"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi tak tahu halal haram ke

Sumbangan pada yayasan turut jadi milik Zahid, kata saksi
M Fakhrull Halim
KES ZAHID |
Adun Hutan Melintang, Khairuddin Tarmizi, memberitahu mahkamah, menurut pemahamannya segala sumbangan yang diberikan kepada Yayasan Akalbudi - selain menjadi milik badan itu - turut akan menjadi milik Ahmad Zahid Hamidi.

Pandangan itu dikongsinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaku saksi ke-15 pendakwaan dalam kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Khairuddin yang juga ahli lembaga pemegang amanah (BOT) Yayasan Akalbudi berkata demikian dalam sesi pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt.

Lee merujuk jawapan Khairuddin yang bersetuju dengan cadangan peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, ketika sesi pemeriksaan balas bahawa sebahagian besar pendapatan Ahmad Zahid dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Lee: Soalan saya, bila penyumbang sumbang kepada yayasan (Akalbudi), ia akan jadi milik siapa?

Khairuddin: Dia akan jadi milik yayasan dan peribadi (Ahmad Zahid).

Sebelum itu, dalam pemeriksaan balas, Khairuddin turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa duit yayasan dan duit peribadi Ahmad Zahid sudah bercampur-aduk dalam akaun yayasan tersebut.

Ahamd Zaidi turut membawa Khairuddin meneliti senarai 27 sumbangan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak, iaitu kawasan parlimen diwakili tertuduh.

Antaranya, senarai 27 sumbangan tahunan kepada golongan fakir, asnaf, daif, anak-anak yatim; sumbangan untuk pembinaan atau penambahbaikan surau, masjid, rumah anak yatim, sekolah; bantuan perayaan, serta pencetakan naskhah al-Quran.

Tak pasti tapi banyak

Kata Ahmad Zaidi, tidak seperti laporan media pada hari pertama perbicaraan yang menyatakan tidak ada “satu sen pun daripada RM31 juta” dana yayasan digunakan untuk membantu golongan miskin, katanya, daripada senarai yang digariskan, ia “sudah lebih dari satu sen”.

Hal itu dipersetujui Khairuddin.

Ahmad Zaidi turut membacakan senarai 28 projek kebajikan termasuk di China, Afrika Selatan, Australia, Thailand, Indonesia dan Kanada yang membabitkan yayasan tersebut.

Khairuddin mengakui mempunyai pengetahuan tentang sebahagian besar daripada senarai itu dan bersetuju ia merupakan sumbangan yayasan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Lee, beliau mengatakan “tidak pasti” tentang jumlah keseluruhan sumbangan untuk kesemua projek yang disenaraikan.

“Jumlah tak pasti. Tapi banyak,” katanya.

Dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, seorang lagi timbalan pendakwa raya, Raja Rozela Raja Toran, berkata pihak pendakwaan akan membentangkan jejak aliran tunai bagi membuktikan “tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta itu digunakan untuk kepentingan orang miskin”.

Sebaliknya, mereka akan mendedahkan satu amaun besar digunakan untuk - antara lain - membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan bayaran cukai jalan untuk kenderaan peribadi.

Selain itu, nama Mejar Mazlina sekali lagi timbul dalam perbicaraan hari ini, apabila Ahmad Zaidi bertanya kepada Khairuddin sama ada dia tahu atau tidak, bahawa salah satu sebab utama akaun Yayasan Akalbudi dipindahkan ke akaum firma guaman Messrs Lewis & Co adalah kerana pembantu khas Ahmad Zahid itu.

“Tak tahu,” jawab Khairuddin.

Ahmad Zaidi: Salah satu kesilapan Mejar Mazlina adalah mengeluarkan cek dari akaun Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit dan cukai jalan Dato’ Seri (Ahmad Zahid), yang pada hakikatnya sepatutnya dikeluarkan dari akaun peribadi Dato’ Seri. Tahu atau tidak?

