"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada asas Zakir Naik tidak dapat perbicaraan adil, kata ketua badan minoriti kerajaan India

Abdar Rahman Koya

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi, berkata kerajaan BJP bawah Modi memburu pengkritiknya termasuk Zakir Naik.
PETALING JAYA: Pengerusi sebuah suruhanjaya kerajaan mewakili kumpulan minoriti India berkata walaupun beliau bersetuju ucapan Dr Zakir Naik boleh menyinggung penganut Hindu malah mempersoalkan kewajaran kaedah dakwahnya, kebimbangan pendakwah itu terhadap perbicaraan tidak adil di bawah kerajaan Narendra Modi adalah berasas.

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi yang ditubuhkan kerajaan persekutuan India bagi melindungi hak orang bukan Hindu di wilayah Delhi, juga percaya dakwaan pengubahan wang haram terhadap Naik merupakan sebahagian daripada kempen didalangi kumpulan pelampau Hindu untuk mengunci mulut penceramah itu.

“Kumpulan-kumpulan Hindutva meraih kuasa tidak terkekang sejak Modi memerintah pada Mei 2014. Mereka menyalahgunakan kuasa itu terhadap pihak lawan, sama ada betul-betul wujud atau rekaan semata-mata,” kata Khan, yang merupakan anak salah seorang sarjana Islam terulung di India, merujuk kumpulan haluan kanan Hindu.

Bapa beliau adalah Wahiduddin Khan, yang mengamalkan falsafah penentangan tanpa keganasan ala Mahatma Gandhi dan juga dianugerakan Padma Bhushan, pingat kebangsaan ketiga tertinggi India untuk orang awam.

Wahiduddin pernah mengkritik kaedah dakwah Naik, iaitu pandangan yang turut dikongsi Khan.

Bagaimanapun, Khan berkata penceramah itu tidak boleh dituduh mencaci kepercayaan lain terutamanya agama Hindu, seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Naik mungkin adakalanya kasar dan menyakitkan hati tetapi dia tidak mencaci agama-agama lain,” kata Khan.

“Dia patut lebih berhati-hati. Dia pernah mengadakan persidangan terbuka di padang dan stadium dengan disiarkan di televisyen, di mana pemimpin Hindu diundang dan pandangan mereka ‘dimalukan’. Mereka lebih tersinggung apabila di akhir ceramahnya, ada orang Hindu yang bangun untuk mengisytiharkan masuk Islam.

“Ini menyinggung perasaan orang Hindu,” tambahnya.

Polis Malaysia sedang menyiasat Zakir Naik atas tuduhan menghasut sentimen perkauman.
Naik disiasat pihak berkuasa Malaysia susulan ucapan-ucapan yang mengkritik masyarakat bukan Islam di sini. Beliau dilapor menggambarkan rakyat berketurunan Cina sebagai “tetamu” ketika menjawab desakan supaya beliau diserahkan kepada pihak berkuasa India.

Naik nafi meniupkan sentimen perkauman, mengatakan dia sebenarnya mangsa kempen memburuk-burukkannya oleh penyokong Modi.

Beliau sebelum ini berkata tidak akan pulang ke India kerana percaya kerajaan BJP tidak boleh menjaminnya perbicaraan adil bagi tuduhan pengubahan wang haram.

Khan mendapati Naik terlalu lurus dalam mempercayai kebebasan di India, malah “benar-benar percaya pada jaminan-jaminan kebebasan bersuara serta kebebasan untuk mengamalkan dan menyebarkan sebarang kepercayaan yang termaktub dalam perlembagaan”.

“Hakikatnya, hak-hak itu hanyalah atas kertas. Sebarang penukaran agama daripada Hindu kepada agama lain dianggap sebagai ancaman terhadap penganut Hindu dan negara,” tambahnya.

Beliau berkata ini diburukkan lagi oleh dwistandard pemerintah sekarang yang menuduh orang-orang tertentu mengancam keharmonian masyarakat.

“Selain itu, sudah banyak kali militan Hindu bertindak sesuka hati untuk menguatkuasakan dasar Hindutva, yang diakui RSS secara pura-pura dan disokong oleh sayap politiknya BJP yang sekarang memerintah India. Kerajaan sengaja mengabaikan hal itu,” katanya.

