"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jalan kaki lebih 400km untuk balik kampung setelah sebulan hilang pekerjaan dan diusir bekas majikan

ARIF ATAN
Seorang lelaki berasal dari Kampung Lawang, Jedok, Tanah Merah terpaksa membuat keputusan nekad berjalan kaki pulang ke kampung selepas bas ekspres di Bandar Tasik Selatan (BTS) tidak beroperasi susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau difahamkan terpaksa mengambil keputusan untuk pulang ke kampung selepas sebulan tidak bekerja serta dihalau majikan daripada rumah penginapan pekerja.

Berusia 20-an dengan menggunakan nama Matnoe Poksu Din di akaun Facebook, beliau mula berjalan kaki sejak kelmarin lebih 400 kilometer (km) dan sampai di kampungnya jam 11 malam tadi.

Menurut bapa kepada dua anak itu, sebuah lori ayam dari Pulau Pinang turut membantu menumpangkannya dari Gerik ke Tanah Merah.

“Alhamdulillah. Jam 11 malam tadi selamat sampai rumah. Terima kasih pada yang mendoakan, memberikan bantuan terutama sekali terima kasih kepada Setiausaha Sulit Datuk PA Saudara Ahmad Nazree Ramli di atas sumbangan yang diberikan. Beliau banyak membantu perjalanan saya,” katanya hari ini.

Semalam ketika singgah di Terminal Bas Ekspres Amanjaya di Ipoh, Matnoe melalui rakaman singkat video memberitahu ingin berehat sebentar lantaran amat keletihan dan pada masa sama tenaga bateri telefonnya hanya tinggal tujuh peratus selain kasut yang dipakainya juga terkoyak.

Beliau turut memberitahu sepanjang perjalannya dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng ke Terminal Amanjaya, terdapat dua sekatan jalan di plaza tol yang berjaya dilepasinya.

Matnoe Poksu Din

“Jalan kaki seolah-olah halimunan. Tiada yang perasan. Tahan peronda pun tidak berhenti. Tahan lori tidak berhenti. Tak larat nak teruskan ke Gerik lepas itu ke Jeli,” tulisnya di Facebook.

Tidak menyalahkan

Matnoe bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak ketika tempoh PKP masih berkuatkuasa di sebalik keputusan nekadnya pulang ke kampung dengan hanya berjalan kaki.

Terdahulu, Matnoe memberitahu tiada lori sudi untuk menumpangkannya balik sepanjang perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Sejurus tiba di Ipoh, jelasnya, ada anggota bomba yang simpati dan menawarkannya untuk hantar hingga ke Gerik.

Matnoe yang bekerja di Shah Alam pada mulanya mahu pulang mengikut jalan biasa iaitu Lebuhraya Karak.

Walau bagaimanapun, beliau sesat sehingga melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan tiba di Ipoh, Perak, petang semalam.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai isterinya, Sara Anisa memberitahu majikan suaminya telah mengusir Matnoe Poksu Din dari rumah.

“Gila kepala memikir. Duduk Kuala Lumpur pun tauke halau dah, sebulan dah tak kerja kan..

“Tauke pun halau la dari rumah yang dia beri duduk tu. Duit pun tak ada nak buat makan. Jadi keputusan dia, jalan kaki nak balik rumah,” katanya menerusi status di Facebook.

Pentagon keluarkan video 'UFO' secara rasmi


Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon secara rasminya telah mengeluarkan tiga video pendek menunjukkan "fenomena udara yang tidak dikenalpasti (unidentified aerial phenomena) yang sebelum ini telah disiarkan oleh sebuah syarikat swasta.

CNN melaporkan video itu menunjukkan objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti sedang bergerak laju ketika dirakam kamera inframerah. Dua video itu mengandungi perbualan juruterbang tentera AS mengenai maklum balas terhadap objek terbang itu, dengan salah satu suara menspekulasikannya sebagai dron.

Pentagon sebelum ini mengambil maklum video tersebut pada September tahun lalu.

Jurucakap Pentagon Sue Gough dipetik CNN berkata video itu dikeluarkan Pentagon sekarang "dengan tujuan menjelaskan salah faham oleh orang ramai sama ada rakaman yang beredar itu benar atau tidak, atau sekiranya terdapat perkara yang lebih lagi daripada video itu.

"Setelah penilaian menyeluruh, jabatan pertahanan telah memutuskan bahawa pengeluaran yang dibenarkan daripada video yang tidak diklasifikasikan ini tidak mendedahkan sebarang sistem atau kemampuan sensitif.

"Dan tidak mengganggu siasatan selanjutnya mengenai pencerobohan ruang udara tentera oleh fenomena udara yang tidak dapat dikenalpasti," kata Gough.

