"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Boleh didenda RM10,000 jika langgar perintah kawalan pergerakan, kata peguam

V Anbalagan
PETALING JAYA:
Individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa semalam bagi membendung penyebaran Covid-19, boleh didenda sehingga RM10,000 jika pendakwa raya memfailkan kes di Mahkamah Majistret, kata peguam.

A Srimurugan berkata, Akta Mahkamah Rendah membenarkan majistret kelas pertama menjatuhkan denda itu kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak menyatakan jumlah denda.

Seksyen 24 menyatakan sesiapa yang didapati bersalah untuk kali pertama di bawah akta ini yang tidak menyatakan denda khusus boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, pesalah juga boleh didenda melebihi RM10,000 jika pendakwa raya memutuskan untuk melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen.

“Seksyen 65 Akta Mahkamah Rendah menyatakan hakim Mahkamah Sesyen boleh mengenakan sebarang hukuman kecuali hukuman mati,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, Seksyen 283 (1)(a) Kanun Prosedur Jenayah menyatakan di mana jumlah denda tidak dinyatakan, penalti itu perlu adil dan munasabah.

Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu menyatakan tiada individu dibenarkan menjelajah dari sebuah tempat ke tempat lain, kecuali untuk urusan rasmi, menyediakan perkhidmatan asas, membeli, membekal atau menghantar makanan atau barang keperluan, mendapatkan rawatan atau bagi tujuan lain yang dibenarkan ketua pengarah kesihatan.

Peguam, GK Ganesan berkata, ketua pengarah atau mana-mana pegawai awam yang mempunyai kuasa boleh mendenda pesalah sehingga RM1,000 bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ini pada dasarnya ialah budi bicara pihak berkuasa dalam kes berkaitan.”

Semalam, Muhyiddin menerusi perutusan khas merayu rakyat tidak balik kampung sepanjang 2 minggu perintah kawalan pergerakan kerana pergerakan beramai-ramai akan menggagalkan matlamat perintah itu.

Katanya, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan perintah kawalan pergerakan jika gagal membendung penularan Covid-19.

Ketakutan dan panik mungkin bunuh kita

A Kadir Jasin
Kalau Covid-19 tidak bunuh kita, ketakutan dan panik mungkin akan bunuh kita.

Ini bukan lagi wabak penyakit. Ia sudah jadi penyakit mental.

Ketakutan dan panik telah nengambil alih, diapi-apikan oleh ketidakwarasan dan ketidakbertanggungjawaban pengamal media sosial.

Pembelian panik menyebabkan supermarket dan kedai kehabisan barang, harga naik dan bekalan disembunyikan.

Penjualan panik menyebabkan trilion ringgit modal pasaran hancur musnah di merata dunia.

Akibatnya setiap orang yang ada pelaburan atau simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), mengalami kerugian.

Dilaporkan dua orang telah meninggal dunia akibatnya di negara kita, bilangan dijangkiti meningkat dan yang sembuh bertambah.

Itulah bahana wabak era digital di mana ketakutan dan panik mudah disebar sehingga menyebabkan manusia hilang akal dan habis wang simpanan.

Saya berusia 73 tahun. Generasi saya melalui pelbagai wabak dan jangkitan maut. Kita takut, tetapi kita tidak panik. Yang selamat dan sembuh, daya tahan jangkitannya menjadi lebih kuat.

Isnin lalu, saya membuat kunjungan biasa kepada doktor saya, seorang bekas pegawai perubatan tentera. Dia menjaga kesihatan saya sejak tahun 1980-an apabila dia menjadi doktor di New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Waktu itu NSTP amat berjaya. Ia mempunyai klinik perubatan sendiri. Ia juga memberi biasiswa kepada kakitangan dan orang luar untuk melanjutkan pelajaran, ada pejabat di London dan New York, menghantar kakitangan untuk menunaikan haji sebagai hadiah perkhidmatan lama, memberi pinjaman perumahan dan kenderaan serta membayar bonus sehingga tujuh bulan.

Itu cerita lama. Bahan nostalgia. Waktu itu ramai anak muda berjaya jadi wartawan dan pengamal perbuhungan awam melalui Skim Latihan Pra-Pengambilan (PETS) yang dimulakan pada akhir 1980’an oleh NSTP sebagai khidmat

Dalam lawatan kepada doktor saya itu, tekanan darah saya 139/60, paru-paru baik, tidak demam dan daya refleks baik. Hanya ada sedikit sakit tekak. Saya tidak merokok dan tidak makan gula mentah jadi itu menyumbang kepada kesihatan.

