"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah jadinya dibiarkan orang tak cerdik buat kerja

Kawat berduri di tangga diarah buka serta-merta

Ekhwan Haque Fazlul Haque

Pemasangan kawad duri di PPR yang dikenakan PKPD dibuka semula.

Kuala Lumpur: Kawat duri yang dipasang di tangga blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini, diarah untuk dibuka serta-merta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemasangan kawat duri itu tidak dibenarkan di rumah pangsa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, pemasangan itu juga melanggar peraturan bangunan dan pihak berkuasa sudah diarahkan membuka kembali kawat duri.

"Kawat berduri tidak dibenarkan dipasang pada tangga rumah pangsa kawasan PKPD. Arahan buka serta-merta sudah dikeluarkan.

"Pemasangan yang merentasi tangga flat (rumah pangsa) tidak dibenarkan dan melanggari peraturan bangunan," katanya dalam hantaran Twitter, malam ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan pemasangan kawat duri itu juga sudah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD kawasan berkenaan yang bermula hari ini.

Katanya, pemasangan kawat duri di laluan tangga Blok C bagi mengelak penduduk daripada keluar masuk dari kediaman masing-masing.

"Terdapat laluan lain yang boleh digunakan penduduk blok berkenaan bagi tujuan keluar dari blok sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

"Sekiranya berlaku kecemasan, pihak ATM berkemampuan untuk membuka kawat duri dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

----------

Bomba tak pernah benarkan kawat berduri di tangga PPR - Ketua pengarah

Alyaa Alhadjri

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid menafikan bahawa pihaknya memberi kebenaran untuk pemasangan kawad berduri di tangga di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur.

"Siapa yang berikan kebenaran? Bomba tak pernah berikan kebenaran.

"Menyekat cara melepaskan diri dari kecemasan di mana-mana premis adalah bertentangan dengan Peraturan Keselamatan Kebakaran & Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam.

"Kami tidak pernah dirunding untuk meletakkan kawad berduri di jalan keluar dengan cara itu.

"Akan berbahaya bagi penduduk sekiranya berlaku kebakaran," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Hamdan diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah yang mendakwa pemasangan kawat tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang turut dihadiri bomba.

Ashari berkata, pemasangan kawat berduri di laluan tangga blok tersebut bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada di bawah PKPD.

Kenyataan Ashari itu dibuat selepas timbul kebimbangan berikutan beberapa gambar yang diambil oleh agensi berita nasional Bernama dan dikongsi di media sosial, termasuk gambar menunjukkan kawat berduri menghalang akses ke alat pemadam kebakaran yang dipasang di dinding bangunan.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, tindakan segera telah diambil untuk membuang kawat berduri berkenaan. 

"Malah pengarah Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur datang untuk memantau kawasan perumahan itu bersama anggota dari stesen Taman Melawati," tambahnya.

Seorang arkitek, Azizul Azwar Abdul Aziz semalam menjelaskan bahawa saiz  dan jumlah tangga direka bagi memastikan semua penduduk boleh keluar dari bangunan jika berlaku kebakaran.

Walaupun polis berkata terdapat tangga lain yang tidak disekat, Azizul berkata, sekatan ke mana-mana tangga di sebuah bangunan boleh menyebabkan kesesakan di tangga lain yang tidak disekat, terutama ketika berlaku kebakaran.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menerusi Twitter berkata kawat berduri tidak boleh dipasang di tangga mana-mana flat PPR yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur.

Pertemuan misteri di Jalan Bellamy

Malaysiakini

Ada pertemuan luar daripada kebiasaan di kalangan pemimpin tertinggi kerajaan di Kuala Lumpur malam tadi, menjelang pertembungan antara Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlaku minggu depan.

Pertemuan itu berlaku di sebuah banglo dekat Jalan Bellamy - sebuah kawasan hijau yang sunyi, dipenuhi bangunan milik kerajaan dan berdekatan Istana Negara lama.

Sejumlah kereta mewah, kebanyakannya Toyota Vellfire - antara kegemaran elit politik, dilihat dalam kawasan bangunan tersebut.

