"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengusaha bas buat laporan polis terhadap Belanjawan 2021 kerajaan PN

B Nantha Kumar

Selepas mendakwa gagal menyuarakan tuntutan terhadap Belanjawan 2021 kepada beberapa kementerian, termasuk Jabatan Perdana Menter (JPM), NGO pengusaha bas persiaran bertindak melapor polis.

Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia) yang memfailkan laporan di balai polis IPD Putrajaya hari ini berkata belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu tidak memberi sebarang manfaat kepada pemilik bas persiaran.

Difahamkan ia laporan polis pertama terhadap Belanjawan 2021.

Presiden GAPP, Abdul Aziz Ismail Gani dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini mendakwa kerajaan enggan melayan tuntutan pihaknya sebelum ini untuk membantu lebih 6,800 pemilik bas persiaran seluruh negara yang hilang punca pendapatan sejak Februari akibat pandemik Covid-19.

"Sejak Mei 2020, kami telah pergi ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan beberapa kementerian lain menyerahkan surat memohon kerajaan prihatin arahkan syarikat kredit di bawah Akta Sewa Beli 1967 memberi moratorium atau pengecualian bayaran balik pinjaman berjadual kepada pegusaha bas.

"Tiada sebarang tindakan diambil terhadap surat-surat kami yang diserahkan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Manusia dan KPDNHEP.

"Sepatutnya, pihak kerajaan sebaiknya mengambil tindakan berbincang dengan pihak kami bagi menyelesaikan isu ini sebelum membuat Belanjawan 2021," kata Aziz dalam laporan tersebut.

Sebelum ini, GAPP Bas Malaysia telah membuat tiga tuntutan kepada kerajaan PN dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November yang lalu.

Antaranya, bank-bank yang diuruskan oleh kerajaan mengambil alih pinjaman kami daripada syarikat-syarikat kredit yang dianggarkan antara RM1.2 bilion hingga RM2.5 bilion.

Kedua, pengecualian cukai jalan dan permit bas serta 50 peratus diskaun insurans untuk semua bas persiaran selama dua tahun.

Ketiga, dana khas RM50 juta kepada pengusaha bas persiaran untuk melanjutkan kelangsungan kehidupan.

Aziz mendakwa bahawa Belanjawan 2021 anak tirikan pengusaha bas persiaran.

"Gabungan kami melihat Bajet 2021 sama sekali tidak membantu industri bas kecuali bas henti-henti.

"Kami rasakan kami dianaktirikan oleh kerajaan walaupun kami di sektor pelancongan telah menyumbangkan pendapatan kedua tertinggi di dalam negara.

"Pengecualian cukai pembelian bas baru yang ditawarkan tidak bermanfaat pada masa kini sedangkan kami sendiri tidak mampu membayar bayaran ansuran bas sedia ada," katanya lagi.

Tambahnya, GAPP Bas Malaysia akan membuat demonstrasi besar-besaran dalam masa terdekat sekiranya suara mereka gagal mendapat tumpuan kerajaan.

Tolak Belanjawan 2021 demi selamatkan rakyat

SHAHBUDIN HUSIN 

Majoriti rakyat secara umumnya menolak tiga perkara berikut sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021, 6 November lalu.

Pertama, rakyat menolak dan tidak gembira dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah maksimum RM10,000.

Kedua, rakyat juga menolak, kecewa dan tidak gembira kerana kerajaan enggan melanjutkan moratorium pinjaman bank antara tiga hingga enam bulan lagi.

Ketiga, rakyat turut menolak, kecewa dan marah dengan keputusan kerajaan mahu menghidupkan semula Jasa serta memberi peruntukan besar untuk jabatan itu memulakan operasinya tahun depan sebanyak RM85.5 juta.

Tanpa ragu-ragu, boleh dikatakan lebih 90 peratus rakyat didapati menolak tiga perkara di atas, malah ia juga dipercayai akan menjadi inti perbahasan Ahli-Ahli Parlimen PH, BN dan lain-lain yang sealiran dengannya yang bermula hari ini.

Dalam erti kata lain, penolakan itu adalah suara besar rakyat yang jelas tidak setuju dan ia boleh didengar di mana-mana – di kedai kopi, lobi hotel, dalam perbualan suami isteri di meja makan, dalam media sosial dan sebagainya.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong ada bertitah agar Belanjawan 2021 diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen, tetapi asas baginda mengeluarkan titah demikian tentulah dengan harapan agar kepentingan dan keperluan rakyat sentiasa diambil kira oleh kerajaan.

Ternampak sekarang, di sebalik titah Agong itu, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin seolah-olah cuba mengambil kesempatan daripadanya dengan merangka belanjawan yang tidak berpihak kepada rakyat, bahkan lebih menjurus kepada agenda politik peribadi.

Bagi Ahli-Ahli Parlimen pula, oleh kerana mereka sendiri dipilih oleh rakyat, sudah tentulah mereka akan dianggap songsang jika menyokong Belanjawan 2021 yang nyata tidak disukai rakyat.

Keutamaan bagi Ahli-Ahli Parlimen ialah mereka berperanan melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat dan menolak perkara-perkara lain yang tidak dipersetujui rakyat.

