"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH Johor cukup kerusi bentuk semula kerajaan

AMNI JAGAT
Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini yakin bahawa kerusi untuk mengambil semula kerajaan dari Perikatan Nasional (PN) mampu dilakukan.

Menurut Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata bilangan kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan itu sudah diperolehi dan hanya menanti waktu yang sesuai untuk membuat tindakan.

Tegasnya, sebelum ini perbezaan antara kerajaan PN dan PH di Johor hanya terpisah dengan satu kerusi dan ia menggambarkan kerapuhan sebuah kerajaan yang dibina oleh PN.

“Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini kita dapat lihat pergolakkan berlaku dan pastinya perkara itu terkesan di negeri ini.

“Hitungan serta susun gerak kerja yang dilakukan telah membuktikan bahawa kerajaan PN hari ini akan menjadi kerajaan terpendek dalam sejarah negeri Johor dengan kerapuhan dalam mereka membentuk kerajaan di negeri ini.

“Kita sudah kenal pasti beberapa Adun PN di Johor yang mampu untuk menunjukkan sikap berprinsip mempertahankan mandat rakyat bagi bertaut semula dengan PH di negeri ini.

“Senarai pendek yang diterima kita sudah cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan PH akan terbentuk semula di Johor dengan bilangan yang lebih stabil berbanding dengan kerajaan PN hari ini,” tegasnya ketika dihubungi.

Beliau ketika ditanya tidak menjawab Adun dari parti mana yang akan membuat tindakan menyokong PH tersebut namun dalam pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa PH sedia menerima mana-mana Adun dari PN yang mahu bersama.

“Kita hanya menegaskan bahawa bilangan itu cukup. Rakyat hanya perlu tunggu dan lihat keadaan ini berlaku.

“Kita tidak nafikan bukan sahaja Adun dari rakan lama PH sahaja yang akan menyokong PH malah ada juga dari kalangan parti-parti lain di kalangan mereka.

“PH bersedia untuk menerima sesiapa sahaja Adun dari PN bagi sama-sama menjalankan semula usaha memartabatkan rakyat setelah rakyat ditipu dengan janji manis mereka yang inginkan kuasa namun tidak memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi AMANAH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan dalam sidang media pagi tadi turut menyebut akan perkara tersebut.

“Berdasarkan kepada mandat rakyat, saya yakin dan percaya ada wakil rakyat (Adun) yang pro Tun M akan berpihak kepada kami (PH) dan Insya Allah dia akan bersama dengan kita.

“Pada kami, sekiranya Adun dari PKR yang menyokong PN sebelum ini mahu membuat keputusan bersama semula PH kami terima. Yang penting mereka sedar sekarang berlakunya kepincangan dalam pentadbiran dan sebagainya apabila kerajaan yang diambil hari ini secara tidak betul,” katanya.

Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno?

JEFRI MOHD NOR
Muhyiddin sedang memecat keluar Tun Mahathir dan 4 lagi untuk mendapatkan kuasa penuh dalam Bersatu. Dengan tersingkirnya karakter-karakter penting ini, Bersatu di peringkat akar umbi seakan lumpuh dan terpaksa akur dengan arahannya.

Dia juga sedang melumpuhkan Umno dengan membeli pimpinan Umno dengan jawatan menteri dan GLC. Kelak pemakan dedak ini pasti tidak akan membantah apa jua tindakan susulan yang lebih kurang sama dengan nasib Bersatu.

Apakah pukulan mati yang bakal menimpa Umno?

Kita semua tahu bahawa arahan pengharaman Umno dari RoS telah dikeluarkan kepada KDN tahun lepas tetapi ianya diperam supaya dapat digunakan apabila tiba masa yang tepat.

Kita juga tahu Muafakat Nasional berkeras untuk mengetepikan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam PRU akan datang.

Kes berprofil tinggi Najib, Zahid, Bung, Azeez dan lain-lain akan menyaksikan mereka merengkok ke dalam penjara satu demi satu seperti mematahkan lidi dari secekak penyapu.

Tanpa pimpinan ini, ahli Umno akan menjadi seperti kehilangan arah. Sekali gus dengan pengharaman Umno, Bersatu akan menjadi parti dominan yang akan menentukan calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 kelak. Struktur Umno bakal lumpuh dan dominasi Muhyiddin, Azmin dan Hamzah bakal menjadi penentu kepada pilihan raya tersebut.