Tentera AS kini mempunyai garis panduan rasmi untuk cara juruterbangnya dapat melaporkan ketika mereka percaya telah melihat kemungkinan objek UFO.

Video itu pertama kali dikeluarkan antara Disember 2017 dan Mac 2018 oleh To The Stars Academy of Arts & Sciences, sebuah syarikat yang diasaskan oleh bekas pemuzik Blink-182, Tom DeLonge yang berkata ia mengkaji maklumat mengenai fenomena udara yang tidak dikenali.

Pada 2017, salah seorang juruterbang yang melihat salah satu objek yang tidak dikenali pada tahun 2004 memberitahu CNN bahawa ia bergerak dengan cara yang tidak dapat dijelaskannya.

"Ketika saya mendekatinya ... cepat-cepat ia laju menuju ke arah selatan, dan menghilang dalam waktu kurang dari dua saat," kata juruterbang Angkatan Laut AS yang sudah bersara David Fravour.

"Ini sangat mendadak, seperti bola ping pong, memantul dari dinding. Ia akan memukul suatu arah dan pergi melantun ke arah sebaliknya."

Walaupun begitu, Luis Elizondo, bekas ketua program rahsia pertahanan, dilaporkan memberitahu CNN pada tahun 2017 bahawa beliau secara peribadi percaya "ada bukti yang sangat kuat bahawa kita mungkin tidak bersendirian (di dunia)."

"Pesawat ini - kami akan memanggilnya pesawat - menampilkan ciri-ciri yang tidak ada dalam inventori AS dan juga inventori asing yang kami ketahui," kata Elizondo mengenai objek terbang yang mereka kaji itu.

Beliau dipetik CNN berkata mengundurkan diri daripada Jabatan Pertahanan pada tahun 2017 sebagai protes atas kerahsiaan mengenai program mengkaji objek terbang itu.

Reid menulis ciapan di Twitter pada hari Isnin, berkata beliau "gembira" Pentagon mengeluarkan video tersebut secara rasmi, tetapi berkata itu hanyalah permukaan daripada bahan dan penyelidikan yang dimiliki kerajaan.

"Amerika Syarikat perlu meneliti secara serius mengenai perkara ini dan potensi kesannya terhadap keselamatan negara," katanya.

Parti politik baharu akan ditubuhkan?

LIEW CHIN TONG
Bagi seorang individu yang begitu aktif terlibat dalam satu rampasan kuasa awal tahun ini, adalah aneh untuk Tan Sri Muhyiddin mendakwa kononnya orang ramai sudah meluat dengan politik dan sebaliknya mahu kerajaan bekerja keras demi rakyat.

Orang ramai boleh melihat bahawa watak-watak utama dalam kerajaan ‘gabungan anak ayam’ Perikatan Nasional (PN) lah yang sedang berebut kedudukan dan kuasa sambil negara berdepan krisis wabak Covid-19.

Barangkali Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian dalam usahanya untuk menyembunyikan hakikat bahawa pada ketika ini, beliau berada dalam keadaan yang amat berbahaya walaupun mempunyai kuasa besar sebagai ketua kerajaan.

Kenapa saya kata begini? Kita mulakan dengan satu kisah benar. Saya dan Lim Kit Siang bergegas pulang dari acara di Johor pada 25 Julai 2015 atas permintaan Setiausaha Agung Parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail untuk satu perbincangan tergempar. Sebagai sekutu rapat, kami memang sering berbincang, terutamanya apabila ada perkembangan penting dalam politik negara.

Saifuddin memberitahu kami bahawa beliau mendapat khabar yang Peguam Negara Abdul Gani Patail akan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak atas kesalahan salahguna kuasa dalam kes SRC pada minggu berikutnya. Kit Siang berfikir seketika dan bertanya kepada kami: “Adakah Najib akan menunggu sahaja membiarkan dirinya di’sembelih’?”

Tiga hari kemudian, pada 28 Julai 2015, Gani, Muhyiddin dan Shafie Apdal dipecat daripada kerajaan Barisan Nasional.

Berbalik ke hari ini. Muhyiddin sedang mentadbir gabungan lemahnya ini dengan kewujudan 10 puak dalam PN.

Ada empat puak dalam parti Bersatu – mereka yang masuk pada tahun 2016; mereka yang masuk Bersatu dari Umno selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU 2018; kumpulan Azmin Ali; dan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu menimbulkan masalah dalam pemilihan parti yang nampaknya telah dilengahkan ekoran krisis Covid-19.

Empat puak lagi adalah kumpulan-kumpulan bertelagah dalam Umno; setiap satunya dipimpin Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, dan kumpulan tak berpihak yang dianggotai Mohammad Hassan serta Khairy Jamaluddin.

