"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita kebas suami kakak sendiri

KOSMO 

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menjadi tular apabila video luahan perasaan suami dirampas adik sendiri mendapat perhatian netizen, lapor Suara.com, hari ini.

Menerusi akaun@rdearfirly, wanita itu memberitahu,  dia berasa kecewa apabila mengetahui orang ketiga dalam rumah tangganya adalah adik kandung sendiri.

“Saya tidak mahu menghina adik saya yang kini sudah menjadi perampas suami orang (pelakor) kerana itu sangat menjatuhkan maruahnya.

“Mungkin mereka sudah saling sayang menyayangi,” luah wanita itu yang berkongsi foto sewaktu majlis perkahwinannya.

Tambah wanita itu, adiknya bersikap tidak tahu malu dan tiada perasaan bersalah apabila secara terang-terangan mengirim mesej mesra buat suaminya di laman Facebook.

“Hati saya kecewa kerana orang ketiga bukan orang lain tetapi adik sendiri.

“Suami pula melayannya dan memberi amaran agar tidak menceritakan hubungan ini kepada sesiapa,” jelasnya.

Namun begitu, terdapat kejutan dalam kisah tersebut  apabila rupa-rupanya suami wanita itu ialah bekas kekasih adiknya dan mereka pernah bercinta selama dua tahun.

Malah, selepas video luahan hati ini mendapat tontonan lebih 20 juta, si adik membuat permohonan maaf dan memohon agar kakaknya memadamkan status tersebut.

Kisah persis drama televisyen ini mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang keliru siapakah sebenarnya yang bersalah.

“Kalau bercinta dengan kakaknya, kenapa kahwin dengan adiknya? Pening,” komen seorang pengguna TikTok. – Agensi

NGO rayu Agong isytihar darurat, tangguh PRN Johor

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Johor bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat perlu dikuatkuasakan ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 yang kini mencecah sehingga lima angka.

“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk kebimbangan dari varian Omicron seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, patik merayu pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, negara dikejutkan dengan peningkatan kes Covid-19 yang naik mendadak sehingga 10,089 kes dan mengundang kebimbangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi amaran bahawa kes akan terus melonjak kepada 15,000 dalam masa terdekat.

Sementara itu Mazlan berkata, pengisytiharan darurat pernah dilakukan ketika PRN Sarawak, PRK Batu Sapi dan PRK Gerik atas alasan yang sama.

Justeru katanya, keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk mengehadkan pergerakan rakyat melalui SOP dan lain lain.

“Nyawa rakyat adalah segala-galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya lagi.

Peluang untuk menerapkan minda endemik

NIK MOHAMAD HASYUDEEN

Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan unjuran bilangan kes Covid-19 berdasarkan kadar jangkitan 1.2 dan juga 1.6. Ianya lebih cepat naik kerana varian Omicron memang sifatnya mudah merebak. Kadar positiviti pun sudah melebihi 5% memggambarkan lebih banyak kes di luar sana yang belum dikesan. Ada kenaikan pada kadar kemasukan ke hospital.

Jika kita bandingkan dengan kes di Amerika Syarikat, itulah yang akan kita hadapi di sini. Bilangan kes tidak meningkatkan kematian dengan mendadak. Jadi tak ada isu Kementerian Kesihatan (KK) nak naikkan bilangan kes supaya kita tidak beraya di kampung. Lihatlah data-data yang sama di Afrika Selatan, UK dan juga Australia, coraknya sama.

Apa yang menarik ialah jumlah kemasukan ke hospital. Walaupun jumlah kes Omicron jauh lebih besar berbanding dengan Delta dan varian sebelumnya, kadar kemasukan hospital Omicron rendah. Namun, oleh kerana bilangan kes adalah besar, risiko kemasukan ke hospital dan ketidakcukupan katil serta bilik ICU tetap ada.

Pada pandangan saya, ada baiknya pihak KK mula kongsikan bilangan kes dan bilangan kemasukan ke hospital di rajah yang sama. Ini akan memudahkan rakyat faham nombor mana yang lebih kritikal, bilangan kes atau pun kemasukan ke hospital. Memisah-misahkah data akan memisahkan cerita yang dibawa oleh data.

Kita kena menyediakan rakyat untuk melihat Covid-19 sebagai endemik. Macam rasuahlah, dah endemik sehingga orang yang dah disabitkan kesalahan di mahkamah pun masih dipuja-puja dan mahu diangkat lagi. Fakta kes tidak dipedulikan. Yang penting, nak naikkan supaya masyukk lagi.

Itulah sifat-sifatnya apabila satu-satu perkara sudah endemik. Jadi, tak mustahil kita hanya perhatikan sahaja bilangan kemasukan ke hospital dan tidak perlu lagi membuat ujian Covid-19 sama seperti kita tidak diuji di dalam kes-kes selsema yang lain.

Untuk menjadikan rakyat lebih faham berkenaan apa yang harus ditumpukan bila Covid-19 sudah dianggap endamik, KK juga kena menukar naratifnya. Sudah lebih 2 tahun kita ditakut-takutkan dengan bilangan kes, penutupan aktiviti ekonomi dan sosial dan penguatkuasaan undang-undang yang membezakan kedudukan rakyat. Mulai sekarang kena cerita bagaimana kita kena hidup dengan Covid-19 termasuk meyakinkan rakyat berkenaan vaksin dan penggalak. Keluarkan lebih banyak data, jika tidak rakyat akan mula mencari bomoh-bomoh.

Sebagai rakyat, kita pun kena cari ilmu yang berteraskan data. Boleh juga ikuti ulasan harian Dr John Campbell, seorang doktor pesara yang mengulas perkembangan Covid-19 berdasarkan data-data yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Walaupun beliau tidak semestinya sentiasa betul, beliau jauh lebih baik dari orang-orang yang membincangkan berkenaan Covid-19 tanpa apa-apa asas.

Saluran Youtube beliau adalah di sini https://youtube.com/c/Campbellteaching

Semoga Allah berikan kita semua taufik dan hidayahNya agar kita berkelakuan dengan kelakuan yang melayakkan Allah mengangkat Covid-19 dari masyarakat kita. Mungkin kita boleh bermula dengan membenci rasuah, korupsi dan salahguna kuasa. Susah sangat ke?

Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan di facebook beliau.