Khairuddin: Saya tak pasti.

Perbicaraan bersambung esok.

Apa akan jadi PH? Cuba lihat tanda tanya itu

N Faizal Ghazali

Beberapa minggu lepas saya bertemu dan bersembang dengan kawan yang kini bekerja dengan seorang menteri.

Banyak hal yang kami borakkan, khusus dalam hal ehwal politik dan pentadbiran kerajaan persekutuan hari ini. Juga cabaran-cabaran kerajaan negeri yang ditadbir PH.

Kata dia, kini terbukti rakyat Malaysia berani untuk menukar kerajaan seperti yang dibuktikan mereka pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Kemudian saya tambah: Dan tidak mustahil rakyat sama akan mengulang keberanian dan kemahuan mereka pada PRU akan datang sekiranya prestasi kerajaan PH ini tetap diselimuti seribu satu kekalutan.

Selepas hampir dua tahun letak duduknya kerajaan PH, rakyat boleh menyaksikan secara langsung tingkah laku, perangai, kenyataan dan keutamaan menteri dan pemimpin parti dalam PH.

Bagaimana dengan persepsi rakyat terhadap kerja buat dan pelbagai perubahan positif yang dibuat kerajaan PH berbanding BN?

Lihat tanda tanya itu. Jawapannya saya pecahkan kepada dua. Pertama, seberapa ramai rakyat sedang mengukur hal-hal baik dilakukan kerajaan PH dan mempedulikannya, sekali gus berkata jujur: kerajaan hari ini jauh lebih baik dan perlu dikekalkan, atau sekurang-kurangnya diberi peluang lagi.

Kedua, berapa ramai pula rakyat yang tidak peduli segala apa yang kerajaan PH buat. Sebaliknya mereka dilekakan dengan bermacam-macam isu yang mengenggelamkan hal-hal positif dilakukan kerajaan.

Sudut pandang lebih matang

Hal itu pula kadang-kadang aneh dan tidak terfikir untuk mereka conggak dengan mana-mana sifir sedia ada. Rakyat berasa musykil dengan kegigihan pemimpin PH memberikan 'bola tanggung' kepada pembangkang dari sehari ke sehari.

Kalau keadaan kedua yang lebih banyak mempengaruhi, kemungkinan besar rakyat Malaysia akan memilih untuk menghukum PH. Tidak perlu menunggu pembangkang, rakyat sendiri akan menghadiahkan pukulan maut untuk bola tanggung tersebut.

Kawan saya - yang kini bekerja dengan menteri itu - nampak gusar. Banyak kali dia menggeleng kepala. Seolah-olah dia mahu menghantar isyarat berat sebagai bayangan kepada beban yang berselirat dalam kepalanya.

Itu belum lagi kami bercerita tentang isu politik dalam politik yang dikhuatiri menjadi barah tahap kronik terhadap keutuhan kerajaan PH.

Bagaimana pula dengan isu pertelagahan demi pertelagahan antara kem-kem atau pemimpin dalam parti PH sendiri?

Lihat tanda soal itu. Ia adalah isu yang sudah menjadi rahsia umum, bukan lagi cuit-cubit dalam selimut. Lalu ia dijadikan bahan caci-maki rakyat, cemuh-cemuhan antara penyokong. Hal itu menghantar aura sangat buruk ke segenap sisi pandang.

Ia sama jelik, membosankan dan mengarut sama sekali.

Harus disedari betapa politik sifatnya adalah serba mungkin. Atas sifat itu juga ia boleh menghadirkan jawapan tanpa kita lihat sebarang tanda tanya lagi.

Situasi politik kerajaan PH hari ini begitu rumit. Ketika pemimpin kerajaan berusaha keras menjayakan sesuatu dasar, memulihkan hal-hal pincang dan menanam semangat Malaysia Baru dengan sudut pandang lebih matang, pada kesempatan sama mereka jugalah yang bermain selut, lumpur, lelucon aneh dan memualkan tidur-bangun rakyat.