Dua kereta rasmi yang digunakan timbalan menteri juga dilihat di situ.

Malaysiakini mengenal pasti sekurang-kurangnya seorang timbalan menteri, seorang menteri dan seorang ahli Parlimen yang juga ketua GLC di situ.

etiga-tiganya dipercayai ahli Parlimen Umno yang tidak menyokong presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran media tidak dialu-alukan semalam. Seorang polis pengiring kemudian memberitahu pemberita Malaysiakini untuk beredar.

Pertemuan ini dipercayai sebagai respons kepada spekulasi yang Zahid merancang untuk menarik balik sokongan Umno daripada PN minggu depan.

Permainan angka

Zahid diberi kuasa untuk berbuat demikian oleh perwakilan perhimpunan agung Umno - badan membuat keputusan tertinggi dalam parti - pada Mac lalu.

Sejumlah sumber memberitahu Malaysiakini yang Zahid mendapat sokongan majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) dan kini dalam usaha mendapatkan komitmen bertulis daripada ahli Parlimen Umno.

"Sebab rasmi" untuk menarik sokongan itu adalah keengganan PN mematuhi kata dua Umno - dengan tempoh 14 hari dan tamat Isnin ini - agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen kembali bersidang "secepat mungkin".

Umno memiliki 38 ahli Parlimen. Kini hanya dua orang, iaitu Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), yang tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini bermakna di atas kertas Muhyiddin memiliki sokongan 113 ahli Parlimen. Memandangkan dua kerusi kini kosong, dia hanya memerlukan 111 undi untuk meluluskan sebarang usul apabila Parlimen kembali bersidang.

Sumber membayangkan kira-kira 24 ahli Parlimen Umno - termasuk menteri dan timbalan menteri - ada dalam pertemuan semalam.

Siapa ketua?

Sementara identiti mereka tidak jelas sepenuhnya, perkembangan mutakhir membayangkan dua tokoh Umno memainkan peranan sebagai "ketua tidak rasmi".

Pada 23 Jun lalu, Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) mendakwa Hishammuddin Hussein (Sembrong) mendapat sokongan 25 ahli Parlimen BN untuk menjadi wakil mereka bagi menghadap Agong.

Ini bermakna sekurang-kurangnya 21 ahli Parlimen Umno menyokong Hishammuddin yang juga bendahari BN, pada masa sama mengetepikan Zahid yang merupakan pengerusi gabungan itu.

Hishammuddin tidak menafikan dia mewakili 25 ahli Parlimen tersebut.

Satu lagi suara tidak rasmi yang bertentangan dengan Zahid adalah Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno. Pada 22 Jun, dia menjarakkan diri daripada kata dua yang dikeluarkan MT.

Sehari kemudian, dia dikaitkan dengan satu kenyataan yang mendakwa "semua ahli Parlimen BN" tidak akan menyokong usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Pasukannya kemudian menarik balik kenyataan itu. Satu kenyataan baru dikeluarkan dengan kandungan hampir serupa, tetapi mensabitkan "semua ahli Parlimen BN".

Hishammuddin dan Ismail adalah dua daripada tujuh menteri Umno. Dipercayai tiada seorang pun di kalangan mereka bersekutu dengan Zahid.

Tambahan pula, dipercayai pertemuan semalam berlaku di banglo milik kerajaan dan dapat diakses oleh seorang menteri kabinet.

Sidang Parlimen ada agenda peribadi Anwar?

DR SHAHNOR BASRI

Penulis berasa hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu mengenai desakan Ketua Pembangkang supaya parlimen bersidang dengan mahukan pula satu jaminan supaya tiada agenda peribadi jika parlimen diizin bersidang.

Sedangkan desakan supaya persidangan parlimen berlangsung bukan sahaja desakan Ketua Pembangkang, malah turut menyuarakan dengan tegas supaya parlimen bersidang adalah juga oleh Mantan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut menyuarakan supaya parlimen bersidang dan mahukan juga keabsahan Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri adalah ahli politik berpengalaman Tengku Razaleigh Hamzah!

