"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Benteng terakhir’ dirempuh pemberontakan derhaka kerajaan Mahiaddin

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Krisis Perlembagaan yang berlaku hari ini tercetus apabila Ordinan Darurat yang sepatutnya dibawa ke Parlimen seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya dibahaskan, dibatalkan secara pintu belakang.

Sesuai dengan amalan demokrasi berparlimen, apa yang dibawa untuk kelulusan Parlimen perlu dibahaskan terlebih dahulu oleh wakil-wakil rakyat.

Memang semua yang di bawa ke Parlimen perlu dibahas bukan untuk maklum sahaja.

Itu yang di minta Tuanku Agong. Masalahnya, kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin enggan membenarkannya.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, yang telah memaklumkan YDPA perkenan pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen pada 26 Julai, telah dinafikan oleh YDPA.

Perdana Menteri pula menyanggah dengan kasar kenyataan Istana Negara yang diikuti dengan kenyataan dari Tuanku Agong mengulangi tiada perkenan persetujuan telah diberi.

Ini adalah pertembungan luar biasa di antara Tuanku Agong yang mempertahankan hak rakyat dan kerajaan Mahiaddin Yassin yang pekakkan telinga untuk membenarkan suara rakyat dibawa ke parlimen.

Apa yang lebih luar biasa adalah tindakan tidak beradab kerajaan Melayu Islam yang menyanggah secara keras titah Agong dengan penuh ironi.

Pertamanya, kerajaan Melayu Islam ini telah melanggar adat Melayu Islam sendiri dengan memilih pertembungan terbuka dengan Istana setelah secara terang cuba berbohong di siang hari mendapat perkenan Tuanku Agong.

Ironinya seorang penulis media sosial yang bukan berketurunan Melayu, dan bukan juga beragama Islam, telah menasihatkan kerajaan  supaya “dont wash dirty linen in public” supaya perkara kelemahan dalaman kerajaan jangan bertikai secara terbuka.

Orang bukan Melayu Islam lebih memahami adat serta akhlak terpuji daripada mereka yang menggelar diri pendokong nilai Melayu Islam.

Ironi keduanya apabila Takiyuddin Hassan yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas berhujah justifikasi tidak perlu perbahasan Ordinan Darurat di Parlimen, beliau telah melambaikan dua buku kecil peraturan Parlimen peninggalan pengaruh penjajah British.

Takiyuddin minggu lepas melambaikan dua buku kecil peraturan Parlimen peninggalan pengaruh penjajah British.

Pas dahulu mengutuk sekeras-kerasnya undang-undang dan peraturan penjajah dan menuntut kembali kepada Islam sepenuhnya.

Hari ini buku pengaruh peninggalan penjajah British itulah yang diguna untuk menyerang Agong yang merupakan ketua Agama Islam Malaysia.

Apa telah terjadi kepada janji Pas untuk menjadikan al-Quran sebagai sumber asas segala perundangan dan peraturan seperti RUU 355, hudud, isu judi dan arak?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak bertahun-tahun menghasut yang musuh Islam beragama lain anti Raja Raja dan pentingnya umat Islam Melayu taat setia kepada Ulul Amri kita iaitu Raja Raja kita.

Lebih menampakkan hipokrasi, setelah Mahiaddin menyanggah secara terbuka dan biadap kenyataan Istana Negara, Parti Islam se Malaysia – Pas – secepat kilat kurang daripada 24 jam mengisytiharkan berdiri teguh bersama Mahiaddin bertembung dengan Istana.

Parti bukan Melayu Islam lain seperti MCA dan MIC, yang dahulunya Pas tuduh memusuhi Islam hanya menyatakan sokongan kepada Mahiaddin selepas dua hari kemudian.

Pas telah menjadi contoh yang mendahului untuk MCA dan MIC mengikuti dalam penderhakaan kepada instituisi Raja Raja Melayu kita yang ingin memelihara hak rakyat bersuara di Parlimen.

Pelbagai cara dan usaha kerajaan Mahiaddin yang cuba menegakkan benang yang basah, dan cuba menutup peluang suara rakyat didengari di Parlimen semasa pandemik Covid-19 makin mengganas negara dan dunia.

Mengekalkan kerajaan yang gagal oleh mereka lagi penting dari nyawa rakyat yang dikorbankan demi kerakusan kuasa.

Undang-undang juga telah diseleweng secara terang terangan, Parlimen yang asalnya patut “bersidang” selama lima hari ditutup rapat tidak dibenarkan bersidang esok hari semasa wabak Covid-19 makin mengganas meragut nyawa tanpa perancangan teratur oleh kerajaan hari ini.

Kini Raja-Raja Melayu kita pula, yang merupakan benteng terakhir yang ingin membenarkan suara rakyat didengari di Parlimen, sedang dirempuh dengan pemberontakan derhaka penuh biadap serta kasar oleh kerajaan Mahiaddin.

Semoga Allah selamatkan Malaysia dari malapetaka yang lebih besar.

(Gambar) Apakah menteri boleh ziarahi kubur?

MALAYSIA DATELINE

Selepas kantul melangar SOP dengan makan di kedai beramai-ramai, sekali lagi Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dipercayai melanggar SOP yang dibuat oleh kerajaan apabila beliau memuat naik menziarahi kubur ibu dan ayahnya.

Ini kerana sebelum ini, seorang lelaki telah didenda RM2,000 kerana menziarahi kubur ketika Aidil Adha.

Namun selepas beberapa hari berlalu, sehingga kini belum ada laporan tentang Annuar samada sudah diambil sebarang tindakan kerana kes makan beramai-ramai di kedai makan atau menziarahi kubur.