Dua puak lagi ialah PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Pilihan-pilihan Muhyiddin

Sebaiknya, Muhyiddin akan mahu menghapuskan penyokong Mahathir, dan mencari jalan supaya Bersatu tidak menjalankan pemilihan parti. Beliau akan mahu menghindar cabaran Mukhriz untuk kerusi presiden, yang walaupun sukar untuk Menteri Besar Kedah itu menang, namun tidaklah begitu mustahil.

Muhyiddin juga tahu bahawa daripada empat puak Umno, beliau hanya boleh percayakan puak Hishammuddin.

‘Pemberontak’ PKR, Azmin Ali sedang berharap untuk mempunyai struktur parti bagi beliau memainkan peranan penting dan untuk membawa masuk penyokong akar umbinya yang sekarang tidak mempunyai induk politik kerana Bersatu berada dalam keadaan tergantung. Beliau juga perlu mewujudkan ruang untuk penyokong bukan-Melayu yang tidak lagi dialu-alukan dalam PKR serta tidak mampu ke mana-mana.

Bagi mengabsahkan kerajaan Muhyiddin, beliau perlu menunjukkan bahawa kerajaannya bersih. Pengundi, terutamanya golongan penentu atas pagar dalam kalangan orang Melayu, amat menghargai soal integriti, selain soal kesejahteraan ekonomi.

Selain menjamin peluang pekerjaan dan kesejahteraan ekonomi untuk rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa beliau komited membanteras rasuah, jika tidak beliau tidak akan meraih keabsahan moral kerana melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang dilantik secara demokratik.

Untuk meyakinkan orang ramai, beliau perlu menunjukkan komitmennya menentang rasuah dengan membiarkan keadilan terlaksana – supaya Najib dan Rosmah Mansor, Tengku Adnan dan Zahid Hamidi disumbat ke penjara apabila mereka didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Masalahnya, mampukah beliau berbuat demikian tanpa diserang Umno?

Jika menanti keputusan mahkamah terlalu berisiko, adakah Muhyiddin akan memilih untuk memutuskan hubungan dengan Umno dan Bersatu pada masa yang sama sebelum pembesar-pembesar Umno sempat melawan?

Parti baharu?

Ada cakap-cakap kononnya Muhyiddin, Azmin dan Hishammuddin sedang mencuba untuk menubuhkan parti baharu. Bagi mereka, ini mungkin satu penyelesaian yang bijak untuk semua masalah di atas. Tidak perlu bimbang tentang pemilihan Bersatu, penyokong Azmin ada rumah baharu, dan puak Hishammuddin dapat menghadirkan sokongan sebenar yang diperlukan Muhyiddin.

Pun begitu, ada dua cabaran terhadap perancangan ini.

Pertama, Muhyiddin hanya memiliki sokongan 113 atau 114 kerusi, maksimum. Jika Ahli-ahli Parlimen parti-parti Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) dan Warisan, serta kumpulan Mahathir dalam Bersatu kekal bersama; Muhyiddin tiada ruang untuk berkuntau.

Jika Muhyiddin, Azmin dan Hishammudin berjaya memecahkan gabungan ‘Pakatan plus’ ini, mereka akan mampu menubuhkan parti baharu tanpa memerlukan puak Najib dan Zahid. Mengikut perkiraan mereka, barangkali masih perlu menggoda beberapa Ahli Parlimen PH untuk menyertai mereka.

Kedua, Muhyiddin mesti berhati-hati dengan Umno Johor. Pemimpinnya begitu bersemangat untuk mendapatkan semula kuasa yang mereka hilang dalam PRU lalu.

Nasihat saya buat Perdana Menteri (yang dahulunya saya bekerja begitu rapat bersama beliau, dan banyak berbincang dengan penuh jujur ketika kami bekerjasama dalam PH) ialah: Umno mungkin sahaja memperdaya beliau di Johor.

Pilihan raya mengejut di Johor mungkin mengakhiri hayat Bersatu di negeri itu, malah Muhyiddin juga mungkin kehilangan kerusinya di DUN Bukit Gambir.

Di tengah arus politik yang deras ini, Muhyiddin lah yang mungkin memulakan sesuatu untuk menewaskan lawannya dalam Umno. Atau mungkin Umno Johor yang memulakan serangan terhadap Perdana Menteri.

Bagi Pakatan Harapan dan rakan-rakan sekutu yang memilih untuk kekal bersama, seperti Warisan dan kumpulan pro-Mahathir dalam Bersatu; kita mesti kekal bersama. Rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan demi kerajaan yang bersih serta peluang ekonomi yang lebih baik akan terus menyokong kita.