"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M, jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong dan keluarga kamu

ZUNAR

Tun Mahathir,

Pada tahun 1998, kamu mengheret ketua-ketua polis, para hakim dan Peguam Negara untuk merekayasa sebuah fitnah seksual yang jijik bertujuan menyumbatkan Anwar dalam penjara. Ia adalah satu kospirasi peringkat tinggi bagi menghalang Anwar menjadi PM.

Ia adalah manifestasi ketakutan kamu terhadap sikap Anwar memerangi rasuah, manakala dikeliling kamu ialah para koruptor dan penjarah wang rakyat tingkat tinggi.

Keengganan Anwar sebagai menteri kewangan untuk meluluskan wang negara bagi menyelamatkan syarikat perkapalan anak kamu yang mengalami kerugian berbilion ringgit menyebabkan kemurkaan kamu. Kamu marah benar bila Anwar meminta sebuah firma audit bebas, PWC untuk menyiasat Perwaja yang kerugian sekitar RM12 billion. Kenapa? Kerana ia diketuai oleh kroni kamu. Ia adalah sebuah contoh dari senarai panjang.

Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu.

Selepas Anwar kamu pecat, kamu kata Anwar jadi tali barut Amerika. Kerana itu, kamu mengikat Ringgit Malaysia dengan Dollar Amerika kononya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Pada hal yang kamu buat sebenarnya ialah menyelamatkan anak-anak dan kroni kamu yang menjalankan perniagaan menggunakan Dollar Amerika. Biar negara rugi puluhan billion, yang penting kroni kamu selamat.

Pada Oktober 2003, perdana menteri bertukar tangan kepada Pak Lah. Tahun berikutnya, pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari segala tuduhan.

Dari Singapura kamu melatah dan menyindir keras dengan berkata: “Sesiapa nak buat salah, datang ke Malaysia!” Marah benar kamu, sedangkan kamu yang merekayasa fitnah tersebut. Kenapa? Kerana usaha kamu ketika itu gagal?

Mari jawab soalan-soalan ini.

Betul atau tidak beberapa hari sebelum keputusan pembebasan tersebut dibaca, kamu berusaha untuk mempengaruhi hakim-hakim supaya menukar keputusan bagi terus memenjarakan Anwar? Betul atau tidak kamu bersama tokoh-tokoh utama dari Pahang dan mantan tokoh-tokoh utama dalam bidang perudangan terus berusaha menyediakan kertas pertuduhan versi kamu untuk dibaca oleh para hakim? Benar atau tidak usaha ini berterusan sehingga beberapa jam sebelum hakim membaca keputusan sekitar jam 10 pagi?

Kemudian, menjelang PRU 14, kamu datang berjumpa Anwar di mahkamah dan menyatakan untuk berkerjasama bagi menjatuhkan Umno/BN. Anwar punya pilihan untuk menolak, tetapi bersikap berlapang dada dan sanggup mengenepikan sengketa dan menerima huluran tangan kamu. Rata-rata rakyat Malaysia menyangka kamu telah berubah dan insaf serta sanggup melupakan kezaliman kamu dan kembali menyokong kamu. Tetapi rakyat mulai sedar mereka tertipu sebaik saja kamu diberi kuasa semula.

Apabila memegang jawatan Perdana Menteri di era PH, paranoid yang menjadi mimpi ngeri kamu 23 tahun lalu datang kembali. Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu. Sekali lagi kamu harus menghalang Anwar.

Soalan: Betul atau tidak selepas sebulan menjawat semula jawatan perdana menteri di era PH, kamu cuba menghalang proses pengampunan Anwar?

Betul atau tidak, kamu sengaja melantik mana-mana pemimpin atau Ahli Parlimen PKR yang tidak bersetuju dengan Anwar ke jawatan penting? Ini bagi melemahkan mantan timbalan perdana menteri itu dan seterusnya menghalang dari menjadi PM?

Betul atau tidak kamu adalah dalang sebenar Langkah Sheraton yang menjatuhkan PH?

Betul atau tidak tujuan kamu meletak jawatan ialah supaya kamu dilantik semula sebagai seorang PM yang mempunyai kuasa penuh? Seorang PM yang tidak lagi terikat dengan janji PH supaya menyerahkan jawatan PM kepada Anwar?