Inilah yang dibangkitkan oleh para netizen dalam posting mereka di media sosial.

Ammar Ghadafi menulis, “Boleh pula Menteri ni ziarah kubur??Haritu rakyat marhaen ziarah kubur kena denda Rm2k…takpelah maybe pak menteri banyak duit boleh bayar denda kot…hu hu”

Hamdan Taha pula menulis, “Menteri ni kira bagus orangnya dia melawat kubur dan di ambil gambar letak pulak dalam FB….walaupun sop melawat kubur ini dah tak ada barangkali dan bukan satu kesalahan kerana sebelum ini ada rakyat yang di denda kerana ziarah perkuburan….

“Tatapi secara peribadi dia ni menteri tokoh hebat pulak tu…ada lah lebih baik tak payah lah dimasukkan semua benda dalam FB yang boleh mengundang kemarahan dan provokasi yang tak baik buat dia….

“Nak doa ni buat senyap senyap sudah lah…pergi kubur tunjuk satu dunia…berhibur tak pula tunjuk satu dunia…buat senyap-senyap….contoh bukan dia ni tapi adam.”

Sebelum ini, polis telah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara samada Annuar perlu dikenakan tindakan atau tidak. Namun sehingga kini belum ada laporan ada sebarang tindakan telah diambil terhadap beliau.

21 Julai lalu, di Jempol, Negeri Sembilan, seorang lelaki di kompaun RM2,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan ziarah kubur sempena Aidiladha.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan oleh pasukan khas pematuhan SOP fasa satu perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) jam 11.40 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13 di sini.

Waspada rampasan kuasa Umno

IPOH MALI

1- Bila keluar kenyataan dari Istana, Titah YDP Agong tengahari kelmarin, ramai dari kalangan pemimpin dan penyokong PH sangat teruja. Memang benar, ia seakan satu krisis besar perlembagaan, lebih teruk ia melibatkan pembohongan besar Kerajaan di Dewan Rakyat melibatkan Istana.

2-Kelihatan kedudukan PM Mahiaddin kini di hujung tanduk.. Ikutkan krisis perlembagaan sebesar ini, jika Mahiaddin tidak meletak jawatan, setidaknya Takiyuddin mesti mengambil tanggungjawab meletak jawatan.. Cara terbaik, melakukan undian percaya di dewan Rakyat..

3- Seperti aku tulis sebelum ini, Umno kini di landasan yang tepat untuk rampasan kuasa. Keputusan Mesyuarat Majlis tertinggi Umno bulan lepas menarik sokongan kepada Mahiaddin dan mengekalkan sokongan kepada PN adalah satu dari plot dan strategi dalam rencana ini.

4- Biarpun kedudukan sokongan gagasan pembangkang itu besar, tetapi tidak solid dan bersatu sesama mereka, Ia sebenarnya membuka ruang kepada Umno. Perlantikan Ismail Sabri Sebagai TPM meletakkan kedudukan mereka, hanya satu langkah lagi melengkapkan semua langkah politik mereka.

Jika tidak ada ketentuan politik, Ismail Sabri boleh dilantik sebagai PM Interim dalam tempoh penggal yang berbaki oleh istana berdasar kedudukannya dalam kerajaan.

5- Sebenarnya siapa yang baca kenyataan Najib 2-3 hari lepas satu hint telah diberikan.. Ia diulang lagi Najib hari ini..

Begitu juga kenyataan Presiden Umno, dan kenyataan Ismail Sabri kali ini lebih jelas. Tiba tiba Ismail Sabri memberikan gambaran Kerajaan PN masih mempunyai Sokongan kukuh.

6- Harus diingat, Ismail Sabri dalam Kenyataan dia..Dia tidak mengatakan Mahiaddin masih mendapat kepercayaan majoriti MP.

Tetapi yang masih mendapat sokongan adalah Kerajaan PN, dan kenyataan ini diulang Najib dalam sidang media dia petang kelmarin ketika mendesak Mahiaddin meletak jawatan. Ia senada dan seirama, kebetulan keduanya dari Pahang. Belajar dari kelicikan dan tipudaya Umno di Perak.

7- Jadi Pemimpin PH dan Gagasan Rakyat Bersatulah.. Jangan buka ruang untuk sekali lagi Umno berkuasa. Siapa yang ikuti kenyataan Lokman Noor Adam sejak tahun lepas, mereka memang merencanakan sebuah Mageran, dan PM Interim itu mesti datang dari Umno sementara menunggu pilihanraya.. seakan ianya semakin dekat.

8- Bagi pemimpin PH, perpegang kepada prinsip demokrasi beparlimen, jangan terlalu bermain dengan naratif “DERHAKA”.. risau nanti kena Checkmate..

Tindakan Ketua Pembangkang, Ds Anwar Ibrahim melakukan undi tidak percaya itu tepat..dan jika Mahiaddin terpaksa meletak jawatan, seorang calon PM dan kerajaan yang kukuh diperlukan dan mesti dipilih melalui proses Parlimen.

Bukan PM Interim pilihan Istana sekali lagi.. oleh itu junjunglah Prinsip Raja Berpelembagaan..

9- Jadi bersama lah demi rakyat dan negara, bina Kerajaan Perpaduan yang kukuh biarpun siapa pun Perdana Menterinya asalkan bukan datang dari Umno.. Jangan pula sampai waktunya sentimen derhaka itu pula beralih kepada PH, dan ketika itu kita pula terpaksa akur dan terperangkap sekali lagi..

10- Inilah masanya kita perlu bersama selamatkan rakyat dan negara..!