RSS yang dirujuk Khan ialah Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), pertubuhan haluan hanan yang ada kaitan dengan parti BJP dan dipertanggungjawabkan atas beberapa rusuhan agama.

Bagi Khan, Naik tidak boleh dianggap sebahagian daripada sarjana Islam di India.

“Dia berpengaruh dan ada pengikut yang ramai kerana debat-debat televisyen dan penampilan dalam Peace TV, tetapi dia bukanlah seorang sarjana,” katanya.

Beliau berkata Naik cuba mengikut pendekatan pendakwah Afrika Selatan, Ahmad Deedat, yang terkenal dengan perdebatannya bersama agamawan Kristian pada awal 1980-an.

Walaupun Khan tidak berpuas hati dengan pendekatan Naik menyebarkan Islam, beliau percaya penceramah itu tidak akan dapat keadilan dalam “keadaan-keadaan sekarang dengan adanya pemburuan terhadap pihak lawan dan kempen rasmi menanam perasaan benci”.

“Ia benar berlaku. Badan kehakiman India agak terjejas bawah kerajaan yang memaksakan keputusannya,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks Naik, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad betul dalam kritikannya terhadap badan kehakiman India.

“Saya fikir apa yang dilakukan Malaysia adalah betul. Naik tidak akan dapat keadilan di bawah sistem India sekarang.”

Ketua cawangan isytihar tinggalkan Pas sertai AMANAH

NASUHA RAHMAN
Ketua Pas Cawangan Kampung Lundang Ustaz Mat Wan Yusoff menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah.
Tiga orang Ketua Pas Cawangan telah bersetuju mengisytihar diri mereka untuk meninggalkan Pas di atas alasan tidak boleh menerima kerjasama politik Pas-Umno .

Mereka termasuklah Ustaz Mat Wan Yusoff, Ustaz Hassan Deraman dan Ab Hamid Omar.

Ketua PAS Cawangan Kampung Lundang Ustaz Mat Wan Yusoff yang bersama parti islam sejak 20 tahun lalu menyertai AMANAH sekali gus bersama-sama menubuhkan AMANAH Cawangan Kampung Lundang Kota Bharu pada satu majlis yang berlangsung pada Hari Raya Qurban, 11 Ogos lalu.

Beliau menyatakan tidak dapat menerima kerjasama politik Pas dengan Umno seperti yang sedang berlaku sekarang.

Beliau juga gembira apabila Datuk Husam Musa dipilih sebagai Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu sesi 2019 2022 pd Mesyuarat Tahunan 3 Ogos lalu.

Ustaz Mat turut menyerahkan 30 keping borang permohonan menjadi ahli AMANAH sebagai tambahan kepada 80 permohonan yang dikemukakan pada Hari Raya Puasa yang lalu.

Borang-borang keahlian diserahkan Pengerusi AMANAH Kelantan Cikgu Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama adalah peguam Yusoff Yaakob selaku Setiausaha AMANAH Kawasasan dan Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Hamzi Che Mood.

Umno dan Pas memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan diadakan pada 14 September depan.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta PAS dari seluruh negara.

Mufti Perlis ajak rakyat tandatangan petisyen haramkan Dong Zong

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Beliau menyuarakan gesaan itu ketika memaklumkan tentang kunjungan exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail yang mahu mendapatkan nasihatnya berhubung pengharaman Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina itu.

“Menerima kunjungan exco Armada Pusat Parti Bersatu saudara Muzammil. Beliau datang berbincang dan bertanya pendapat dalam usaha mereka mendesak pengharaman Dong Zong.

“Saya menyokong usaha itu sepenuhnya. Saya mengajak semua Malaysia menandatangani petisyen sokongan pengharaman pertubuhan rasis Dong Zong,” katanya di Facebook malam ini.

Pemuda Bersatu melancarkan petisyen atas talian bagi pengharaman tersebut empat hari lalu kerana menganggap Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

Dong Zong dilihat antara pihak yang paling lantang membantah rencana kerajaan untuk pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 yang sepatutnya dimulakan tahun depan.

Setelah siri bangkangan dan perubahan pendirian kementerian pendidikan, akhirnya mesyuarat kabinet memutuskan pengajaran tulisan Jawi itu tertakluk kepada persetujuan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa dan murid untuk sekolah vernakular.

Sementara bagi sekolah kebangsaan, pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 akan dilaksanakan seperti rancangan asal.