"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna kuasa eksekutif k'jaan hentam parti sendiri tindakan pengecut

Malaysiakini 

Bekas pemimpin Bersatu Kadir Jasin membidas pemimpin politik yang menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri.

Kadir merujuk "kluster menteri" yang disifatkannya menggunakan kedudukan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Kadir yang kini bersama parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, tindakan itu tidak menjadikan mereka lebih dihormati berbanding Zahid dan "kluster mahkamah".

"Tetapi cara anggota kluster menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) Umno menggunakan kedudukan dalam kerajaan PN bagi menentang kepemimpinan parti mereka sendiri tidak membantu mereka menjadi lebih dihormati daripada Ahmad Zahid dan kluster mahkamahnya.

"Kalau mereka tidak bersetuju dengan kepemimpinan Zahid dan dengan pengaruh Mohd Najib (Razak) dalam kepemimpinan parti, mereka sepatutnya bertindak sebagai orang berani.

"Mereka sama ada berlawan dengan Zahid dan kluster mahkamah dari dalam atau keluar daripada parti itu. Menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri adalah perbuatan pengecut dan salah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Istilah "kluster menteri" kebelakangan ini digunakan dalam konteks politik Malaysia sebagai merujuk pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara "kluster mahkamah" pula digunakan bagi merujuk pemimpin politik yang mempunyai pertuduhan di mahkamah, termasuk Zahid dan Najib. 

Kenyataan Kadir itu hadir selepas semalam, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga menteri dalam kabinet PN berkata dia masih setia dengan Umno tetapi mengakui sukar mempercayai presiden partinya, Zahid.

"Ketika ini saya masih lagi dalam kerajaan, sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap presiden Umno," katanya.

Kata Khairy, dia akan kekal menyokong kerajaan PN dan akan membuat pendirian apabila Dewan Rakyat bersidang September depan.

“I cannot trust this president, kita bersama (PN) sekarang ini dan kita akan buat pendirian pada sidang nanti," katanya lagi.

Cuba haramkan Umno?

Mengulas lanjut Kadir berkata jika "kluster menteri" berani dan berpekerti tinggi, mereka sepatutnya hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan berbahas secara bersemuka dengan Zahid dan konco-konconya.

"Sebaliknya ada di kalangan mereka yang memegang jawatan dalam MT rasanya tidak hadir mesyuaratnya. Ketua mereka dalam kerajaan PN, Ismail Sabri Yaakob adalah salah seorang naib presiden Umno. 

"Sepatutnya dia jadi anak jantan dan berbahaslah secara bersemuka dengan Zahid. Dia timbalan perdana menteri sekarang.

"Kini mereka terbabit pula menggunakan kuasa eksekutif bagi menekan parti mereka sendiri melalui tindakan terbaru Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya.

Kata Kadir, perintah terbaru ROS berkaitan pengangguhan pemilihan parti itu adalah tindakan politik.

"Adakah mereka sedang bersubahat menggunakan kuasa eksekutif untuk menyingkir Zahid dan kluster mahkamah dengan tujuan mengambil alih kepemimpinan parti itu? 

"Atau mereka mahu Umno diharamkan supaya mereka boleh merampasnya dengan sekali lagi mendaftarkan "Umno Baru"?" katanya lagi.

Pada 6 Ogos lalu, ROS berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti  tidak sah.

Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim berkata keputusan MKT Umno tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MKT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Jelasnya, ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit Mesyuarat MKT Umno pada 7 Julai lepas, sedangkan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

Ajal atas pokok kelapa

Pengsan ketika petik kelapa, lelaki temui ajal atas pokok

FMT Reporters

Bomba menggunakan peralatan khas untuk menurunkan mayat lelaki dari atas pokok. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui maut di atas pokok kelapa ketika memetik buah di Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifuddin Aslin Abbas berkata, kejadian berlaku sekitar 5.23 petang Sabtu di Kampung Baru Batu 18, apabila mangsa berusia 40 tahun itu pengsan di atas pokok kelapa.

“Kita menerima maklumat berhubung mangsa yang pengsan di atas pokok kelapa ketika mengambil buah kelapa muda.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dipanggil untuk membantu menurunkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dibawa turun anggota bomba sekitar 6.30 petang, sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Klinik Kesihatan Padang Besar.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat dan disahkan kematiannya disebabkan serangan jantung.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa bekerja mengambil upah memanjat pokok kelapa untuk mengambil buah kelapa muda.

“Tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Kanak-kanak perempuan 3 tahun maut dipukul kerana ganggu hubungan intim

Mymetro

Agensi

Kaylee disifatkan sebagai kanak-kanak ceria. - FOTO Agensi

Kaylee disifatkan sebagai kanak-kanak ceria. - FOTO Agensi

West Midlands, England: Seorang ibu dan teman lelakinya dipenjara selepas membunuh anak perempuan berusia tiga tahun kerana tangisannya mengganggu mereka yang sedang berhubungan intim.

Nicola Priest, 23, dipenjara 15 tahun kerana mengakibatkan kematian Kaylee-Jayde Priest di kediaman mereka di Solihull tahun lalu.

Teman lelakinya, Callum Redfern, 22, pula dipenjara 14 tahun, selepas didapati bersalah atas dakwaan membunuh.

BBC melaporkan, Hakim Foxton QC berkata, Kaylee dibawa ke bilik untuk ditidurkan pada jam 7 malam dan pasangan berkenaan ke bilik Priest untuk melakukan hubungan intim.

"Namun, seperti kanak-kanak lain seusianya, Kaylee tidak mahu tidur dan mahu bermain," katanya.

Katanya, tidak ada bukti jelas apa yang berlaku selepas itu, namun Kaylee didapati muntah tanpa henti, dan meninggal dunia pada malam berkenaan.

"Muntah itu berlaku akibat pukulan kuat. Tidak syak lagi, kamu terganggu dengan tangisan Kaylee yang mahu keluar, mengganggu kamu untuk melakukan hubungan intim.

"Kamu hilang pertimbangan dan menyebabkan Kaylee terkorban. Panggilan kecemasan sepatutnya boleh menyelamatkan nyawanya namun itu tidak berlaku," katanya.

Priest (kiri) dan Redfern dipenjara selepas didapati bersalah membunuh Kaylee. - FOTO Agensi

Priest (kiri) dan Redfern dipenjara selepas didapati bersalah membunuh Kaylee. - FOTO Agensi

Mayat kanak-kanak itu dijumpai pada 9 Ogos tahun lalu, dengan kesan kecederaan serius pada dada dan abdomen.

Pakar berkata, kecederaan pada Kaylee menyerupai kesan akibat jatuh dari tingkat tiga bangunan atau dilanggar kenderaan pada kelajuan 64 kilometer sejam.

Priest ada menghubungi talian 999 namun, ia hanya dilakukan selepas kanak-kanak itu meninggal dunia.

Pemeriksaan perubatan mendapati beberapa kecederaan lama pada Kaylee termasuk patah rusuk, keretakan pada kaki dan patah tulang dada.

Dalam kiriman pesanan teks yang dihantar sehari sebelum kejadian, Priest memberitahu Redfern: "Saya akan bunuh dia (Kaylee). Dia asyik tinggalkan ruang tamu dan pergi ke dapur. Saya pukul dia dan menamparnya kerana mengotorkan lampin."