Hal-hal sepele ini pun akan akhirnya terheret sehingga rapat ke hari pengundian PRU akan datang.

Biar persepsi terus salah

Bagaimana pula dengan ketuntasan gerak kerja pembangkang? Kali ini, jangan lihat tanda soal itu, tetapi lihatlah betapa keberadaan mereka semakin mengancam.

Pembangkang cekap memanfaatkan keadaan dan kecelaruan yang ada untuk menyusun bidak-bidak strategi bagi meraih pengaruh rakyat. Kegagalan jentera kerajaan - seperti agensi berita nasional, stesen televisyen kerajaan dan Jabatan Penerangan - memberikan penerangan yang sepatutnya dieksploitasi semahu-mahunya.

Entah di mana kedudukan menteri, pegawai kanan dan pegawai khas kerajaan ketika tangan dan kuasa mereka diperlukan bagi mengekang kerja-kerja 'bawah tanah' untuk memberikan imej buruk kepada PH sekarang.

Mereka kelihatan tidak perlu peduli sejauh mana rakyat faham dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Ketika jenuh diserang dengan pelbagai propaganda, menteri dan pemimpin PH gagal memahamkan bahawa dakwaan pembangkang itu sebenarnya berbaur antara janji manifesto PRU ke-14 dengan PRU ke-13 dan PRU ke-12.

Culas memberikan tindak balas dan mengharapkan rakyat menilai sendiri sepenuhnya adalah sikap yang sangat salah dan menjanjikan fatal.

Pembangkang juga tidak akan memuji bahawa kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan semalam, kerana mereka juga bercita-cita mahu segera menjadi kerajaan yang seterusnya.

Sebaik mana pun perubahan dibuat PH, pembangkang tidak akan jadi jentera penerangan dan memperbetulkan persepsi rakyat yang seolah-olah dibiarkan berterusan salah. Itu kan memang kerja pembangkang?

Dalam gabungan pembangkang kini, sejauh dan selayak mungkin mereka akan menyambut 'bola tanggung' dan mengembalikannya dalam bentuk smash yang lebih mematikan.

Lalu, seterus apa PH? Barangkali pemimpin PH tak perlu lagi melihat tanda tanya itu. Mereka berasakan wajar - malah wajib - untuk terus bertelagah tentang siapa lebih benar, siapa sewajarnya menjadi ketua kepada siapa.

Pada masa sama, mereka mahu membiarkan sikap berjiwa besar menjadi tidak lebih daripada plastik pakai buang. Dan kemudian kekal tenang.

Kerana akan ada juga penyokong yang terpengaruh.

Biarkan segala yang berkecamuk menjadi pakaian harian rakyat. Rakyat yang semakin terbuka dan berani berubah, kelak tidak perlu bertanya mengapa dan bagaimana.

Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga

Timmy Say

Tiada sidang Parlimen bermula minggu ini sehingga Mac 2020. Empat bulan ini mungkin 4 bulan yang terpanjang untuk Anwar Ibrahim.

Minggu lalu boleh dikatakan minggu “sudah jatuh ditimpa tangga” bagi Anwar.

Kongres Nasional PKR ke-14 yang sepatutnya menjadi medan sebulat suara semua ahli dan pimpinan PKR mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ke-8 tidak menjadi kenyataan.

Lebih teruk, kongres kali ini dicemari oleh pelbagai perkara yang mencemarkan imej Anwar dan juga mendedahkan kelemahan ketaranya untuk menguruskan perbedaan pendapat dalam parti.

Bukan itu sahaja, sehari sebelum kongres Pemuda bermula, Anwar diserang oleh tuduhan salah laku seksual oleh bekas penyelidiknya sendiri, Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber. Ya, kebetulan sekali lagi – tuduhan daripada orang yang bekerja di dalam pejabat Anwar seperti Saiful Bukhari.

