"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH sangat penting kepada gabungan pembangkang

FAZLI RADZI 

Sebanyak 62 peratus daripada 204 pendengar stesen radio BFM 89.9 menyifatkan AMANAH sangat penting dan agak penting kepada gabungan pembangkang.

Undian tertinggi sehingga dua jam lalu tersebut mendapati 37.7 peratus responden menganggap AMANAH “sangat penting” diikuti 24.5 peratus memilih “agak penting”.

Reaksi tersebut sebagai menjawab soalan berbahasa Inggeris bermaksud, “Seberapa penting AMANAH kepada gabungan pembangkang?”

Dalam tempoh sama juga, 23 peratus daripada responden dalam tinjauan menerusi Twitter saluran radio berkonsepkan urban itu mengundi “tidak penting” manakala 14.7 peratus lagi “tidak pasti”.

Rata-rata komentar kepada soalan itu juga menyatakan AMANAH penting dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyatukan parti pembangkang.

Pengguna Twitter, Aiman Abdullah berpendapat AMANAH tidak relevan sebagai parti yang berdiri sendiri sebaliknya memainkan peranan penting untuk meraih undi bagi blok pembangkang.

“AMANAH penting bagi pengundi yang tidak puas hati dengan Pas tetapi mungkin masih mempercayai nilai-nilai intinya yang konservatif.

“Ia (AMANAH) bertindak sebagai penyeimbang ke arah sekularisme PKR / DAP,” katanya.

Sementara itu, pemilik akaun Twitter atas nama dperantauan menyifatkan AMANAH sangat penting sebagai penyatu parti pembangkang.

“Mereka (AMANAH) telah menunjukkan kualiti dan kemampuan mereka pada fasa awal PH iaitu semasa perundingan kerusi.

“AMANAH terus menunjukkan hati mereka yang besar dalam memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Tidak kurang juga yang berpendapat AMANAH relevan kepada blok pembangkang kerana komited untuk melakukan pembaharuan berbanding parti dan gabungan sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BFM adalah stesen radio yang dapat didengar pada frekuensi 89.9 MHz di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, dan sebahagian Negeri Sembilan dan Melaka.

Pejuang, PKR letak syarat pada idea gabungan besar pembangkang

Malaysiakini 

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PKR meletakkan syarat berdasarkan pendirian parti berikutan keinginan Amanah ingin menyaksikan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim bergandingan sekali lagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya parti itu terbuka dengan sebarang cadangan tetapi enggan menyokong sekiranya kerjasama tersebut melibatkan golongan kleptokrat.

"Pejuang juga terbuka terhadap apa-apa cadangan termasuk mahu menjalinkan kerjasama tetapi pendirian kami jelas iaitu atas matlamat untuk memastikan negara bersih dari rasuah.

"Kami tak akan beri apa-apa sokongan sekiranya ada kerjasama dengan kumpulan sama ada penyokong kleptokrat. Kita lawan rasuah dan tak nak negara hancur," katanya lapor BH Online.

Pada 26 Dis lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapan dasarnya di Konvensyen Amanah menyentuh mengenai cadangan gabungan besar antara parti pembangkang untuk menghadapi PRU ke-15.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata untuk merealisasikan perkara itu, perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti yang dijanjikan selepas Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14 perlu dikotakan.

"Kembali kepada perjanjian asal! Mandat rakyat sewaktu PRU ke-14 jelas. Menyokong DSAI (Anwar) untuk memimpin negara selepas Dr Mahathir.

"Justeru, saya percaya Amanah boleh meyakinkan Mahathir untuk mendukung segala usaha DSAI mengembalikan semula mandat rakyat dan terus memimpin pakatan pembangkang pada waktu ini," kata Shamsul.

DAP dan Amanah sebelum ini menggesa anjakan politik baru dilaksanakan dalam pembangkang selepas kerajaan PH - yang mendapat mandat daripada rakyat pada 2018 - dijatuhkan. 

Gabungan politik besar bermakna PH menjalinkan kerjasama dengan pembangkang yang lain seperti Pejuang, Warisan, Upko, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Muda.

Turki sahkan vaksin China berkesan

Bernama

BEIJING: Turki mengesahkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan China terbukti selamat dan berkesan memberi perlindungan sekali gus membolehkan program vaksinasi dimulakan.

Menteri kesihatan negara itu, Fahrettin Koca dalam sidang media pada Khamis berkata, vaksin keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech didapati mempunyai tahap keberkesanan 91.25% untuk mencegah jangkitan virus berkenaan dan tidak menyebabkan tindak balas bahaya.

Keputusan itu dibuat berdasarkan analisis awal terhadap data dikumpul menerusi ujian klinikal vaksin percubaan membabitkan sukarelawan.

Difahamkan, kumpulan pertama bekalan vaksin China sebanyak tiga juta dos dijangka tiba di Turki dalam masa terdekat.

Program vaksinasi fasa pertama akan dilakukan menyasar seramai sembilan juta orang dengan keutamaan kepada golongan berisiko tinggi dijangkiti seperti petugas perubatan.