Wahai Tun Mahathir,

Soalan-soalan yang dikemukan di atas kekal sebagai pertanyaan – kamu punya hak untuk menjawab atau menafikan.

Tetapi fakta tetap kekal sebagai fakta – bahawa kamu sebenarnya ialah pemusnah bangsa. Sebuah negara, seluruh institusi sanggup kamu hancurkan demi melampiaskan dendam kesumat di hati kamu. Inspirasi rakyat sanggup kamu khianati demi menyelamatkan kroni dan keluarga kamu.

Pelantikan Mohd Redzuan hina ATM, perlu dibatalkan serta merta, kata bekas menteri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas timbalan menteri pertahanan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, Liew Chin Tong menyatakan kebimbangan atas pelantikan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif di Boustead Holdings Bhd.

Beliau mengingatkan bahawa Boustead dan anak syarikatnya Boustead Shipyard kini sedang bergelut untuk menyelesaikan projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion yang masih terumbang-ambing.

Justeru katanya, Redzuan tidak sepatutnya dilantik kerana ketidakmampuan bekas menteri itu menyelesaikan krisis besar yang dihadapi syarikat Boustead, malah berdasarkan reputasi beliau yang mencurigakan, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Sebagai bekas timbalan menteri pertahanan yang memahami gerak kerja dan pentadbiran Boustead Holdings Bhd yang merupakan sebahagian daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), saya terkejut dan amat bimbang dengan pelantikan Mohd Redzuan.

“Pelantikan ini sebagai satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia yang perlu dibatalkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Liew juga menyifatkan pelantikan Mohd Redzuan sebagai ‘scheme of things’ baharu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Istilah ‘scheme of things’ telah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semasa rampasan kuasa Sheraton untuk menghalalkan pengagihan jawatan GLC demi membeli sokongan Ahli Parlimen.

“Semasa era pentadbiran PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan dengan jelas bahawa pengurusan LTAT dan Boustead perlu diterajui pihak profesional, dan bukan ahli politik.

“Tidak seperti GLC yang lain, LTAT dan Boustead merupakan entiti unik yang mewakili kepentingan, pandangan, dan perspektif Angkatan Tentera Malaysia,” tegasnya.

Beliau menambah, semasa PH menjadi kerajaan, cita-cita gabungan itu ialah memastikan LTAT dan Boustead dapat dibangunkan sebagai pusat pelaburan industri pertahanan baharu melalui transformasi berdasarkan Kertas Putih Pertahanan.

Malangnya beliau berkata, semua ini telah dihancurkan oleh rampasan kuasa Sheraton.

Jangan perdagangkan ayat suci al-Quran, kata Ustaz Ridzwan kepada Kak Lah

FAZLI RADZI

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff atau dikenali sebagai Kak Lah dinasihatkan untuk tidak lagi mempermainkan ayat al-Quran.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan itu juga akan dipersoal pada Hari Akhirat kelak sebagaimana netizen.

“Kita ada dua pilihan Kak Lah sama ada kita gunakan sepuasnya perangai dan sikap orang kita yang kurang berfikir atau pun mengajak mereka untuk berfikir.

“Selamat meneruskan kehidupan Kak Lah dan jangan mempermainkan dan memperdagangkan ayat suci al-Quran,” katanya.

Reaksi Ustaz Ridzwan itu susulan kenyataan Siti Zailah yang membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung aksi membersihkan kesan najis unggas dan cicak dengan penyembur air baru-baru ini.

Wakil rakyat Pas tersebut mengingatkan warganet dengan membacakan Surah Yasin, ayat 65 berkenaan tangan dan kaki yang akan bercakap ketika diadili di Padang Mahsyar sebagai saksi atas segala perbuatan yang dilakukan ketika hidup di muka bumi.

“Kita dalam memberi komen harus melihat juga di sebalik apa yang berlaku…. apa yang kita buat akan disoal di hadapan Allah… apa yang kita tulis, apa yang kita taip.

“Sebab itu dalam suasana musibah bukan masa untuk kita menuding jari, mencari kesalahan seseorang.

“Semasa berlakunya musibah sepatutnya kita perbanyakkan pertolongan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan.

“Memang nak komen mudah, nak melaksanakan bukan mudah,” kata Siti Zailah dalam satu temubual di Bernama TV.