"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KDN kesan al-Quran dicetak wajah artis

BERNAMA

ALOR SETAR - Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan senaskah al-Quran dengan cetakan wajah artis pada kulit muka hadapan yang dilihat mencemarkan kesucian kitab itu.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Regulatori Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Kamaldin Mohd Damin berkata al-Quran itu dikesan di ibu negara pada akhir tahun lepas dan pihaknya sedang mengesan syarikat yang bertanggungjawab mencetak kulit muka hadapannya.

“Ia adalah kes terpencil, namun perlu diberi perhatian serius dan pemantauan berterusan bagi memelihara kesucian kitab umat Islam itu, walaupun difahamkan ianya hanya ada satu sahaja dan dijadikan sebagai ‘hadiah’, namun masyarakat harus sedar ia tidak boleh dilakukan.

“KDN juga merampas al-Quran yang dicetak dalam tulisan rumi kononnya bagi memudahkan golongan yang tidak tahu membaca tulisan Arab termasuk mualaf, namun ianya menjadi kesalahan kerana pembaca akan membaca dengan sebutan yang salah yang membawa maksud salah,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemuliaan Al-Quran dan Rasm Uthmani di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaldin berkata pihaknya turut mengesan naskah al-Quran yang dicetak tidak mengikut kaedah penulisan dan penandaan ‘rasm Uthmani’ sepertimana yang diguna pakai di Arab Saudi dan diamalkan umat Islam di negara ini.

Katanya, kebanyakan al-Quran itu menggunakan ‘mushaf Imla’i’ yang tidak sesuai digunakan secara terbuka kerana boleh menyebabkan wujud beberapa kekeliruan dari segi pembacaan.

“Al-Quran jenis ini banyak dicetak di Indonesia dan Thailand, dengan reka bentuk dan warna yang menarik dan berinovasi, ia dijual secara dalam talian dan ada yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen dari negara berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, KDN kini giat bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengetatkan kawalan dan akan merampas al-Quran yang meragukan dan tiada kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di setiap pintu masuk negara.

“Jika al-Quran itu dibawa masuk oleh ejen, ejen berkenaan perlu berpatah balik kembali ke negara asal dengan al-Quran yang dibawa, namun jika tiada ejen kita akan rampas al-Quran itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi maksud,” katanya.
-Bernama

Guru dipenjara 80 tahun kerana rogol, cabul, liwat pelajar

Bernama

SANDAKAN: Seorang guru disiplin sekolah rendah di Beluran dijatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 20 sebatan atas 14 pertuduhan rogol, cabul serta liwat terhadap 8 murid perempuan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ummu Kalthom Abd Samad menjatuhi hukuman itu terhadap Freddie @ Ampat Unsin, 56, hari ini.

Bagi 2 pertuduhan merogol muridnya berumur 9 tahun pada November 2015 dan 10 tahun pada Mac-Julai 2016 di sekolah tempat dia bekerja di Beluran, Freddie dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 dan 18 tahun serta diperintahkan supaya dikenakan masing-masing 3 serta 4 sebatan.

Ummu Kalthom memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh dia didakwa pada 27 Dis 2017.

Beliau turut memerintahkan supaya penjara 43 tahun dan 12 sebatan atas 11 pertuduhan cabul supaya berjalan berturutan selepas Freddie menjalani hukuman bagi 2 pertuduhan rogol itu.

Tiga daripada 11 pertuduhan cabul membabitkan hukuman penjara berjumlah 10 tahun dan 3 sebatan yang diperintahkan supaya berjalan serentak.

Tiga lagi pertuduhan cabul membabitkan jumlah hukuman penjara yang sama dan sebatan yang juga diperintahkan supaya berjalan serentak.

Freddie juga didapati bersalah atas 11 pertuduhan mencabul muridnya berumur 6 hingga 10 tahun di sekolah sama antara Januari dan Julai 2016.

Dia juga didapati bersalah meliwat seorang pelajar 10 tahun di sekolah sama antara Jun dan Julai 2016 dan dijatuhi hukuman penjara 4 tahun serta 1 sebatan yang akan dijalankan berturutan daripada kesalahan lain.

Ummu Kalthom berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana dia berkhidmat sebagai guru disiplin, bagaimanapun mengambil kesempatan dengan menjadikan kanak-kanak sebagainya mangsa dan mereka sepatutnya berasa selamat bawah penyeliaannya di sekolah itu.

“Keadaan kesalahan dalam kes ini menunjukkan terdapat tentangan daripada mangsa, tetapi disebabkan kedudukan tertuduh sebagai guru meletakkan mangsa dalam keadaan tidak berdaya,” katanya.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam Hamida Ambo memohon hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga berkahwin serta mempunyai 4 anak.

Perbicaraan bermula pada 19 Mac tahun lepas dan Freddie diperintahkan supaya membela diri pada 9 Mei tahun ini, dengan lebih 40 saksi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Mark Etto mengendalikan pendakwaan kes.

LHDN saman anak perempuan Najib, tuntut RM10.3 juta

Bernama

Selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kini anak perempuannya pula diarah membayar RM10.3 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, dengan menamakan Nooryana Najwa Mohd Najib, 31, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang-Borang Nyata Orang Perseorangan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2017 kepada LHDN.

Kerajaan Malaysia berkata oleh itu satu taksiran di bawah subseksyen 90(3) Akta Cukai termasuk penalti telah dibangkitkan melalui Notis-Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Nooryana Najwa gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335, 292.36.

Jumlah itu ialah RM2,807,452.42 (2011), RM30,738.28 (2012), RM6,943,811.07 (2013), RM313,967.02 (2014), RM56,048.65 (2015), RM158,922.46 (2016) dan RM24,352.46 (2017).

Oleh itu kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara ‘e-review’ pada 12 Sept di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, S.S.Malini Anne iaitu pihak-pihak yang terlibat mengendalikan kes secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.

Pada 25 Jun lepas kerajaan Malaysia melalui LHDN menfailkan saman terhadap Najib, 66, menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017 dan pada 24 Julai lepas, Mohd Nazifuddin, 36, juga disaman LHDN memintanya membayar RM37.6 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Pada 24 Julai lepas, LHDN juga menfailkan saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017.

Ketiga-tiga kes itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
-Bernama