Jika mereka menyokong juga perkara yang tidak dikehendaki rakyat, kemungkinan mereka ditolak dalam PRU seterusnya adalah cerah sekali.

Tidak guna sebenarnya bagi Ahli-Ahli menyokong Belanjawan 2021 ini jika hasilnya tidak memberi manfaat, malah terus menjadikan kehidupan rakyat dalam derita yang lebih panjang.

Untuk itu, adalah penting bagi Ahli-Ahli Parlimen berbahas secara kritikal, mengemukakan cadangan yang pro rakyat serta mengambil sikap berani menekan kerajaan agar tiga perkara di atas yang ditolak rakyat itu dapat ditarik balik oleh kerajaan sebelum hari pengundian.

Jika kerajaan berkeras juga mahu melaksanakannya, maka pilihan yang ada ialah menolaknya ketika pengundian diadakan.

Bukan saja Ahli-Ahli Parlimen PH, BN dan lain-lain yang harus menolaknya, bahkan mereka daripada kelompok PN sendiri pun seharusnya berani mengambil pendirian yang sama.

Hanya dengan sikap sedemikian, Ahli-Ahli Parlimen benar-benar akan dilihat berperanan secara terpuji untuk kepentingan rakyat serta layak digelar wakil rakyat.

Buat apa menyokong Belanjawan 2021 yang dalam waktu yang sama sokongan itu juga bererti memanjangkan lagi hayat politik Muhyiddin, sedangkan tindakan sedemikian boleh menyebabkan kemarahan serta kebencian rakyat.

Menolak belanjawan yang tidak memberi manfaat rakyat bukanlah bermakna Ahli-Ahli Parlimen ingkar kepada titah Agong, malah lebih untuk mengutamakan rakyat yang berada di bawah naungan Agong itu sendiri.

Lagi pula, untuk jangka panjang, yang lebih diperlukan oleh Ahli-Ahli Parlimen ialah sokongan dan berbuat apa yang disukai rakyat, bukannya menyukakan hati Muhyiddin.

Sama ada dengan penolakan Belanjawan 2021 akan menyebabkan sebuah kerajaan baru dibentuk atau PRU mengejut terpaksa diadakan, mereka yang bersikap mengutamakan rakyat pasti sentiasa ada dalam hati dan jiwa rakyat, selain tiga perkara yang menjadi kebencian itu dapat diubahsuai segera.

‘Hutang kerajaan akan jadi RM1.3 trilion, macam mana nak bayar?’

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa curiga terhadap unjuran kerajaan berkenaan pemulihan ekonomi tahun depan.

Kerajaan meramal pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar 4 ke 7.5 peratus.

Tetapi menurut Mahathir, ramalan ini “terlalu optimistik”, dengan hutang kerajaan dijangka mencecah RM1.3 trilion selepas pinjaman untuk melaksanakan belanjawan.

“Hasil kerajaan pasti menyusut semasa wabak ini. Tetapi kerajaan perlu tawarkan pakej rangsangan. Ini menelan banyak wang.

“Tambahan pula, kerajaan perlu membayar pinjaman dan mengurangkan wang pokok (pinjaman).

“RM35 bilion diperlukan untuk ini. Jumlah perbelanjaan caj ialah RM72.3 bilion, atau 30.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus RM236.5 bilion.

“Saya harus akui, saya betul-betul takut. Ini ialah belanjawan gergasi, tetapi bolehkah kita cari duit untuk membiayainya? Hutang kerajaan akan menjadi RM1.3 trilion.

“Macam mana kita nak bayar?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil kerajaan akan menyusut setelah perniagaan yang terjejas tidak dapat membayar cukai, atau membayar kurang kepada kerajaan.

Katanya, prestasi Petronas dan industri pelancongan adalah tidak memberangsangkan dan ini memberikan kesan kepada hasil kerajaan.

“Semua industri teruk terkesan. Saya tak fikir cukai korporat dan cukai pendapatan akan dapat mencapai separuh pun daripada angka normal ketika waktu biasa,” katanya.

Tegas Mahathir, pemulihan ekonomi tidak akan terjadi dalam kadar segera - sebaik negara memasuki tahun 2021.

“Bukan polisi yang menumbuhkan ekonomi, tetapi pelaksanaan polisi (itu sendiri).

“Pernah terjadi, projek berbilion ringgit tetapi tertangguh beberapa tahun.

“Kalau pelabur desak, dia akan berdepan penangguhan yang lebih lama lagi.

“Jadi janganlah sangka sebaik tiba 1 Jan, industri akan mula berjalan semula atau dilancarkan.

“Angan-angan bahawa pemulihan ekonomi akan berlaku segera sebaik wabak Covid-19 diatasi, tidak akan berlaku.

“Wabak ini takkan berakhir menjelangnya tahun baru,” tambahnya.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat ke RM236.9 bilion, berbanding jangkaan RM227.3 bilion untuk tahun ini.

Penganalisis juga turut menegaskan bahawa unjuran pertumbuhan KDNK antara 6.5 ke 7.5 peratus adalah tidak realistik.