi kemudian akui

Untuk rekod semasa mendedahkan kewujudan kumpulan yang dianggapnya bertanggungjawab menerima wang daripada Umno atau wakil parti itu, Zaharudin menyebut beberapa nama - meskipun tidak secara jelas.

Melalui hantaran di media sosial Zaharudin menamakan dalang di sebalik kartel dedak itu sebagai Dr Hussam II, Mr NT, Mr KT, Mr KH dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

Menariknya, Zaharudin - dalam nada menyindir - menjelaskan individu yang "semua dah tahu" itu sebagai "tak tahu banyak pun" dan hanya terlalu mengikut kawan-kawan.

Ia dipercayai merujuk kepada Anggota Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang sebelum ini menafikan - dan akhirnya mengakui - audio rakaman mengenai pengakuan penerimaan "wang Umno" itu adalah dirinya.

Nik Abduh adalah anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan pada 2017 dan disebut-sebut bakal bertanding bagi merebut jawatan naib presiden pada kali ini.

Muktamat PAS akan diadakan mulai 21 Jun ini di Indera Mahkota, Pahang.

Kenyataan berkias Zaharudin itu mendorong sesetengah pihak menganggap Dr Hussam II ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsudi Mokhtar.

Bagaimanapun Zaharudin mengesahkan kemudian bahawa Dr Hussam II itu bukanlah Ahmad Samsuri.

Tolak semua pencalonan

Dengan penafian itu, tanda tanya masih berlegar dalam kalangan anggota PAS mengenai identiti sebenar Dr Hussam II yang dimaksudkan Zaharudin.

Selain Nik Abduh, Ahmad Samsuri didakwa seorang lagi muka baru yang akan ditonjolkan sebagai pemimpin pelapis PAS pada kali ini.

Pagi ini salah seorang naib presiden PAS mendakwa ada usaha memecah-belahkan parti itu oleh media tertentu.

Dalam kenyataan yang dihantar ke media, Iskandar A Samad berkata, PAS cuba digambarkan sedang berpuak-puak.

“Seolah-olah mereka fanatik menyokong pemimpin tertentu dan menolak pemimpin tertentu,” katanya.

Baca Zaharudin: Kalau ada cuba simpan bawah karpet, saya lawan

Menurut bekas exco kanan Selangor semasa PAS menyertai kerajaan negeri itu pencalonan seseorang untuk jawatan dalam parti itu bukan perlumbaan mengejar jawatan, sebaliknya mahu membuat kebajikan.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Zaharudin mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana jawatan pada pemilihan kali ini.

Katanya beliau mendapat pencalonan daripada PAS kawasan bagi mengisi beberapa "jawatan tertinggi parti".

"Atas beberapa sebab dan menjaga integriti perjuangan yang saya sedang perjuangkan sekarang, saya meminta maaf kerana terpaksa menarik diri daripada semua pencalonan untuk penggal ini," katanya.