"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang kepercayaan Azmin bertemu Gerakan bincang jalan keluar?

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA:
Desas-desus Mohamed Azmin Ali akan menyertai Gerakan dilihat berasas, selepas timbulnya maklumat mengenai pertemuan antara seorang pemimpin PKR dan pimpinan Gerakan bulan lepas, beberapa hari selepas pengakuan mengejutkan berkaitan video seks sejenis yang menyasarkan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Berdasarkan perbualan dengan seorang sumber yang dekat dengan pimpinan PKR, FMT kini boleh mengesahkan pemimpin itu, seorang veteran parti yang aktif sejak zaman reformasi, mengadakan perbincangan dengan pimpinan Gerakan mengenai kemungkinan menyertai bekas parti Barisan Nasional itu.

“Perbincangan ini sudah berlangsung selama sebulan,” kata sumber itu.

“Ia rancangan untuk melarikan diri. Mereka menjangkakan keadaan akan bertambah buruk.”

Sumber itu merujuk kepada pertelagahan antara Azmin dan Presiden Anwar Ibrahim selepas beliau mencadangkan timbalannya itu melepaskan jawatan menteri jika terbukti benar dia dalam video seks sejenis yang tular pada awal bulan lepas.

Utusan Malaysia minggu ini melaporkan Azmin mungkin akan meyertai Gerakan, salah satu parti BN yang meninggalkan bekas gabungan pemerintah itu selepas kekalahan bersejarah tahun lepas.

Sumber mengesahkan laporan itu, mengatakan Gerakan tempat yang sesuai untuk Azmin dan rakan-rakan mendarat “jika mereka terpaksa terjun ke tempat yang lebih selamat”.

“Lagipun, perlembagaan Gerakan dari segi keahlian seperti PRK: Ia berbilang kaum dan menyeru layanan yang adil,” katanya kepada FMT.


Ditanya sama ada PPBM dipertimbangkan dalam rancangan keluar itu, sumber berkata parti Melayu itu sebenarnya tidak banyak berbeza dengan PKR dalam hal pertelagahan dalaman.

“Sebaliknya, hakikat bahawa Gerakan tidak menang satu kerusi pun bermakna ia masih tanah yang subur untuk ahli-ahli politik,” tambahnya.

Beliau menambah perbincangan dengan Gerakan itu berkisar tentang bagaimana penyertaan “sekurang-kurangnya 12 ahli Parlimen” dari PKR akan memberi manfaat kepada parti itu.

Gerakan di zaman kegemilangan selepas ditubuhkan pada 1968 pernah memerintah Pulau Pinang dan mendapat sokongan kuat di Perak.

Ia gagal mencipta kejayaan selepas terlepas Pulau Pinang kepada DAP pada 2008, dan pada pilihan raya lepas, gagal memenangi 1 kerusi pun.

Tiada sebab Azmin nak angkat kaki keluar PKR - Shamsul

"Mohamed Azmin Ali tidak akan beralih arah keluar daripada PKR dan akan terus bersama PKR”.

Itu kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas mengenai ura-ura kononnya timbalan presidennya itu akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

“Saya tidak fikir Mohamed Azmin akan bertindak sedemikian kerana berdasarkan pengalaman lama beliau sebagai ahli politik yang bermula sejak zaman Reformasi 1998, tidak mungkin beliau akan mengambil sikap beralih arah daripada parti PKR yang kita asaskan bersama-sama.

"Ketika itu saya memegang jawatan pemuda dan Mohamed Azmin memegang jawatan di peringkat negeri Selangor. Sekali lagi saya yakin tiada sebab untuk beliau angkat kaki daripada PKR," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari dan Dialog Pengamal Media Bersama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Anwar hari ini bagaimanapun dipetik sebagai berkata tidak tahu-menahu mengenai ura-ura berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan bekas menteri besar Selangor itu dalam masa terdekat ini, Shamsul Iskandar yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya berkata setakat ini tiada, ekoran komitmen tinggi masing-masing dalam kerajaan.

Shamsul Iskandar yang juga timbalan menteri industri utama dalam pada itu menegaskan bahawa semua kepimpinan parti di negeri ini berdiri teguh di belakang Anwar untuk memimpin PKR tanpa sebarang keraguan.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan 21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah yang diketuai naib pengerusinya Khairuddin Ibrahim yang semalam mengumumkan keluar parti, Shamsul Iskandar berkata beliau berharap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Melaka, Halim Bachik dapat mengendalikan masalah itu.