Kebetulan juga, pada hari yang sama, selepas beberapa jam SD Rawther menjadi viral, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang gagal menghadiri sebarang mesyuarat parti selama ini tiba-tiba dapat hadir ke satu mesyuarat biro politik PKR yang dipengerusikan Anwar di Parlimen.

Gambar-gambar pendamaian Anwar-Azmin tersebar. Jika ya pun gambar itu sekadar satu lakonan, tapi gambar pendamaian itu sebenarnya menaikkan imej Anwar kerana akhirnya dapat menyatupadukan parti yang sudah cacamerba menjelang kongres ulang tahun PKR ke-20.

Kesudahannya, Azmin diberikan lampu hijau untuk merasmikan Pemuda dan Wanita PKR. Azmin juga mengumumkan hubungan beliau dengan Anwar tiada masalah.

Tapi sayang, bibit-bibit pendamaian ini tidak dapat bertahan 72 jam.

Azmin yang membawa pasukannya menghadiri kongres PKR bertindak melangkah keluar dari kongres parti apabila perbahasan perwakilan parti mula menyerangnya.

Dalam satu sidang media tergempar selepas itu, Azmin berkata semuanya ini berpunca daripada ucapan dasar Anwar yang didakwa sengaja memetik kisah “Si Kitul dan Raja Mandeliar” sebagai pembuka jalan kepada pembahas memulakan serangan terhadapnya. Malah Azmin menyelar tindakan Anwar yang digambarkan terlalu ingin menjadi perdana menteri dengan membangkitkan isu penyerahan kuasa setiap hari, minggu dan bulan.

Di sebelah pagi keesokan hari, Azmin menaikkan satu poster untuk mengingatkan semua ahli PKR di mana mungkin beliau yang berjuang 20 tahun untuk menghidupkan PKR adalah pengkhianat.

Hasilnya, semua pemimpin dan ahli parti yang menyokong Azmin bertindak memboikot hari terakhir kongres PKR, menyebabkan Anwar tidak dapat menutup kongres dengan dewan penuh.

Sebaliknya kem Azmin, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari menghadiri Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur yang dianjurkan Azmin pada sebelah malam.

Di majlis makan malam ini, Azmin menegaskan “PKR bukan diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat.” Azmin juga mengingatkan Anwar mengenai kesetiaannya melalui tindakan beliau mempertahankannya dalam skandal seks.

Zuraida pula melondehkan perangai Anwar terhadap Azmin dengan mendedahkan Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu beliau memecat Azmin kerana didakwa terlibat di dalam skandal video gay.

Beliau turut berkata Anwar memberitahunya bahawa polis menyatakan watak di dalam video tersebut ialah Azmin bersama bekas ahli PKR Santubong Haziq Aziz. Zuraida berkata beliau menyoal kebenaran kenyataan Anwar mengenai itu kerana Mahathir berulang kali mempertahankan Azmin.

Semalam, Rawther pula akan memberikan kenyataan kepada Bukit Aman mengenai tuduhannya terhadap Anwar.

Dengan kongres PKR yang berakhir dengan perpecahan dan kehilangan pengaruh dalam parti berserta masalah “orang pejabat sendiri” yang nampaknya berulang-ulang, Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Ada 6 bulan lagi sebelum penuh tempoh 2 tahun yang diberikan para penyokong Anwar kepada Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kepadanya.

Enam bulan ini dijangka akan menjadi bulan yang terpanjang dalam hidup Anwar bergelut dengan nafsu impian menjadi PM dilanggar ombak karenah Azmin, ditarik arus oleh tuduhan Rawther serta berdepan dengan runtuhnya keyakinan rakyat terhadap kemampuan beliau untuk mentadbir negara apabila beliau kini kelihatan seakan tidak mampu mentadbir parti sendiri.

Dan tiada yang lebih menakutkan politik Malaysia hari ini daripada kesunyian Mahathir ketika semua ini berlaku.

Gempa bumi politik Malaysia nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.