Boleh dikatakan semua pimpinan yang prihatin dengan suasanan negara dan kemelaratan yang menimpa rakyat mahukan parlimen bersidang supaya semua hal berkait dengan strategi menghadapi pandemik Covid-19, perancangan mengenai ekonomi negara dan membetulkan suasana tidak menentu oleh kerana pendekatan rapoh kerajaan yang menjadi beban kepada rakyat (PKP, PKPP, Darurat & Lockdown).

Adakah DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah juga mempunyai kepentingan dengan menitahkan supaya Parlimen bersidang? Nampak sangat desparadonya kepimpinan Bersatu untuk memastikan agar parlimen tidak bersidang.

Apakah fungsi parlimen? Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang-undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan cukai yang baru.

Parlimen bukan untuk kepentingan atau agenda peribadi? Yang penulis lihat adalah supaya parlimen tidak bersidang itulah agenda peribadi, menolak kepentingan rakyat, membunuh demokrasi dan kehalobaan terhadap kekuasaan.

Fungsi parlimen terutama dalam menghadapi pandemik ini, selaras dengan titah Duli Raja-Raja Melayu untuk memastikan dasar kerajaan sekarang disemak imbang dengan teliti, membincangkan dan membahaskan perkara berkait dengan proklamasi darurat, membahas pelan pemulihan yang sangat pincang seperti diluncurkan oleh Perdana Menteri, samada menerima atau menolak atau merangka satu pelan bersama antara anggota parlien, menyemak semula penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara supaya ia selaras dengan kehendak undang-undang dan perlembagaan.

Terlalu banyak yang perlu dibahas di parlimen. Di antara yang perlu diteliti juga oleh ahli-ahli parlimen adalah kajian oleh majalah The Economist yang telah merumuskan kedudukan Malaysia tercorot dalam mengukur sejauh mana prestasi negara untuk kembali kepada keadaan normal selepas wabak Covid-19.

Ini satu hasil kajian yang amat kritis dan perlu di bahas serta tidak boleh dikesampingkan. Jika benar rumusan kajian tersebut maka apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya dengan kadar segera. Faham atau tidak? SEGERA!

Indeks ini adalah hasil kajian terhadap kesediaan dan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pasca Covid-19 dengan memberikan rumusan berbentuk amaran bahawa negara berada dikedudukan tercorot. Ini menggambarkan kemampuan negara untuk kembali normal lepas Covid-19 dan menggambarkan kegagalan pendekatan kerajaan. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia amat terkait dengan pelan pemulihan yang diheboh-hebohkan oleh kerajaan.

Rumusan The Economist ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja atau dilihat remeh kerana rumusannya menunjukkan Malaysia amat ketinggalan berbanding Indonesia, Singapura dan Filipina.

Berhentilah dari menipu rakyat tanpa fakta dan data-raya yang tepat. Janganlah kaburi rakyat dengan perlbagai ucapan manis sedangkan hakikatnya apa yang dipersembahkan tidak berasaskan kajian yang komprehensif terhadap data-raya (big data) jangkitan dan kesembuhan. Indeks yang hasil oleh kajian The Economist adalah amaran untuk ahli parlimen membahaskannya dengan terperinci strategi pasca Covid-19 dan memberikan rumus penyelesaian.

Fasa-fasa yang dibentang oleh PM tidak mempunyai apa-apa makna kerana ia tidak mempunyai strategi yang mantap dan gerak-kerja yang mampan. Parlimen perlu membahaskannya.

Oleh itu parlimen sudah pasti bukan untuk agenda peribadi tetapi agenda rakyat. Jika terpaksa berlaku undi percaya atau tidak percaya untuk keabsahan sesebuah kerajaan, maka itu juga bukan agenda peribadi tetapi agenda rakyat!

Jika Ketua Pembangkang mempunyai agenda peribadi sudah pastilah tidak berlaku peristiwa 2 September 1998 dan beliau boleh memilih untuk tunduk kepada bekas mentornya! Tiada sehiris keperluan pun bagi Ketua Penerangan Bersatu mempersoal kredebiliti Ketua Pembangkang.