Pas? Mereka cuma kucing kurap yang kenyang taburan dengan nasi basi kerana Pas bukanlah parti yang boleh pergi lebih jauh.

Scheme of things ini sedang dilaksanakan dengn sistematik dan bakal melihat Umno terperangkap di dalamnya. Kita lihat sekarang pun pimpinan tertinggi Umno seperti telah kehilngan cengkaman ke atas beberapa menteri kabinet seperti Annuar Musa, Ismail Sabri dan lain².

Nasib akar umbi Umno bakal menjadi lebih teruk dari akar umbi Bersatu yang sekarang telah kehilangan segalanya.

Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Peralihan kerajaan mungkin sebelum sidang parlimen pada Julai - Salahuddin

Geraldine Tong
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memberi gambaran bahawa Pakatan Harapan mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang, yang dijangka bermula pada Julai.

Salahuddin berkata demikian selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan dalam hantaran di Facebook bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat PH di Petaling Jaya petang tadi.

“Kita membincangkan beberapa agenda mengenai ... perjalanan ke Putrajaya, kita masih mempunyai peluang cerah untuk kembali ke Putrajaya.

"(Kita boleh) tunggu hingga parlimen bermula pada Julai atau kita boleh lakukannya sebelum tempoh tersebut.

"Saya rasa (mengambil alih kerajaan) di luar parlimen juga tidak mengapa, tidak bertentangan dengan perlembagaan," kata Salahuddin kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai mesyuarat tersebut hari ini.

Beliau berkata PH sudah memiliki jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru, yang menyebabkan mereka mengadakan beberapa mesyuarat sebelum hari ini lagi.

"Kami sudah mempunyai jumlah (sokongan). Saya rasa kita hanya akan memaklumkan keadaan kami terhadap Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa kita boleh melakukannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mereka memiliki sokongan 129 ahli parlimen atau tidak, seperti yang disebut-sebut di media sosial beberapa hari lalu, beliau hanya tertawa dan mengatakan itu hanyalah "khabar angin".

Salahuddin berkata bahawa beliau merupakan seorang yang praktikal dan merasakan PH perlu menentukan jumlah yang mereka ada sekarang dan bagaimana untuk terus ke hadapan.

Ditanya adakah ia bermakna mereka akan bertemu dengan Agong tidak lama lagi, Salahuddin tidak memberikan jawapan yang jelas.

"Tunggu dan lihat, okey. Kita memerlukan masa,” katanya.

Semalam, Anwar mengatakan bahawa jumlah sokongan dari 129 ahli parlimen itu masih belum dimuktamadkan.

Anwar juga berkata bahawa perkara itu tidak dibincangkan ketika mesyuarat bersama ahli parlimen PKR sehari sebelumnya, yang tidak menumpukan pada mendapatkan jumlah sokongan tersebut.

Spekulasi tersebar mengatakan bahawa PH, melalui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Warisan didakwa telah memperoleh sokongan daripada 129 ahli parlimen untuk merampas semula Putrajaya daripada PN.

Bagaimanapun, pembantu Mahathir, menafikan bahawa bekas perdana menteri itu bertemu dengan Agong pada Khamis.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari PH, sementara Azmin Ali dan 10 yang lain keluar dari PKR, melalui gerakan politik yang digelar "Langkah Sheraton".

Muhyiddin dan kumpulan Azmin kemudian bersama-sama dengan Umno, BN dan PAS membentuk kerajaan PN.

Sementara itu dalam sesi dialog yang disiarkan secara langsung Facebook malam ini, Salahuddin berkata gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

"Mungkin bermula di Johor, saya cukup optimis.

"Kenapa tidak kita mulakan Johor sebagai negeri yang akan buat suatu gegaran skala richter 7.3 untuk gegarkan politik Malaysia.

"Jadi segala-galanya boleh berlaku di Johor dan kami sekarang tengah usaha ke arah itu... Tunggu dan lihat. Dari arus Selat Tebrau akan membawa perubahan besar di Putrajaya," katanya.

PN mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, sementara PH menguasai 27 kerusi lain. Hanya satu pertukaran sokongan akan menyaksikan dewan undangan negeri tergantung.