"Saya percaya masalah itu boleh dibawa ke meja rundingan. Tentulah saya kesal dengan pendirian dan keputusan mereka meninggalkan parti.

“Kepemimpinan negeri harus melihat aduan dan hal dibangkitkan selaras dengan sesi pemukiman PKR di Port Dickson (Negeri Sembilan) baru-baru ini, iaitu penyatuan di semua peringkat kepimpinan bagi membolehkan parti bergerak ke depan," katanya.
-Bernama

Polis beritahu rakaman CCTV hotel Sandakan dipadam, kata Farhash

FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini mempertahankan dakwaannya wujud konspirasi atas penahanannya berhubung video seks sejenis yang menyasarkan Azmin Ali kerana penyiasat memberitahunya rakaman CCTV di luar bilik sebuah hotel di Sabah yang didakwa berlaku skandal itu sudah dipadamkan.

Setiausaha politik Anwar Ibrahim itu berkata, ketika direman polis selama 8 hari, beliau ditanya satu siri soalan yang “tiada kaitan dengan video atau penyebaran sebarang bahan haram”.

“Saya di bawah tanggapan yang perintah reman saya untuk membantu siasatan berdasarkan fakta, bukannya mengesahkan beberapa teori konspirasi lemah,” katanya dalam satu kenyataan sehari selepas dibebaskan polis.

“Apabila saya tanya mereka mengenai rakaman CCTV di (Hotel) Four Points, yang akan jelas menunjukkan sama ada 2 individu didakwa memasuki bilik sama, polis kata rakaman itu sudah dipadamkan,” katanya merujuk hotel dinamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mendakwa dirinya dan Azmi mengadakan hubungan seks sejenis itu pada 11 Mei lalu.

FMT cuba menghubungi Hotel Four Points untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu.

Awal bulan ini, satu klip video dikatakan rakaman CCTV dari Hotel Four Points dimuat naik ke YouTube menunjukkan individu menyerupai Azmin, Haziq dan juga Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham melalui kawasan yang kelihatan seperti koridor sebuah hotel.

Ketika itu, Hotel Four Points memberitahu ia tahu mengenai video itu.

Tangkap layar satu rakaman CCTV dikatakan dari Hotel Four Points di Sandakan menunjukkan seorang lelaki menyerupai Haziq Aziz keluar dari lif.
Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Haziq dengan berkata, ia adalah konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Hari ini, Farhash mengulangi dakwaannya mengenai “konspirasi” dengan berkata, penyiasat mengikut “satu set arahan jelas daripada seseorang di atas”.

“Sesetengah perkara yang ditanya sama ada saya tahu mengenai satu gajet hilang (dikatakan digunakan untuk merakamkan video seks itu), nama tempat kebanyakan rakyat Malaysia pernah dengar atau kunjungi, masa dan tarikh kedudukan saya secara rambang, tetapi dirasakan seperti membuang masa kerana mereka tidak perlu 4 hari untuk tanya semua ini.

“Ada hari di mana saya hanya dipanggil untuk berborak dan menghabiskan masa bersama mereka.”

Katanya, beliau diyakinkan penahanannya untuk menimbulkan persepsi umum negatif terhadap Anwar dan beliau dianggap “penampan” yang sesuai.

“Saya marah dengan Azmin dan selepas dibebaskan, saya menyerangnya secara lisan kerana jika kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati undang-undang, kenapa beliau berselindung di sebalik selubung keistimewaan?” soalnya.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha hari ini dilaporkan menggesa tindakan disiplin diambil terhadap Farhash kerana menggunakan label homoseksual terhadap Azmin ketika berucap di depan penyokongnya selepas dibebaskan semalam.

“Itu tuduhan secara terbuka di hadapan khalayak ramai dan media terhadap pemimpin nombor 2 parti. Perbuatan itu patut diambil tindakan disiplin.

“Pemimpin seperti Farhash yang mengetuai sebuah negeri wajar menunjukkan kematangan dan bukannya melepaskan perasaan dan emosi apabila berdepan dengan tekanan,” kata Haniza kepada FMT.

Farhash melaungkan “Anwar untuk PM” dan “Azmin semburit” ketika mengakhiri ucapannya di depan sekumpulan penyokong di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.