Dilahirkan dan dibesarkan ketika zaman susah ada kebaikannya. Sesiapa saja yang berjaya melepasi zaman kanak-kanak yang penuh penyakit, kekurangan zat makanan dan tahap kebersihan rendah menjadi lebih kuat.

Setidak-tidaknya itulah yang tercetus dalam perbualan saya dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengenai kesihatan pada zaman sebelum merdeka dan selepasnya dalam kaitan wabak besar Covid-19 ini.

Dr Siti Hasmah yang pernah bertugas sebagai Pengarah Perubatan Desa di Alor Setar amat peka tentang penyakit dan jangkitannya serta kesan rawatan kepada kesihatan jangka panjang pesakit, khususnya mengenai imuniti.

Waktu itu, taraf kesihatan rendah dan kemudahan rawatan amat terhad. Ada pelbagai penyakit berjangkit yang membunuh atau mencacatkan seperti cacar, taun, demam kepialu (typhoid), malaria, batuk kering dan polio.

Tidak cukup dengan itu, ada pula penyakit yang dibawa oleh binatang ternakan dan haiwan kesayangan.

Dalam perbualan dengan doktor saya pula, kami menyentuh tentang penjagaan dan rawatan kesihatan moden yang mungkin menyebabkan manusia hilang imuniti dan mudah dijangkiti penyakit.

Ini belum lagi diambil kira penyakit yang berpunca daripada keturunan (genetic) dan gaya hidup.

Walaupun pelbagai vaksinasi diberi sejak bayi, ia belum menjamin yang seseorang itu tidak akan dijangkiti penyakit kerana badannya tidak membina imunit semula jadi untuk menyekat penyakit-penyakit baru.

Jadi dalam kita berjaga-jaga terhadap pandemik atau wabak besar Covid-19 ini, kita jangan panik hingga hilang akal dan kira bicara. Ketakutan kita biarlah berasas.

Masih ingat lagikah bagaimana kita dilanda ketakutan dan panik malah menyangka dunia akan kiamat akibat Y2K?

Bagi saya, Covid-19 menjadi lebih buruk daripada yang sebenarnya kerana sebahagian besar manusia telah menjadi hamba kepada media sosial dan menyalahgunakan kuasa digital.

Menteri PN kurang berfungsi netizen cadangkan Dr Noor Hisham sebagai Menteri Kesihatan

MALAYSIA DATELINE
Selepas mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipuji oleh pengguna media sosial kini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula menjadi pujaan netizen.

“Saya cadangkan Datuk Dr Noor Hisham ni jadi Menteri Kesihatan,” tulis Noor Azizah Tahir melalui facebook beliau.

Bagi ramai pihak, cadangan sebegini bukan perkara baru kerana sebelum ini banker telah dilantik sebagai Menteri Kewangan manakala Mufti pula dilantik sebagai Menteri Agama.

“Apa salahnya kita lantik Datuk Dr Noor Hisham sebagai Menteri Kesihatan bagi menggantikan menteri yang ada,” tulis seorang netizen.

Dr Noor Hisham sentiasa terlibat dalam pelbagai krisis negara dari penembakan MH17, banjir besar di Kelantan, wabak di kalangan Orang Asli Kuala Koh, pencemaran di Pasir Gudang dan terkini Covid-19.

Cadangan ini datang ketika pelbagai kecaman dibuat terhadap Menteri Kesihatan yang ada, Dr Adham Baba.

Antaranya beliau diserang ketika mengajar orang ramai memakai toping muka ketika beliau sendiri terpaksa diajar bagaimana cara mengikat toping muka tersebut.

Peringatan terbaru Dr Noor Hisham agar patuh arahan, duduk di rumah untuk elak gelombang ketiga Covid-19 dianggap orang ramai sebagai terbaik.

“Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menggesa agar masyarakat membantu Kementerian Kesihatan dengan memainkan peranan masing-masing ke arah memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“(Ini) kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Menegaskan bahawa kegagalan bukan pilihan dalam soal menangani Covid-19, Dr Noor Hisham turut memperkatakan tentang bahaya yang mungkin muncul jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa.

“Kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah,” katanya.

Beliau mengakhiri hantaran itu dengan pesanan berikut kepada orang ramai, “Duduk di rumah dan jangan keluar.”